SALAM MAAL HIJRAH:KITA PERCAYA RAKYAT TIDAK AKAN SELAMANYA BOLEH DIPERBODOHKAN..

Maal Hijrah: Nik Aziz yakin kebangkitan rakyat tetap berlaku di Malaysia

November 27

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin kebangkitan rakyat yang disaksikan di beberapa negara khususnya rantau Arab akan tetap berlaku di Malaysia.

Justeru, kata Menteri Besar Kelantan ini, beliau berharap kebangkitan itu akan membolehkan keamanan terus dikekalkan manakala Islam dapat didaulatkan.

“Insya-Allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta.

“Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah,” kata beliau dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1433 hari ini.

Umat Islam negara ini menyambut Maal Hijrah ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat, kemungkinan suku pertama tahun depan.

Dengan menekankan keperluan amanah dan menghindari skandal rasuah, Nik Aziz (gambar) yang mengetuai kerajaan negeri sejak 1990 berkata, sejak kebelakangan ini setiap hari rakyat negara ini didedahkan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan wang sama ada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai.

Katanya, laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan 24 Oktober lalu, antara lain memfokus kepada isu salah guna dana projek ternakan lembu membabitkan RM250 juta.

“Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata.

“Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan?” katanya.

Jelas beliau, manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia, sebaliknya yang mampu memagari manusia daripada melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah.

“Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihan raya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT,” kata beliau.

Di Kelantan, kata Nik Aziz, pihaknya menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya, semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

“Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan,” katanya lagi.

No comments: