KAH..KAH...LAMA DAH DOK BAGI DUIT KE MACAI PACAK BENDERA NI...KERJA UMNO TABUR DUIT NI DAH LAMA DAN AKAN BERKUBUR APABILA UMNO BERKUBUR.

 

Politik wang sebabkan UMNO sukar berubah - Ku Li



Astro Awani
Politik wang sebabkan UMNO sukar berubah - Ku Li
Tengku Razaleigh berkata kesukaran untuk berubah disebabkan UMNO masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perubahan yang diharapkan dalam UMNO kini semakin mustahil untuk berlaku, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata kesukaran itu disebabkan UMNO masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang.
Beliau menjelaskan, perkara itu menjadi lebih parah apabila sikap ahli-ahli parti yang amat mudah menerima pandangan mereka yang berpangkat.
“Kita senang sangat dengar cakap orang yang berpangkat, berjawatan dan berduit tanpa menyoal, walaupun pandangan mereka itu lain dengan apa yang diharapkan kita, sebab itu macam-macam benda jadi. Politik tidak menentu, tiga kerajaan dalam tiga tahun.
“Kalaulah dalam UMNO itu sendiri tidak begitu menyenangkan, tak mungkin diyakini boleh bersatu balik dan menjadi gagah kuat seperti dulu,” katanya ketika sesi webinar bertajuk UMNO Yang Hilang anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPN), pada Khamis.
Pada masa sama, beliau berpendapat UMNO sudah melalui pelbagai perubahan, namun masih tidak menunjukkan hasil yang positif.
“Kita kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sejak itu susah nak kembalikan UMNO kepada kedudukan lama. Banyak rakan-rakan parti yang sudah keluar dari Barisan Nasional (BN) dan kedudukan menjadi berbeza berbanding dulu, kepimpinan baharu pun ada cara baharunya.
“Itu sebab saya berundur sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, bukan kerana saya tak nak kekal dalam parti, tetapi, ada yang memberi harapan, mengapa tidak cuba aktifkan UMNO Lama.
"Kita nak bersihkan parti ini dan mahu jadi wadah yang diterima oleh masyarakat, tetapi kalau nak perbaiki UMNO Baharu adalah sesuatu yang agak mustahil,” katanya.
Justeru, beliau berpendapat perubahan minda dalam kalangan orang Melayu perlu dilakukan segera supaya tidak lagi memandang tinggi kepada individu berjawatan tinggi dan mempunyai wang yang banyak.