UMNO PUN NAK KENA HARAM DAH, ELOK BENARLAH IA BERCANTUM DENGAN PAS...



Buat pertama kalinya, setelah UMNO kini hilang kuasa dan Pas pula memanjang gagal mendapatkan kuasa, kedua-dua parti disarankan agar segera bercantum.

Gesaan bercantum itu bukan calang-calang siapa yang membuat seruannya, tetapi oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri.

“Ya Sheikh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Insya-Allah UMNO di bawah kepimpinan saya, marilah kita bercantum.

"Kita bercantum, kita ketepikan perbezaan di kalangan kita atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan bumiputera,” tambah Zahid Hamidi lagi.

Zahid Hamidi membuat seruan itu di hadapan Presiden Pas, Hadi Awang dalam satu program yang dihadiri kedua-kedua pemimpin itu di Pasir Salak malam tadi bersama ribuan penyokong masing-masing.

Meskipun pelawaan Zahid Hamidi itu tidak disambut dengan sebarang reaksi oleh Hadi yang berucap selepas itu, tetapi penyokong kedua-dua parti dilaporkan begitu teruja dan menyambutnya dengan tepukan serta laungan takbir.

Bolehkah UMNO dan Pas bercantum dan adakah ia baik untuk kedua-dua parti itu?

UMNO dan Pas adalah dua parti yang sudah bermusuhan sejak sekian lama. Dalam sejarahnya, ketika UMNO kuat, parti itu memang selalu berlagak dan memandang sepi kepada Pas.

Ramai pemimpin UMNO yang ada sekarang pernah mengata Pas dengan pelbagai label seperti parti ajaran sesat, parti lebai, parti syaitan, parti tin milo dan macam-macam lagi.

Pas juga begitu. Apa yang tidak pernah dikatanya kepada UMNO - parti kafir, assabiyah, jahiliyah serta pelbagai lagi, bahkan kerap pula didoakan di perhimpunan terbuka agar UMNO cepat 'KO' dan dilaknati Allah.

Barangkali hilangnya kuasa UMNO sekarang sebahagian sebabnya ialah kerana makbulnya doa yang selalu dipohon Pas itu.

Syukur....

Tetapi, rahsia Tuhan tidak siapa tahu apa hikmahnya. Di ketika UMNO hilang kuasa, tidak pula Tuhan makbulkan Pas menjadi gantinya, walaupun kerapkali para pemimpinnya melaungkan kata-kata seperti Pas ganti UMNO dan yang seumpama dengannya.

Realiti sekarang, kedua-duanya iaitu UMNO dan Pas adalah senasib keadaannya. Mereka sama-sama tidak berkuasa dan masing-masing juga mempunyai dua negeri untuk diperintah secara berasingan.

Lebih buruk berbanding Pas, UMNO juga mungkin akan dibatalkan pendaftarannya tidak lama lagi.

Pertama, kesalahan serius UMNO ialah meskipun ia mempunyai hampir 20 ribu cawangan di seluruh negara, hanya 9,000 saja yang didapati menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan bagi tahun 2018.

Agaknya sebelum ini pun laporan itu tidak pernah dihantar ke Pendaftar Pertubuhan tetapi segala-galanya jadi beres kerana kuasa kerajaan ada dalam tangan mereka.

Bagaimanapun, setelah ketiadaan kuasa, tentulah perangai lama tidak boleh diterima lagi.

Sebagaimana diakui oleh Zahid Hamidi sendiri, UMNO sudah pun diberikan tunjuk sebab mengapa ia tidak diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan atas kesalahan yang dilakukannya itu.

Jadi, jangan hairan jika UMNO dibatalkan pendaftarannya. Itu memang salah UMNO sendiri, bukan sesekali kerana  dendam atau apa-apa sentimen lain daripada kerajaan baru yang ada sekarang.

Kedua, UMNO juga boleh diharamkan atas kesalahannya  menerima wang haram berkaitan 1MDB. Adalah menjadi kesalahan dan boleh dibatalkan pendaftaran bagi mana-mana pertubuhan yang didapati menerima wang haram yang tidak diketahui sumbernya.

Ini juga adalah salah UMNO sendiri kerana memilih pemimpin seperti Najib Razak yang tamak dengan wang ringgit dan tiada beza baginya antara wang halal dengan wang haram.

Semasa ada kuasa, bolehlah semuanya ditutupi. Tapi, setelah tiada lagi apa-apa, siap sedialah dengan hukuman yang bakal menanti.

