Peguam dan pemerhati politik, Liyana Marzuki membuat laporan polis terhadap empat individu susulan dakwaan di media sosial yang menyebarkan fitnah mengaitkannya dengan penolakan hukum Islam.
Liyana berkata laporan itu melibatkan tiga individu di Facebook dan seorang lagi menerusi WhatsApp yang menyebarkan tuduhan berkaitan penutupan aurat dan pemakaian tudung terhadapnya.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC) itu berkata, semakan mendapati pihak yang terbabit menyebarkan tuduhan tersebut mempunyai kaitan dengan parti-parti politik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan membuat laporan polis bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara atau menutup ruang kritikan terhadap pandangannya.
“Saya membuat laporan polis ini bukanlah menafikan kebebasan bersuara atau mengkritik sebab saya dah sembilan tahun menulis,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Cyberjaya, hari ini.
Tohmahan
Liyana berkata, sepanjang aktif menulis di media sosial, beliau sudah terbiasa berdepan tohmahan, kritikan dan cacian.
Namun, tegas pengendali podcast ‘Jangan Pajak Otak’ itu, dakwaan yang menyentuh soal akidah serta pegangan agama dianggap sudah melampaui batas.
Menurutnya, tuduhan sedemikian bukan lagi sekadar perbezaan pandangan politik kerana ia berpotensi membentuk budaya radikalisme dan ekstremisme yang boleh membawa risiko kepada keselamatan dirinya serta keluarga.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya budaya melabel dan menyerang pegangan agama seseorang dibiarkan menjadi senjata dalam persaingan politik di media sosial.
Sehubungan itu, Liyana berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap individu terbabit, termasuk akaun palsu yang dipercayai digunakan untuk menyebarkan kandungan berkenaan.
Katanya, individu yang mempunyai latar belakang undang-undang sepertinya juga perlu mempertahankan hak apabila berdepan apa yang disifatkannya sebagai radikalisme, ketaksuban dan pembulian siber.
“Jika saya sendiri yang berlatar belakangkan undang-undang tidak menegakkan hak saya untuk melawan radikalisme, ketaksuban dan pembulian di media sosial ini, saya rasa orang lain juga akan tertindas,” kata Liyana lagi.
No comments:
Post a Comment