PRU 14: Suasana di Perak sedang berubah
Suasana di Selama, Perak lengang sebelum dan selepas kali pertama Penasihat Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohammad melawat daerah itu.
Untuk seketika, Dataran Manggis di situ yang namanya diambil sempena sebuah padang dikelilingi pepohonan manggis yang rendang, dipenuhi manusia.
Namun di sebalik ucapan berapi dan keyakinan tinggi diperlihatkan kepada hadirin, ada di kalangan pengundi mereka yang masih tidak yakin untuk memadamkan majoriti 5,296 undi Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut, utara Perak itu.
Seorang pesara tentera Mat Ramzi Mohd dan isterinya Siti Ramlah Mod Isa yang berusia awal 60-an antara hadirin yang tiba awal, dilihat duduk di tapak ceramah tanpa ditemani sesiapa.
“Saya nak dengar dulu apa yang semua (pemimpin Pakatan Harapan) nak kata,” kata bekas ahli renjer tentera itu.
Perjalanannya menunggang motosikal selama sejam setengah dari Kampung Keliang Gunung itu dilihat sebagai satu usaha untuknya dan pengundi atas pagar lain mendapatkan maklumat jelas sebelum membuat keputusan siapa yang harus diundi.
“PAS, Umno semua dah beri janji kepada saya. Tapi saya tahu ekonomi sekarang dalam masalah. Saya faham penjelasan mengenai skandal ekonomi.
“Ni saya nak dengan apa yang Tun (Mahathir) nak cakap,” katanya.
Terdapat tiga DUN dalam Parlimen Larut iaitu Selama, Batu Kurau dan Kubu Gajah, dengan 90% penduduknya ialah Melayu.
Umno memenangi semua DUN itu walaupun dengan majoriti yang tidak begitu meyakinkan.
Hanya kira-kira 200 orang hadir ketika acara dijadualkan berlangsung jam 8.30 malam itu bermula, sebelum keadaan menjadi jauh lebih meriah selepas kedatangan Dr Mahathir diiringi gendang dan alatan muzik tradisional sejam kemudian.
“Saya tak tahu apa-apa mengenai 1MDB, saya hanya tahu sekarang harga barang semuanya mahal,” kata Govinda Muthusamy yang bekerja di sebuah stesen minyak di depan tapak ceramah.
Katanya, harga makanan kini bertambah mahal sehingga keluarganya mungkin tidak lagi boleh makan makanan biasa seperti sambal ikan kerana tidak mampu.
“Ikan temenggong, ikan kayu sekarang RM13 sekilo. Dulu hanya RM5.
“Kami sekarang masih mampu makan ikan, cuma dah kurang. Mungkin nanti tak dapat makan lagi,” katanya.
Dr Mahathir tiba dan memberi ceramah dengan mesej jelas agar orang kampung tidak lagi mengundi BN. Setiap ucapan dan jenaka bekas perdana menteri itu mendapat sambutan hangat hadirin.
“Ini pertama kali saya nampak Tun (Mahathir). Dia nampak masih sihat dan bersemangat,” komen Abdul Hadi, yang menetap kira-kira 1km dari tapak ceramah.
Bagaimanapun, dia enggan beri jawapan ketika ditanya adakah dia faham dan akan mengundi PH pada pilihan raya akan datang.
Seorang lagi saudaranya, Azman Ismail yang berasal dari pekan Kubu Gajah bagaimanapun menyatakan pendiriannya.
“Saya yakin orang ramai puas hati dengar pandangan Tun Mahathir.
“Paling penting ialah orang kampung juga rasa barang makin hari makin naik. Yang miskin makin susah,” katanya yang datang bersama beberapa saudara-mara.
“Bila Tun kata boleh ubah (keadaan) saya nak tengok keadaan berubah,” katanya selepas Dr Mahathir meninggalkan tapak ceramah.
Sentimen Azman turut dikongsi oleh sebilangan besar hadirin lain. Kebanyakan penduduk kampung bekerja di ladang getah, kelapa sawit atau berniaga kecil-kecilan.
Ketua PH Larut Razali Ismail bagaimanapun yakin kehadiran Dr Mahathir mampu memberi anjakan tambahan kepada pengundi Melayu di Parlimen ini.
“Masalah paling besar sini adalah Melayu. Dengan adanya Tun, trend undi Melayu bukan saja di Larut tapi di seluruh negara akan berubah,” katanya