on:
MAHATHIR YAKIN PH MAMPU MENANG DI SARAWAK
Mahathir yakin PH mampu menang di Sarawak
Walaupun digelar sebagai ‘deposit tetap’ BN, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin pakatan Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu mencatat kemenangan yang baik di Sarawak pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, seterusnya menumbangkan kerajaan BN.
Pengerusi HARAPAN itu berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang jumlah kerusi parlimen yang disasarkan mereka di Sarawak pada PRU akan datang.
“Kami belum kira (jumlah kerusi), tetapi berharap akan menang dengan jumlah kerusi (yang signifikan),” katanya pada sidang media selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.
Ketika ditanya adakah ia akan mencecah 20 kerusi, beliau berkata;
“Saya tiada angka…Cukup untuk membentuk kerajaan (persekutuan).”
Seperti di Semenanjung, pembangkang mendapat sokongan yang signifikan di kawasan bandar di sana.
Pada PRU ke-13, Pakatan Rakyat memenangi 6 kerusi parlimen di negeri itu (5 DAP, 1 PKR), kebanyakannya kawasan bandar seperti Bandar Kuching, Sibu dan Miri.
Dalam pada itu, bekas perdana menteri itu berkata beliau bersedia untuk berjumpa dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi parti utama BN Sarawak.
“Saya ingin berbincang dengan mereka. Sama ada mereka mahu atau tidak, saya tidak pasti.
“Sekarang semua orang seperti menjadi pemalu. Kali terakhir saya datang, orang boleh bersalam dengan saya,” katanya.
Mahathir menjawab soalan pemberita berhubung spekulasi yang beliau akan cuba mendapat sokongan PBB jika pembangkang gagal memenangi kerusi parlimen yang mencukupi di Sarawak pada PRU ke-14 untuk membentuk kerajaan persekutuan.
PBB memegang 14 daripada 25 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU lalu.
Mahathir membuat kunjungan kali pertama ke negeri itu selaku pembangkang. Beliau dijangka berucap dalam satu program di Kuching, malam ini.
Program itu dijangka akan membentangkan manifesto HARAPAN bagi negeri itu pada PRU akan datang
SIAPA SAMBUT TUN M DI SARAWAK??LIHAT INI..
Ketibaan Masa Tun di Sarawak yang disambut oleh wakil TYT Datu Awang Aspia Awang Nasar .
Sudah tentulah pemerintah tidak lena tidur kerana ianya merungsingkan dengan tawaran yang telah di jelaskan oleh Tun di Sarawak semalam.
Datuk Amar Asfia, Speaker Dun Sawarak menyambut ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad , rupa nya KM Sarawak menghantar Speaker DUN Sarawak mewakili beliau dan rakyat Sarawak untuk sambut Tun di airport ...
TUN RAZAK HAKIS HAK SARAWAK, BUKAN MAHATHIR
Tun Razak hakis hak Sarawak, bukan Mahathir
Sehari sebelum ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Sarawak, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika pentadbiran bekas perdana menteri itulah banyak hak negeri yang terhakis.
Namun dalam program sulungnya sebagai pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri itu malam ini, Dr Mahathir menafikan tuduhan itu dan mendakwa hak Sarawak – terutamanya dalam soal minyak – terhakis ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan anaknya, Datuk Seri Najib Razak.
Dr Mahathir membangkitkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang menyaksikan Sabah dan Sarawak memberikan hak petroleumnya kepada kerajaan pusat dengan royalti lima peratus sebagai tukaran.
“Pada 1974, ketika Akta Pembangunan Petroleum diluluskan, saya bukan perdana menteri. Kononnya saya yang tukar, (itu) tidak betul.
“Kita ada rekod dalam hansard (parlimen)… Perdana menteri ketika itu ialah Tun Razak. Bukan saya yang tukar, Tun Razak yang tukar,” katanya dalam ceramah di Kuching, sebentar tadi.
Mahathir berkata, penghakisan hak negeri itu diteruskan lagi apabila kerajaan merangka Akta Laut Wilayah 2012.
Menurut Seksyen 3(3) akta itu, jarak lebar kawasan laut yang berada di bawah kuasa negara adalah 12 batu nautika dari pantai – selaras dengan undang-undang antarabangsa – manakala negeri hanya berkuasa untuk jarak 3 batu nautika.
Bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tahun lalu berkata, kerajaan negeri akan meminta kerajaan persekutuan meminda seksyen itu yang menurutnya digubal tanpa rundingan dengan negeri dan melanggar perlembagaan.
“Tidak ada pertimbangan dengan Sabah, Sarawak dan Terengganu. Bilakah akta ini digubal? Ia digubal pada 2012, ketika itu perdana menteri adalah Najib,” kata Mahathir.
Namun beliau turut mengakui tidak berbuat apa-apa untuk menilai semula Perjanjian Malaysia 1963 sepanjang 22 tahun mentadbir negara.
“Saya tidak tukar perjanjian tapi saya berpendapat ia perlu dirunding semula antara semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya lebih adil…(Masalah) ini berlaku di zaman saya juga,” katanya kepada kira-kira 10,000 hadirin.