Atas kemungkinan UMNO diharamkan berdasarkan dua perkara itu, tiada apa-apa yang menghairankan pun sebenarnya bila Zahid Hamidi mengajak Pas untuk bercantum.

Kalau tak bercantum dengan Pas, dengan siapa dan ke mana lagi UMNO nak pergi?

Setidak-tidaknya dengan bercantumnya UMNO dan Pas, bermakna termakbul satu lagi doa Pas sebelum ini iaitu mereka hanya sedia bersama dengan UMNO kiranya ia sanggup menerima dasar perjuangan Islam yang dibawanya.

Mahu tidak mahu kerana jika parti pun sudah diharamkan, UMNO sudah tentu tiada pilihan selain terpaksa akur untuk masuk Pas dan menerima perjuangan parti itu.

Maka kata, cadangan Zahid Hamidi itu "ada makna" sebetulnya. (ShahbudinHusin 18/11/2018)

PERWAKILAN ‘TEMBAK’, RAFIZI, AZMIN BERDAMAI

ZAHID HAMIDI AJAK PAS BERCANTUM, HADI TAK ULAS

PERKEMBANGAN POLITIK DALAMAN PH MEMBIMBANGKAN?

RAFIZI BANTU BUNUH GOLIATH – SAIFUDDIN NASUTION

PEMILIHAN PKR: BIDUK BERLALU KIAMBANG TIDAK BERTAUT?

