Beberapa minggu lalu, Tengku Razaleigh Hamzah menyebut bahawa Tun Dr
Mahathir Mohamad tidak ada pengaruh lagi untuk memenangkan Datuk Mukhriz
Mahathir. Orang tidak mahu dengar Dr Mahathir. Hari ini, pendapat
Tengku Razaleigh Hamzah dibuktikan benar. Dr Mahathir tidak ada pengaruh
lagi.
Mukhriz kalah lagi. Beberapa tahun lalu, bila Mukriz lawan Khairy
Jamaluddin Abu Bakar (KJ) untuk jawatan ketua Pemuda, Mukhriz tewas.
Maknanya, Dr Mahathir pun tewas.
Nampaknya, Umno tidak mahu dengar cakap Dr Mahathir lagi. Lebih elok Dr
Mahathir menyokong gerakan yang benar-benar mahu menyelamatkan Malaysia
daripada pemimpin Umno yang tamak haloba. Dr Mahathir boleh menebus
segala salah laku selama 22 tahun jadi PM dengan bersama-sama
menyelamatkan Malaysia. Oleh kerana baka Dr Mahathir hidup lama, maka
masih ada masa untuk Dr Mahathir berbuat demikian.
Ketika round pertama dulu, bab yang Dr Mahathir menang ialah dia
berjaya menghasut meyakinkan ramai pemimpin Umno ketika itu membeloti
Pak Lah. Beza Pak Lah dengan Najib ialah Pak Lah ketika itu selalu
tidur. Sama ada disebabkan suatu penyakit yang Pak Lah kata dia ada atau
memang benar Pak Lah suka tidur, maka Pak Lah tersungkur.
Tapi Najib walaupun lembab , dia tidak tidur. Najib mahu checkmate
pengaruh Dr Mahathir jadi dia buat panggilan peribadi kepada semua
pengerusi perhubungan dan pemimpin Umno tertentu di peringkat bahagian
menyatakan dia mahukan status quo. Bagaimana saya tahu? Sebab saya bekas
ketua penerangan Najib dahulu dan saya tahu memang ini cara Najib.
Hendak buat terang-terangan dia penakut, maka dia buat personal calls.
Dalam perbualan tersebut, Najib akan pujuk dengan pelbagai umpan dan
konsesi. Dr Mahathir pun kalau dia panggil sendiri, apa yang dia boleh
tawarkan? Dia bukan lagi PM yang ada kuasa memati dan menghidupkan.
Semalam Pak Lah bersara daripada politik. Akhirnya Pak Lah yang menang
dan berundur dengan tenang. Pak Lah nyata lebih kuat sebab dia hidup
dengan Jean. Dr Mahathir belum bersara dan hidup berjaga dengan dendam
membara. Mulai hari ini, meriam Dr Mahathir akan menghala kearah Najib.
Orang Umno yang sayang Dr Mahathir terutama dari Sabah yang menyatakan
mereka tetap sayang Dr Mahathir mesti bangkit menyokong Dr Mahathir.
Buktikan perasaan kepada Dr Mahathir lebih kuat daripada perasaan
inginkan envelop itu bah.
Pemilihan Umno sudah pun tamat. Naib presiden penyandang semua menang.
25 orang ahli Majlis Tertinggi (MT) pun dipilih. Orang akan melihat
pengukuhan pengaruh Najib dalam kemenangan tiga penyandang naib presiden
Umno. Pemilihan 25 MT lain pula. Ia adalah cerita janji yang diberi dan
janji yang serupa dikhianati. It’s a story of promises given, promises
broken. Lebih 60 orang yang bertanding MT tahu apa yang saya cakapkan.
Lihat penghisaban mudah ini; Jika setiap 146,000 perwakilan mendapat
RM500 daripada setiap penjuru untuk satu tempat MT, maka wang yang
diterima secara konservatifnya ialah RM73 juta. Untuk jawatan Naib
presiden jika setiap perwakilan menerima secara pukul keliling RM1,000,
maka RM146 juta. Paling minima RM200 juta menghujani ke atas perwakilan
Umno.
Bagaimana pula kepada skuad ejen calon yang menjelajah semua 191
bahagian Umno terutama untuk calon naib presiden? Setiap calon ada 10
orang untuk setiap bahagian dan 191 bahagian mempunyai 1,910
operatives. Jika setiap operatives ini diupah RM2,000 untuk dua minggu
kerja, jumlah pembayaran kasar ialah RM38 juta. Maka secara
konservatifnya, jumlah keseluruhannya sudah mencecah RM238 juta.