Ketika program itu, HARAPAN turut membentangkan rangka manifesto mereka untuk Sarawak dengan merujuknya sebagai “wilayah”, bukannya “negeri”.
Ia memberi jaminan kepada lima hak, iaitu hak untuk sebuah kerajaan wilayah, hak untuk petroleum dan pulangan yang adil, hak untuk pembangunan tanah dan kemudahan asas, hak untuk pendidikan bermutu dan hak untuk pembangunan ekonomi dan pemberdayaan wanita, remaja dan golongan minoriti.
Rangka manifesto dibaca Ketua DAP Sarawak merangkap Pengerusi HARAPAN Sarawak Chong Chieng Jen.
Chong turut berkata HARAPAN akan membentangkan perincian manifestonya pada masa terdekat.
PH AKAN SEMAK PERJANJIAN MALAYSIA JIKA KUASAI PUTRAJAYA
PH akan semak perjanjian Malaysia jika kuasai Putrajaya
Pakatan Harapan (PH) malam ini berjanji kepada Sarawak dan Sabah yang ia akan menyemak kembali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan melakukan rundingan semula supaya ia adil dan saksama kepada semua, menjelang pilihan raya umum yang dijangka berlaku pada Ogos 2018.
Dalam kemeriahan sorakan “hidup Tun” daripada hampir 2,000 khalayak yang meredah hujan ribut malam hari bandar Kuching, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata apa yang diperlukan adalah syarat yang saksama untuk tiga kawasan yang bersetuju membentuk Malaysia- Sabah, Sarawak dan Malaya.
Dr Mahathir mengatakan kerajaan persekutuan sebelum dan selepasnya melanggar MA63 melalui Parlimen yang mempunyai majoriti ahli Malaya untuk memungkiri apa yang telah dipersetujui.
Ahli politik itu yang merupakan perdana menteri Malaysia paling lama berkuasa dari 1981 hingga 2003 berkata tidak pernah wujud rundingan sebelum ini tentang apa yang Sabah dan Sarawak mahukan.
“Parlimen adalah kuasa mereka (kerajaan Persekutuan). Sudah tentu di Parlimen, wakil rakyat Sabah dan Sarawak sedikit,” katanya merujuk kepada Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).
Akta Pelantar Benua mengurangkan sempadan laut Sarawak dan Sabah daripada 13 kepada 3 batu sementara PDA menyerahkan semua kerja penerokaan dan cari gali petroleum- darat dan pesisir pantai- kepada Petronas walaupun hak melombong diberikan kepada negeri mengikut MA63.
Kedua-dua negeri sudah lama mendakwa kedua-dua undang-undang itu direka untuk menjarah kekayaan minyak dan gas mereka.
“Tidak pernah ada rundingan,” katanya kepada khalayak yang dianggarkan berjumlah 2,000 orang di Taman BDC- kubu kuat DAP.
Kawasan itu berada dalam kawasan Parlimen Stampin.
“Hanya diperdebatkan dan diluluskan tanpa mempertimbangkan perasaan rakyat Sarawak dan Sabah.
“Kita diperintah Parlimen yang (jumlah) ahlinya dari Malaya jauh mengatasi mereka yang datang dari Sarawak dan Sabah,” katanya.
Parlimen mempunyai 222 kerusi tetapi hanya 56 berada di dua negeri Borneo itu, 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.
Dr Mahathir mengatakan MA63 akan dirunding semula sekiranya PH berkuasa, “ketika itu barulah adil”.
“Kami akan menyemak kembali perjanjian itu kerana kami tahu rakyat tidak gembira mengenainya.
Dr Mahathir juga menafikan beliau meluluskan PDA sebagai mana dakwaan sesetengah ahli politik Barisan Nasional.
“Saya dituduh. Saya bukan perdana menteri ketika itu.
“Perdana menteri yang meluluskan PDA adalah Tun Razak, ayah Najib.”
Dr Mahathir juga mengatakan yang PH akan memberikan hak kepada Sarawak dan Sabah untuk menentukan sistem pendidikan yang mereka mahukan seperti termaktub dalam MA63.
Katanya, kedua-dua negeri mempunyai hak untuk sistem pendidikan mereka sendiri.
Sarawak sudah lama menuntut bahasa perantara di sekolah menggunakan Bahasa Inggeris tanpa mengetepikan Bahasa Malaysia.
Ceramah ini adalah lawatan kali pertama Dr Mahathir ke Sarawak selepas menyertai pembangkang dalam kempen mereka untuk menyingkirkan Najib.
Beliau masih dipandang tinggi oleh pengundi lama yang “membesar” dalam pentadbirannya selama 22 tahun ketika beliau menjadi perdana menteri.
Pembangkang hanya memegang enam kerusi daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak, semuanya adalah kerusi terletak di kawasan bandar dengan majoriti pengundi Cina – Bandar Kuching, Stampin, Bandar Sibu, Lanang, Sarikei dan Miri.