UCAPAN WAKIL UNTUK YANG BERKEMPEN



Dasar ekonomi Najib tidak berempati


Empati sewajarnya dijadikan satu teras penting dalam dasar ekonomi; ini sangat praktikal dari segi politik dan ekonomi. Kita mesti sentiasa beringat bahawa semasa pilihanraya, undi seorang jutawan dan undi seorang rakyat marhaen mempunyai nilai yang sama.
Apabila kita meneliti legasi ekonomi yang ditinggalkan oleh mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak, amat jelas sekali kurangnya nilai empati. Kita perlu belajar daripada kegagalan ekonomi Najib jika kita mahu negara bergerak maju ke hadapan.
Pertama sekali, bagaimana Najib tewas?
Selain daripada rompakan perbendaharaan negara melalui 1MDB dan pelbagai skandal yang lain yang secara langsung telah menghilangkan keyakinan pengundi terhadap beliau, ketiadaan rasa empati terhadap kekangan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat turut menjadi faktor utama dalam kekalahan Barisan Nasional.
Dasar ekonomi negara mestilah menjamin keseimbangan antara kepentingan golongan kaya dan golongan rakyat biasa. Ekonomi negara kita akan berkembang dengan mampan hanya apabila rakyat biasa turut mampu berbelanja tanpa menanggung hutang isi rumah yang tinggi.
Sudah lama berlalu zaman Malaysia bergantung semata-mata atas pengindustrian berorientasikan eksport melalui pelaburan langsung asing; kebergantungan ini telah menyebabkan tahap gaji yang rendah terus kekal untuk menjamin daya saing negara berbanding dengan negara lain.
Sebaliknya, sejak tahun 1997, sepatutnya negara kita perlu menerajui ekonomi berlandaskan paradigma yang baru; kita perlu kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak berkemahiran, mengautomasikan industri supaya bergerak ke atas tangga teknologi (dengan itu mengurangkan keperluan untuk tenaga murah), dan seterusnya meningkatkan tahap gaji pekerja mahir.
Tanpa daya mengangkat ini, ada kemungkinan lebih ramai rakyat Malaysia perlu mencari rezeki di negara lain seperti Singapura, Australia, dan Korea Selatan. Sangat menarik untuk kita perhatikan bahawa, menurut Bank Negara, 40 peratus daripada pekerja Malaysia di Singapura terlibat dalam sektor pekerjaan 3D (dangerous, difficult and demeaning – berbahaya, sukar, dan merendahkan maruah). Perkara ini jelas menafikan sentimen bahawa pekerja dari Malaysia bersikap malas dan hanya mahukan pekerjaan yang senang; sebaliknya, soal tahap gaji dan penyaraan hidup menjadi faktor utama dalam keputusan mereka mencari peluang kerja di mana-mana sahaja.
Semua kekangan rakyat ini terlepas daripada pandangan Najib. Hakikatnya, dasar ekonomi Najib hanya berpandukan agensi penarafan dan pakar runding seperti Idris Jala yang tidak berpijak di bumi yang nyata bersama rakyat jelata. Apatah lagi, mereka kurang berminat untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi secara meluas dan berani untuk melahirkan satu virtuous cycle ataupun kitaran mulia yang akan terus meningkatkan tahap gaji, tahap kemahiran pekerja serta kecanggihan teknologi Malaysia.
Satu-satunya dasar pekerjaan Najib adalah mengesyorkan graduan kita menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Grab untuk menyara hidup.
Antara langkah kerajaan Najib yang kurang cermat ialah memperkenalkan Goods and Services Tax (GST – Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Enam bulan telah berlalu sejak pilihanraya pada bulan Mei, saya terkejut mengetahui masih ramai orang yang gagal memahami kenapa GST begitu dibenci.
Sudah tentu, GST bukan sebab tunggal yang menyebabkan kenaikan harga barang pasaran selepas tahun 2015. Antara faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga ini ialah susutan nilai Ringgit sebanyak 30 peratus mulai Oktober 2014 dan potongan peruntukan subsidi dan perbelanjaan kebajikan oleh kerajaan, di samping perompakan negara melalui 1MDB dan skandal lain.
Misalnya, Perbelanjaan Pembangunan yang dibawa oleh Najib telah dianggarkan berjumlah sekitar RM45 bilion tetapi perbelanjaan sebenar berjumlah kurang daripada RM40 bilion pada tahun 2014 dan 2015. Pada tahun 2016-2017, RM40 bilion telah dianggarkan, tetapi 25 peratus daripada jumlah ini telah digunakan oleh Jabatan Perdana Menteri terutamanya sebagai slush fund, iaitu sejenis dana untuk perbelanjaan mengikut budi bicara beliau dan untuk diberi kepada sesiapa yang dikehendaki oleh beliau.
Pembela GST menyatakan bahawa cukai tersebut telah meluaskan asas cukai kerana “hanya 11 peratus rakyat Malaysia membayar cukai langsung.” Mereka telah gagal memahami bahawa, di sebalik hujah tersebut, selain daripada segelintir yang mengelak cukai secara berjenayah, hampir 90% rakyat Malaysia yang lain tidak layak – erti kata lain, tidak menjana hasil yang mencukupi – untuk membayar cukai.
Pada tahun 2011, jawatankuasa belanjawan Pakatan Rakyat, termasuk saya sendiri, telah membawa hujah kepentingan golongan berpendapatan di persentil 60 kebawah perlu diberi lebih pendapatan boleh guna untuk berbelanja tanpa berhutang. Akan tetapi, kerajaan Najib telah mengambil penyelesaian mudah, iaitu memberi wang terus kepada 60 peratus daripada rakyat melalui skim BR1M dalam Belanjawan 2012.
Di sinilah wujud kontradiksi: walaupun sudah diketahui bahawa hampir dua pertiga daripada rakyat memerlukan bantuan sara hidup dan hanya 10 peratus daripada rakyat layak untuk membayar cukai langsung, cukai GST yang disanjung tinggi oleh pengikut Najib tetap diperkenalkan. Najib sendiri pernah menjawab soalan saya di Parlimen mengatakan GST akan menjadi “penyelamat” negara. Sukar bagi saya sehingga hari ini untuk percaya betapa berkhayalnya beliau.
Sejak 2013 lagi telah saya memberi amaran bahawa Barisan Nasional telah menggali kubur sendiri dengan memperkenalkan GST kerana cukai tersebut akan menyekat perbelanjaan yang merupakan daya penjana ekonomi yang utama. Malah, tindakan mengenakan cukai atas golongan yang memang belum layak membayar cukai seolah-olah membunuh diri secara politik.  
Sentimen anti-GST dalam kalangan pengundi bukan sahaja berkaitan semata-mata dengan isu cukai, malah turut berkaitan dengan pengurusan ekonomi Najib yang tidak berempati.
Penghapusan GST oleh kerajaan Pakatan Harapan merupakan tindakan yang betul dan perlu dilakukan. Cukai berbentuk regresif ini telah mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat.
Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan bahawa penghapusan GST tidak mencukupi untuk menurunkan harga barang secara mendadak dan serta-merta.  Pengembalian kepada sistem SST akan mengurangkan hasil kerajaan, ini bermakna ia mengutip kurang cukai daripada masyarakat dan akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.
Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng atas kejayaannya membentang satu belanjawan yang “mengurangkan lemak, tetapi tidak menghilangkan otot.” Walaupun negara kita mengalami tekanan fiskal akibat daripada 1MDB dan hutang yang lain, saudara Lim dan kerajaan mengambil keputusan untuk mengelakkan dasar austerity ataupun dasar jimat cermat yang boleh menyebabkan ekonomi negara terhenti.
Pengumuman belanjawan yang lain seperti sokongan padu untuk pengangkutan awam (yang merupakan satu faktor pengurangan pendapatan boleh guna) dan pengiktirafan keperluan untuk meningkatkan gaji pekerja yang dalam jangka masa panjang akan meningkatkan hasil cukai kerajaan, serta penghapusan GST, merupakan petanda jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan memahami kepentingan adanya nilai empati dalam pengurusan ekonomi negara. Sudah terlalu lewat untuk Najib belajar tentang falsafah ini. – 
*Liew Chin Tong adalah Senator dan Timbalan Menteri Pertahanan

