Selangor lancar slogan baru ‘Selangorku’ Ahad ini


July 20, 2011


KUALA LUMPUR, 20 Julai — Kerajaan Selangor diterajui Pakatan Rakyat, yang pentadbirannya kini masuk tahun keempat, akan melancarkan slogan baru — Selangorku Ahad ini - dilihat mendekatkan rakyat menjelang pilihan raya umum.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata pelancaran slogan itu adalah kesinambungan kepada program “Merakyatkan Ekonomi Selangor” dan “Hasil Negeri untuk Rakyat” yang telah dilaksanakan semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008.

Kerajaan negeri mengambil pendekatan itu ketika spekulasi menyebut bahawa pilihan raya umum akan dipanggil bila-bila masa selepas Ramadan ini.

“Slogan ini mengajak seluruh rakyat Selangor agar bersama sama bertanggungjawab dan mempertahankan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Adalah diharapkan slogan ini dapat menambah kecintaan dan sayang rakyat kerana negeri ini adalah hak mutlak rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Khalid berkata selepas dilancarkan, slogan itu akan diguna pakai untuk urusan rasmi melibatkan kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya.

Majlis pelancaran akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.