Miri dipegang PKR, DAP menguasai selebihnya.
Kawasan pendalaman dan pinggir bandar Dayak masih dalam genggaman BN dan tiada petunjuk wujud bahawa Dr Mahathir yang sudah berusia 92 tahun atau pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang yang juga sudah berusia merancang untuk ke kawasan pendalaman.
HARGA MINYAK MELAMBUNG, PRU 14 DITUNDA KE 2018 – KHALID
Harga minyak melambung, PRU 14 ditunda ke 2018 – Khalid
Pilihan raya umum ke 14 tidak mungkin dipanggil pada 2017, kata Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad.
Katanya, Najib sukar untuk membubarkan parlimen kerana kerajaan BN gagal menurunkan kos hidup yang melambung sejak setahun kebelakangan ini.
“Harga minyak yang tinggi dan harga barangan asas yang semakin meningkat memberi gambaran bahawa PRU14 mungkin akan ditunda ke tahun hadapan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid menegaskan kegagalan kerajaan BN menurunkan harga minyak bukti pengurusan kewangan negara lemah dan hal itu akan menguatkan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi PRU14.
“Itulah sebab mengapa PRU14 akan diadakan pada tahun hadapan melainkan kalau PM Najib hendak menurunkan harga minyak secara mendadak 1 ataupun 2 minggu sebelum Parlimen dibubarkan. Kini sudah jelas bahawa situasi ekonomi semakin parah kerana harga barang asyik meningkat,” jelas Khalid lagi.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berjanji sekiranya PH menang harga minyak akan diberi subsidi secukupnya untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.
“Pakatan mampu menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seliter kerana kita tidak mahu menyusahkan rakyat. Dasar Pakatan mentadbir lain dari kerajaan BN. Kita mendahulukan nasib rakyat. PH juga akan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan untuk membantu rakyat,” sambung Khalid.
Beliau berkata, rakyat tidak akan termakan janji kerajaan BN kerana pentadbiran Najib didapati menipu menabur pelbagai janji pada PRU 13 tetapi dimungkiri selepas menang. Satu contoh yang telah terbukti jelas, katanya, kenyataan harga minyak tidak akan dinaikkan tetapi 4 bulan selepas PRU13, harga minyak dinaikkan pada awal bulan September.
“Rakyat sudah amat dibebani sekarang. Itulah sebabnya PM Najib tidak yakin BN akan mencapai prestasi yang baik dalam pilihanraya umum. Tidak tahulah kalau bulan Oktober mungkin Malaysia akan dapat pelaburan besar dari China. Jika ada, mungkin PRU14 tahun ini kerana kerajaan BN dapat memberi banyak ‘gula-gula’ kepada rakyat.
“Tetapi saya ingin mengingatkan rakyat jangan dipengaruhi oleh ‘gula-gula’ itu kerana manfaat darinya hanya boleh dinikmati selama 2 minggu semasa kempen sahaja.
“Lepas kempen selesai dan kertas undi sudah dipangkah, maka hidup rakyat akan kembali susah setelah ‘gula-gula’ itu ditarik-balik,” terang Khalid.
ADUN PH DIUSIR PEGAWAI IMIGRESEN KELUAR SARAWAK
ADUN PH diusir pegawai imigresen keluar Sarawak
ADUN Kuala Sepetang, Chua Yee Ling diusir dari Sarawak ketika sedang menghadiri majlis makan malam anjuran PKR.
Wakil rakyat dari Perak itu diusir apabila pegawai imigresen dan polis datang ke majlis itu yang diadakan di Eastwood Valley Golf & Country Club di Miri.
Rakaman yang disiarkan di halaman Facebook Chua menunjukkan beliau diiringi keluar dari tempat berkenaan oleh pegawai-pegawai imigresen.
Chua yang kelihatan tenang ketika pengusiran itu berkata beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkenaan.
“Kamu hanya melakukan tugas kamu, tapi saya tertanya-tanya mengapa,” katanya kepada pegawai imigresen.
Beliau kemudian dibawa dengan kenderaan SUV berwarna hitam.
Chua memberitahu Malaysiakini pada kira-kira jam 9.30 malam bahawa beliau menaiki penerbangan untuk kembali ke Semenanjung.
Terdahulu hari ini, dua anggota parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sean (Petaling Jaya Selatan) dihalang memasuki Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri.
Mereka juga dijadualkan hadir pada majlis makan malam berkenaan.
Pengusiran itu dibuat sehari sebelum Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Sarawak.
Kehadiran Mahathir ke bumi kenyalang itu merupakan penampilan sulung beliau di negeri itu sejak menjadi pembangkang.
Bekas presiden Umno itu akan berucap di Kuching dalam satu ceramah berkaitan manifesto yang akan ditawar kepada rakyat Sarawak pada pilihan raya umum akan datang.
Turut dijadualkan hadir ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, dan Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Dr Hatta Ramli.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg petang ini memberi jaminan bahawa Mahathir, Lim dan Hatta akan dibenarkan memasuki negeri itu.