KERAJAAN DIGESA TUTUP LYNAS

PAS PROMOSI PERCUMA POLIS EVO 2



Ramai mahu tonton filem Polis Evo 2, Pas dianggap buat promosi percuma
Imej pelakon Hasnul Rahmat sebagai ketua pengganas yang berserban dalam Polis Evo 2 didakwa memberi persepsi buruk kepada Islam.
Rata-rata warga maya menganggap pemimpin Pas melakukan promosi percuma untuk filem Polis Evo 2 (PE2) yang  hanya akan ditayangkan di pawagam mulai 22 November ini.
Ekoran gesaan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas Dr Riduan Md Nor semalam yang mengajak rakyat Malaysia memulaukan filem lakonan Zizan Razak dan Shaheizy Sam itu, ramai pengguna media sosial sebaliknya menyatakan tidak sabar untuk menonton PE2.

Antaranya, pengguna Facebook Usman Affan yang mengakui tidak pernah menonton filem tempatan di pawagam sebelum ini.
Beliau berpendapat tindakannya untuk menonton filem terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag itu nanti sebagai satu pengajaran kepada pemimpin Pas supaya lebih berhati-hati.
“Mungkin filem ini satu teladan buat tok lebai (pemimpin Pas) untuk berakhlak lebih Islamik. Tidak takfiri dan khawarij, tidak cepat menghukum dan menghina orang,” bidasnya.
Sementara itu, Steven Chew pula percaya syarikat produksi filem PE2 pastinya berterima kasih kepada pemimpin Pas.
“Sebenarnya saya tidak tahu adanya filem ini. Tiba-tiba ada lebai (pemimpin Pas) bagi iklan percuma yang amat berkesan sehingga ramai ingin menonton filem ini.
“Esok hari parti lebai ini boleh tubuh syarikat berkhidmat sesiapa yang ingin buat promosi produk mereka, amat berkesan,” sindirnya.
Pengguna Facebook, Alias Azman juga menyatakan keinginannya untuk menyaksikan tayangan sekuel PE2 yang turut menampilkan pelakon Hasnul Rahmat sebagai ketua pengganas berserban di pulau terpencil di pantai timur.
“Rasa nak pergi tonton saja Evo 2! Baru-baru ini filem Munafiq 2 ada watak antagonis Abuja.
“Daesh, Taleban, Boko Haram, Wahhabi An Najdi, Abu Sayyaf semua itu memang memberi imej yang buruk buat umat Islam sama ada kita suka atau tidak. Mengapa kita perasan bagus sangat sampai tak boleh kena tegur?” soalnya.
Tidak kurang juga warga maya yang menyindir ajakan memboikot filem PE2 agak melucukan memandangkan bukan semua negeri ada pawagam.
“Nak boikot filem Polis Evo 2 tapi Kelantan tiada pawagam,” perli Hariz Zhafrie.
Bagi Intan Sulaiman pula menulis, “Lagi orang nak tengok akibat promosi dari Pas” tetapi Hamizon Abedul pula berkata, “Dah jelas pun anti Islam.”
Semalam, Riduan mendakwa PE2 cuba memberi imej buruk kepada Islam dan tindakan boikot boleh memberi pengajaran kepada pihak yang terlibat dalam pembikinan filem itu.
Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu turut menyaksikan aksi pelakon Raline Shah, Riz Amin, Hairul Azreen, Soffi Jikan, Syafie Naswip, Fir Rahman, Dennis Yin dan Tanta Ginting.