Saya tidak akan terkejut jika jumlah wang yang berligar mencecah RM400
juta. Pemimpin atasan dalam 191 bahagian Umno takkan mahu dibayar
RM20,000? Kalau RM1 juta satu bahagian untuk top dogs, sudah RM191 juta.
Campur dengan RM238 juta sudah melebihi RM400 juta. Sebelum pemilihan
ini dua minggu lalu, saya terdengar desas-desus dari kawan Umno saya,
bahawa RM600 juta akan hujan rahmat macam hujan rahmat ke atas peneroka
Felda suatu ketika dahulu. Hujan rahmat ini membasahi juga golongan
haram jadah yang tidak menyokong Najib tapi sukakan kertas gambar Agong
terutama yang berwarna ungu tu. Ada envelopnya bah..
Akhirnya yang menang ialah wang. Tidak ada yang demokratik dengan
melibatkan 146,500 perwakilan Umno di seluruh negara. Yang berlaku
bukannya pendemokrasian pemilihan - yang berlaku ialah penaburan wang
secara lebih meluas. Jika dahlulu hanya 2,500 orang sahaja yang
berkesempatan dilayani dan dimanjakan oleh pesaing pemilihan, kali ini,
jumlah yang dijamu dan dilayani bertambah daripada 2,500 kepada 146,000
orang. Kaedah pemilihan kali ini meningkatkan nilai dan pentingnya
ketua bahagian dan pemimpin utama di bahagian Umno.
Yang bersifat baharu ialah pertambahan pembuat keputusan untuk
menentukan pimpinan dalam parti Umno. Tapi mengharapkan pembaharuan dan
kemajuan berlaku dalam tahun pertama kaedah pemilihan secara electoral
college ini, hanyalah menipu diri sendiri. Saya harap ahli dan pemimpin
Umno mengakui perkara ini. Langkah seterusnya dan cabarannya ialah
membenarkan semua 146,000 orang dihitung secara pengundi popular.
Ketepikan bloc voting.
Cuba kita perhatikan kenyataan pesaing yang tewas. Kebanyakan
menyatakan bahawa mereka kalah kerana perwakilan menolak mereka kerana
mahu melakukan pembaharuan dan mereka tidak main politik wang. Saya
tidak hairan, jika hari ini dan hari seterusnya, Dr Mahathir akan
menyerang kepimpinan Najib sebagai kepimpinan yang merakyatkan politik
wang. Yang berlaku ialah pendemokrasian politik wang. Ia dilakukan
secara lebih meluas. Pemimin Umno yang tidak ada wang, tidak ada peluang
langsung dalam politik Umno.
Tapi ini suatu yang bagus. Ia bermakna, Umno tidak ada masa depan
kerana ia tidak lagi membangun atas prinsip dan sistem nilai. Dalam
PRU14 nanti Umno akan dibelasah lagi teruk.
Kenapa? Sebab yang menang kebanyakannya daripada generasi X dan Y
sedangkan yang akan mengundi dalam tahun 2018 nanti, majoritinya
daripada generasi Z. Anak muda tidak terikat dengan pemikiran sekolah
lama yang bercakap mengenai Melayu terancam dan diancam. Generasi yang
tidak terpengaruh dengan percakapan perkauman, cakap mengajak rakyat
berkelahi dan bercakap mengenai unsur yang memecahbelahkan negara.
Generasi Z terdiri daripada pengundi yang menghitung faedah dan kos,
untung dan rugi, generasi yang bercakap mengenai kebenaran dan
kepalsuan, benar atau salah. generasi yang akan membuat keputusan
mengikut right or wrong dan generasi yang mengadili sama ada kamu cekap
dan competent.
Bolehkah Umno menyesuaikan diri dengan persekitaran yang demikian dalam
masa 5 tahun ini? Tidak mungkin. Generasi Z akan menenggelamkan
pimpinan generasi X dan Y Umno sekarang.
Itu menjadikan Umno apa? Ia menjadikan Umno - simply irrelevant dalam
persekitaran generasi Z. – sakmongkol.blogspot.com, 20 Oktober, 2013.
* Penulis atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz ialah Ahli Parlimen Raub.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.