PRU 14: SUASANA DI PERAK SEDANG BERUBAH
PRU 14: Suasana di Perak sedang berubah
Suasana di Selama, Perak lengang sebelum dan selepas kali pertama Penasihat Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohammad melawat daerah itu.
Untuk seketika, Dataran Manggis di situ yang namanya diambil sempena sebuah padang dikelilingi pepohonan manggis yang rendang, dipenuhi manusia.
Namun di sebalik ucapan berapi dan keyakinan tinggi diperlihatkan kepada hadirin, ada di kalangan pengundi mereka yang masih tidak yakin untuk memadamkan majoriti 5,296 undi Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut, utara Perak itu.
Seorang pesara tentera Mat Ramzi Mohd dan isterinya Siti Ramlah Mod Isa yang berusia awal 60-an antara hadirin yang tiba awal, dilihat duduk di tapak ceramah tanpa ditemani sesiapa.
“Saya nak dengar dulu apa yang semua (pemimpin Pakatan Harapan) nak kata,” kata bekas ahli renjer tentera itu.
Perjalanannya menunggang motosikal selama sejam setengah dari Kampung Keliang Gunung itu dilihat sebagai satu usaha untuknya dan pengundi atas pagar lain mendapatkan maklumat jelas sebelum membuat keputusan siapa yang harus diundi.
“PAS, Umno semua dah beri janji kepada saya. Tapi saya tahu ekonomi sekarang dalam masalah. Saya faham penjelasan mengenai skandal ekonomi.
“Ni saya nak dengan apa yang Tun (Mahathir) nak cakap,” katanya.
Terdapat tiga DUN dalam Parlimen Larut iaitu Selama, Batu Kurau dan Kubu Gajah, dengan 90% penduduknya ialah Melayu.
Umno memenangi semua DUN itu walaupun dengan majoriti yang tidak begitu meyakinkan.
Hanya kira-kira 200 orang hadir ketika acara dijadualkan berlangsung jam 8.30 malam itu bermula, sebelum keadaan menjadi jauh lebih meriah selepas kedatangan Dr Mahathir diiringi gendang dan alatan muzik tradisional sejam kemudian.
“Saya tak tahu apa-apa mengenai 1MDB, saya hanya tahu sekarang harga barang semuanya mahal,” kata Govinda Muthusamy yang bekerja di sebuah stesen minyak di depan tapak ceramah.
Katanya, harga makanan kini bertambah mahal sehingga keluarganya mungkin tidak lagi boleh makan makanan biasa seperti sambal ikan kerana tidak mampu.
“Ikan temenggong, ikan kayu sekarang RM13 sekilo. Dulu hanya RM5.
“Kami sekarang masih mampu makan ikan, cuma dah kurang. Mungkin nanti tak dapat makan lagi,” katanya.
Dr Mahathir tiba dan memberi ceramah dengan mesej jelas agar orang kampung tidak lagi mengundi BN. Setiap ucapan dan jenaka bekas perdana menteri itu mendapat sambutan hangat hadirin.
“Ini pertama kali saya nampak Tun (Mahathir). Dia nampak masih sihat dan bersemangat,” komen Abdul Hadi, yang menetap kira-kira 1km dari tapak ceramah.
Bagaimanapun, dia enggan beri jawapan ketika ditanya adakah dia faham dan akan mengundi PH pada pilihan raya akan datang.
Seorang lagi saudaranya, Azman Ismail yang berasal dari pekan Kubu Gajah bagaimanapun menyatakan pendiriannya.
“Saya yakin orang ramai puas hati dengar pandangan Tun Mahathir.
“Paling penting ialah orang kampung juga rasa barang makin hari makin naik. Yang miskin makin susah,” katanya yang datang bersama beberapa saudara-mara.
“Bila Tun kata boleh ubah (keadaan) saya nak tengok keadaan berubah,” katanya selepas Dr Mahathir meninggalkan tapak ceramah.
Sentimen Azman turut dikongsi oleh sebilangan besar hadirin lain. Kebanyakan penduduk kampung bekerja di ladang getah, kelapa sawit atau berniaga kecil-kecilan.
Ketua PH Larut Razali Ismail bagaimanapun yakin kehadiran Dr Mahathir mampu memberi anjakan tambahan kepada pengundi Melayu di Parlimen ini.
“Masalah paling besar sini adalah Melayu. Dengan adanya Tun, trend undi Melayu bukan saja di Larut tapi di seluruh negara akan berubah,” katanya
CINA TOLERAN, TIDAK KISAH WANG CUKAI BANTU MELAYU
Cina toleran, tidak kisah wang cukai bantu Melayu
Dalam cubaan menolak kepercayaan yang akan berlaku kekecohan jika Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum akan datang, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata masyarakat bukan Melayu tidak pernah ada masalah dengan orang Melayu.
Beliau berkata tidak ada sebab untuk percaya yang kepentingan Melayu dan Bumiputera tidak akan dilindungi, sedangkan Cina, kebanyakannya menjalankan perniagaan yang selama ini membayar sebahagian besar cukai kepada kerajaan tanpa merungut wang mereka digunakan bagi manfaat Melayu.
“Komuniti perniagaan Cina bekerja keras untuk berjaya. Mereka bayar cukai, macam-macam jenis cukai. Mereka bayar hampir kebanyakan cukai.
“Tetapi mereka tidak pernah merungut bila duit itu digunakan untuk membangunkan kawasan luar bandar, dan dibelanjakan untuk kebajikan membantu orang miskin termasuk Melayu,” katanya pada majlis makan malam kutipan dana DAP di Bayan Baru, malam tadi.
“Tauke Cina tak pernah merungut cukai yang mereka bayar digunakan untuk bangunkan Felda, usahawan Mara, biasiswa dan sekolah agama.
“Tetapi mereka marah bila duit cukai mereka dicuri oleh pemimpin Umno,” katanya disambut sorakan kira-kira 3,000 hadirin.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata itu hanya dongeng Umno dan BN yang berkata mereka perlu kekal berkuasa untuk memastikan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera terus dilindungi.
“Mereka kata Melayu dan Bumiputera terancam jika BN tumbang. Bolehkah pandangan ini terus diterima?
“Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri dan pengerusi BN) pun sekarang sudah bersama Pakatan Harapan,” katanya.
Mohamad berkata beberapa negeri sudah pun berubah kerajaan tanpa berlaku insiden yang tidak diingini.
Katanya, Kelantan, Terengganu, Kedah, Penang, Perak dan Selangor sudah bertukar kerajaan tanpa menimbulkan suasana tidak tenteram.
“Semua penjawat awam, termasuk polis dan tentera akan tetap menjalankan kerja mereka seperti biasa. Hanya Umno yang cemas kerana ada antara mereka yang mungkin masuk penjara. Terpulang kepada mereka untuk jelaskan di mahkamah,” katanya.
PH menyasarkan untuk menawan Putrajaya bagi menyingkirkan BN daripada kuasa pada pilihan raya umum akan datang dan mengambil Kedah, Perak, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Pemimpin pembangkang akan menggunakan negeri yang diterajui PH seperti Pulau Pinang dan Selangor sebagai lambang kejayaan mereka untuk meyakinkan pengundi memberi peluang kepada pembangkang mentadbir kerajaan persekutuan.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata PH boleh menunaikan janjinya untuk menyingkirkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang membebankan rakyat.
Beliau berkata di Pulau Pinang, tanpa GST negeri itu masih boleh menjaga kebajikan mereka yang memerlukan dan memberi skim bantuan kebajikan tahunan dalam jumlah besar menerusi kerajaan yang bersih.
Katanya, sejak 2008, negeri itu mencapai surplus bajet tahunan, meningkatkan kebersihan, menarik pelaburan, membina rumah mampu milik, memelihara rizab hutan kekal dan mengurangkan hutang negeri.
PARTI GENERASI BARU AKAN SERTAI PH
Parti Generasi Baru akan sertai PH
Minioriti terpinggir akan memberikan sekurang-kurangnya 20% undi orang India kepada Pakatan Harapan (PH), kata pengerusi Parti Generasi Baru (NewGen).
Rajaretinam Armuggan berkata Parti NewGen memutuskan untuk menyertai PH kerana mereka mahukan perubahan di Putrajaya.
“Penglibatan langsung NGO dalam kerjasama dengan Parti NewGen akan memastikan kejayaan untuk PH.
“Etnik India akan menjadi penentu di lebih 50 kawasan Parlimen dan lebih daripada 100 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara Orang Asal akan menjadi penentu di hampir tujuh kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN.
“Kami yakin yang Parti NewGen/Mira dengan sokongan lebih daripada 100 NGO akan dapat memastikan 15-20% undi daripada orang India untuk PH dalam kawasan yang orang India akan menjadi penentu kejayaan,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur.
Parti NewGen akan menghantar permohonan menukar nama kepada Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) kepada Jabatan Pendaftar Persatuan (RoS) tidak lama lagi dan kepimpinan terdiri daripada pemimpin NGO yang bergiat aktif di akar umbi lebih daripada 20 tahun.
Rajaretinam berkata NewGen/Mira bermatlamat untuk mengukuhkan lagi PH dan memastikan pembangkang dapat membentuk kerajaan baru di Putrajaya.
“Kami yakin kami dapat memberikan 25 daripada 35 kerusi Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan pada PRU14.
“Selain itu, kami akan membantu mengukuhkan 12 daripada 24 kerusi marjinal pembangkang yang berada dalam bahaya,” katanya.
Katanya, NewGen/Mira tidak mempunyai hasrat untuk bertanding di mana-mana kerusi yang dimiliki mana-mana pemimpin India dalam PH tetapi hanya akan bertanding untuk kerusi yang dikenalpasti dan dibenarkan Majlis Presiden PH.
“(Dengan menyertai PH) Kerana itu, nasib minoriti dan terpinggir akan berubah.
“Kami juga berharap rakan kami dalam PH akan mempertimbangkan permohonan kami untuk menyertai PH kerana kami ikhlas dan tidak meminta apa-apa. Kami tidak mempunyai sebarang tuntutan,” katanya dan menambah yang Putrajaya perlu mengiktiraf Resolusi PBB 1992 Mengenai Hak Minoriti bagi menghalang peminggiran berterusan hak minoriti dan komuniti terpinggir dalam pembangunan negara.
Menyentuh mengenai pertemuan Dr Mahathir Mohamad dengan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), Rajaretinam berkata kumpulan Hindu itu bukan pesaing mereka.
“Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Mereka bukan pesaing kami.
“Kami mewakili minoriti pelbagai etnik. Hindraf tidak boleh jadi pesaing (kami) kerana mereka mewakili orang Hindu,” katanya lagi.
Bulan lepas, Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Hindraf untuk menarik kumpulan pendesak orang India itu menyertai pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata usaha Dr Mahathir menarik Hindraf menyertai pembangkang tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi pembangkang.
Naib Presiden Umno Hishammudin Hussein menyifatkan pertemuan itu sebagai usaha terdesak pembangkang.
CARI PENYAKIT: TIGA BEKAS MB BERMASALAH DIGANDING DI SELANGOR
PH yakin tawan 10 kerusi parlimen Sabah
Pakatan Harapan Sabah terima hakikat perlawanan menentang Barisan Nasional di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang mustahil dilakukan 1 lawan 1.
Pengerusi Christina Liew berkata, ini kerana PH hanya akan bekerjasama dengan “pembangkang sebenar” yang benar-benar mahu menukar kerajaan.
“Kita tahu parti mana yang boleh diajak bekerjasama dan pintu kami sentiasa terbuka. Di Sabah, kita ada banyak parti, jadi tidak mungkin ada perlawanan 1 lawan 1.
“Walaupun kita bekerjasama dengan parti tertentu dan berpakat dengan mereka, akan ada parti lain yang mungkin tidak akan bersetuju.
“PH akan bekerjasama dengan 1 atau 2 parti tempatan yang mempunyai matlamat untuk menukar kerajaan dan bagi mencapai matlamat itu, kita perlu bersatu,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto PH Sabah hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedar ada parti pembangkang tempatan yang mesra BN dan PH Sabah tidak akan mendekati mereka.
Tanpa kerjasama kuat antara parti pembangkang, Christina percaya peluang untuk menukar kerajaan Sabah tidak mudah.
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan parti itu mengadakan rundingan tidak rasmi dengan beberapa parti Sabah tertentu untuk mencapai suatu persetujuan.
“Kita perlu capai suatu bentuk persetujuan dan persefahaman. Kami tahu jika pembangkang berpecah maka peluang untuk menumbangkan kerajaan BN akan berkurang,” katanya.
Beliau menambah PKR terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti yang sudi dan mencapai suatu bentuk kerjasama demi mencapai matlamat bersama.
Mengenai potensi kerusi yang boleh dimenangi gabungan pembangkang itu, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata mereka yakin boleh memenangi lebih dari 10 kerusi Parlimen, berdasarkan kepada pencapaian pada PRU 2013.
Bagi kerusi DUN pula, Stephen bagaimanapun berkata mereka masih menunggu parti pembangkang tempatan untuk tampil supaya pengagihan kerusi boleh dilakukan.
“Kita mahu satu perikatan supaya boleh ada semak dan imbang. Kita tidak mahu satu parti menguasai semua kerusi negeri. Saya fkir rakyat mengatasi sentimen tempatan atau semenanjung. Isu paling penting ialah tadbir urus yang baik dan kepercayaan rakyat,” katanya. –
CARI PENYAKIT: TIGA BEKAS MB BERMASALAH DIGANDING DI SELANGOR
Cari penyakit: Tiga bekas MB bermasalah diganding di Selangor
“Noh Omar tidak perlu ‘angan-angan mat jenin’ konon nak gandingkan 3 bekas menteri besar di Selangor untuk rampas semula negeri itu dari pembangkang.”
Itu respon Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang berpandangan kenyataan dibuat oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar semalam, sesuatu yang melucukan apabila bercadang mengembalikan semula tokoh pemimpin negeri dan parti itu Tan Sri Abu Hassan Omar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Dr Mohd Khir Toyo kembali bekerja untuk parti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
” Ketiga-tiga bekas menteri besar Selangor ini mempunyai rekod buruk di kaca mata rakyat. Rekod yang terlalu teruk.
“Sekiranya Noh Omar gandingkan ketiga-tiga bekas menteri besar ini dengan agenda untuk rampas semula Selangor, saya nak ucapkan ‘terima kasih banyak-banyak’ padanya.
“Tindakan Noh Omar untuk guna khidmat ketiga-tiga bekas menteri besar Selangor ini akan mempercepatkan Umno-BN tumbang lebih teruk dan pantas lagi di Selangor.
“Tak usah kata rakyat Selangor nak sokong tetapi dengar nama ketiga-tiga bekas menteri besar itu pun mereka sudah ‘jelek’,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin mengulas mengenai kenyataan dibuat Noh semalam yang dipetik berkata, dengan menyatukan tiga bekas menteri besar itu bagi memastikan BN menawan kembali Selangor kerana mereka bertiga dikatakan akan memberi ‘aura’ baru kepada Umno-BN di negeri itu.
Bahkan Noh menambah hasratnya itu sudahpun dibincangkan bersama tiga bekas menteri besar itu dan setakat ini ujarnya, mereka bersetuju untuk bergandingan dengan Umno Selangor dalam usaha menumpaskan Pakatan Harapan di Selangor.
Menurut Khairuddin lagi, beliau begitu hairan dengan pemilihan Abu Hassan, Muhammad Taib dan Khir yang dianggapnya tidak lagi relevan dalam landskap politik mutakhir ini khususnya di Selangor.
“Datuk Seri Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) amat cemerlang mentadbir Selangor pada hari ini. Pergilah ke pelusok mana pun di negeri Selangor keseluruhan rakyat jelata amat puji dengan mutu kepimpinan ‘peduli rakyat’ serta ‘tanggungjawab sosial’ yang dijalankan oleh menteri besar Selangor hari ini
“Ketika Umno memimpin negeri ini tabungan negeri habis licin. Tetapi Datuk Seri Azmin pimpin Selangor ‘reserve’ tabungan negeri berjumlah lebih RM4.1 bilion.
“Kebaikan lain tak perlu hurai kerana terlalu banyak serta teramat panjang senarainya,” ujarnya. –
KR1M, FELDA LEBIH PERLUKAN DANA BERBILION RINGGIT DILABUR KE AMERIKA
KR1M, Felda lebih perlukan dana berbilion ringgit dilabur ke Amerika
Lebih baik dana berbilion ringgit yang mahu dibelanjakan Perdana Menteri untuk ‘mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat’ digunakan bagi keperluan dalam negara yang lebih mendesak, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Kit Siang menasihati Datuk Seri Najib Razak supaya menggunakan dana berjumlah RM60 bilion itu untuk mengukuhkan ekonomi negara dan bukan untuk memangkin ekonomi negara maju dan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.
“Bermacam-macam cara boleh dilakukan untuk membantu rakyat Malaysia dengan dana sebesar itu.
“Sebagai contoh membantu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang terpaksa ditutup sementara, membantu 100,000 peneroka Felda yang menghadapi krisis ekonomi atau 700,000 graduan yang gagal membayar hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara),” ujarnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin seperti dilaporkan media semalam memaklumkan bahawa KR1M akan ditutup untuk sementara waktu bagi tujuan penambahbaikan.
Bagaimanapun ini bertentangan dengan kenyataan syarikat pengendali KR1M di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSI), Mydin Mohamed Holdings yang mendakwa mengalami kerugian yang besar.
KR1M yang ditubuhkan dan dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.
Sementara itu, Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) turut mengalami kerugian mencecah RM10 bilion selain harga saham yang kian menurun – kerugian yang secara tidak langsung turut memberi kesan terhadap pendapatan peneroka.
“Tidak syak lagi, terdapat keperluan yang mendesak bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan ekoran penutupan KR1M di seluruh negara, malah ribuan peneroka serta graduan yang gagal membayar semula hutang PTPTN memerlukan perhatian yang serupa.
“Sudah tiba untuk Najib bangkit dan menyedari bahawa realitinya kerajaan Malaysia dan ekonominya malahan dirinya tidak mampu untuk mengukuhkan ekonomi AS, adalah menjadi tugasnya sebagai Perdana Menteri untuk mengukuh ekonomi negaranya sendiri,” tambahnya.
SELEPAS GEMPUR SEMENANJUNG, TUN MAHATHIR KE SARAWAK
Selepas gempur Semenanjung, Tun Mahathir ke Sarawak
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menyampaikan ceramah pertamanya di Sarawak sejak keluar Umno, Ahad ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu bakal berucap di Kuching dalam program ‘Tawaran Baru Harapan Baru’ yang berkaitan manifesto HARAPAN di negeri itu.
Turut dijangka hadir adalah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Hatta RAmli dan pemimpin HARAPAN Sarawak, antaranya Chong Chieng Jen, Baru Bian dan Mohd Fidzuan Zaidi.
Pemimpin pembangkang dari Semenanjung Malaysia sering berhadapan masalah untuk masuk ke Sarawak, yang memiliki kuasa autonomi dalam soal imigresen negeri.
Namun, sumber dari pejabat ketua menteri Sarawak memaklumkan kepada Malaysiakini yang pemimpin HARAPAN termasuk Mahathir, Lim dan Hatta akan dibenarkan masuk untuk menyertai program itu.
Program Ahad ini akan diadakan di hadapan Pasaraya Everrise BDC bermula pukul 6.30 petang.
Program Ahad ini akan diadakan di hadapan Pasaraya Everrise BDC bermula pukul 6.30 petang.
Setakat ini masih belum jelas apakah tawaran HARAPAN untuk Sarawak.
Namun, mereka dijangka akan menunjukkan barisan kepimpinan yang lebih kuat dan bersatu, selepas pertelingkahan antara PKR dan DAP yang menjadi salah satu faktor prestasi buruk pakatan pembangkang dalam pilihan raya negeri pada 2016.
RCI FOREX: PEGUAM DIHALANG AKSES LAPORAN AUDIT, CACATKAN KES
RCI forex: Peguam dihalang akses laporan audit, cacatkan kes
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dituduh tidak mendedahkan laporan audit dan dokumen yang boleh menjelaskan kerugian yang dihadapi Bank Negara Malaysia (BNM) antara 1991 hingga 1994, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.
Haniff yang mewakili Dr Mahathir Mohamad berkata, RCI baru-baru ini menyekat akses kepada dokumen itu semasa prosiding.
“Pengerusi tidak membuat sebarang keputusan dan berpendapat bahawa RCI tidak terikat dengan Akta Rahsia Rasmi, yang merupakan kesilapan besar dalam undang-undang,” katanya dalam penyerahan bertulisnya hari ini.
“Oleh itu, ia tidak akan menjadi kepentingan RCI ini untuk meneruskan apa-apa cadangan selanjutnya, yang tidak mematuhi peruntukan yang menafikan pendedahan jenayah kepada mana-mana pesuruhjaya, pegawai atau saksi.”
Penyerahan bertulis itu diserahkan kepada setiausaha RCI Yusof Ismail pada jam 5 petang hari ini.
Siasatan itu menyaksikan 25 saksi memberi keterangan. Kenyataan mereka hadir dengan 42 dokumen, termasuk laporan audit sulit yang tidak didedahkan kepada umum.
Haniff berkata saksi, termasuk Dr Mahathir dan bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim, tidak ditunjukkan dokumen yang boleh diakses oleh pesuruhjaya RCI.
“Oleh itu, penyerahan kami, bahawa RCI ini menghentikan perbincangan dan penentuan semua bahan yang dikemukakan semasa prosiding terhadap lima terma rujukan,” katanya.
RCI itu ditubuhkan pada Julai berikutan dakwaan bekas penolong gabenor BNM Abdul Murad Khalid bahawa kerugian adalah AS$10 bilion, lebih tinggi daripada RM9.3 bilion yang dilaporkan oleh BNM dalam laporan tahunan pada 1994.
Haniff turut membantah laporan “Pemulihan Perakaunan Kerugian yang timbul daripada Pengurusan Rizab Aktif 1988 – 1994” yang disediakan oleh bekas pengurus akaun BNM Abdul Aziz Abdul Manaf pada 2007, yang mendakwa kerugian adalah RM31.5 bilion
Haniff berkata ia bukan “tuduhan yang sah”.
Angka RM31.5 bilion hanya timbul selepas penyediaan (pemulihan perakaunan Aziz), yang disediakan untuk tujuan mengumpul bahan untuk menghasilkan cadangan yang diperlukan untuk dimasukkan sebagai check and balance yang betul di bawah akta baru Bank Negara yang telah diluluskan pada tahun 2009.
“Oleh itu, tujuan dan objektif dasar dalam penyediaan laporan 2007 itu sendiri, bukanlah untuk menentukan kerugian dalam forex pada tahun 1992 hingga 1994.
“Ini disahkan oleh Aziz, yang juga pengarang bersama Laporan 2007 bersama saksi No.10 (bekas pengurus Jabatan Kewangan BNM, Khaw Lay Kuan).
Haniff turut menegaskan bahawa keterangan Aziz dalam penyediaan Laporan 2007, dia tiada akses untuk menyemak dan mengesahkan dealing chit dan pengesahan telex berhubung urusniaga forex.
“(Aziz) tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli panel RCI ini bahawa rizab dalam akaun rizab menunjukkan kenaikan positif rizab sepanjang tempoh 1988 hingga 1994, yang tidak akan menyokong hakikat bahawa kerugian forex boleh direkodkan di bawah akaun rizab, kerugian harus secara semulajadi berkurangan dan tidak meningkatkan rizab.
“Persoalan itu telah diakui oleh Saksi No.1 (Aziz) bahawa dia tidak dapat menjawabnya. Oleh itu, adakah terdapat kerugian sebenar sebanyak RM31.5 bilion seperti yang dilaporkan dalam Laporan 2007? Persoalan ini akan menimbulkan keraguan tentang tuduhan bahawa kerugian dalam dagangan forex antara tahun 1992 hingga 1994 memang RM31.5 bilion, ” kata Haniff.
RCI itu memulakan pendengaran saksi bermula 21 Ogos dan berakhir pada Selasa.
Sebagai sebahagian daripada terma rujukannya, RCI akan mencadangkan “tindakan yang sesuai” untuk diambil terhadap mereka yang didapati secara langsung atau tidak langsung terlibat menyebabkan kerugian dan menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, yang berlaku 25 tahun lalu.
Panel akan membentangkan penemuannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober.
Subscribe to:
Posts (Atom)
