Mengikut
laporan sebuah portal berita iaitu The Ant Daily atau Semut Harian,
jutawan kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low ketika ini
sedang berada di Malaysia.
Berdasarkan
apa yang dilaporkan, Jho Low dikatakan tiba dengan menaiki penerbangan
Cathay Pacific dari Hong Kong yang memulakan perjalanan dari Jepun dan
tiba di KLIA lewat petang Khamis lalu.
Beliau
yang dikesan memakai baju batik hitam putih menaiki pesawat itu bersama
seorang lelaki berpakaian biasa dan kemudian bertemu dengan seorang
lelaki India tinggi lampai di penghubung terminal KLIA pada kira-kira jam 7.43, sebelum tergesa-gesa berlalu pergi.
Ketika
isu 1MDB sedang hangat dan menjadi bara dalam hati majoriti rakyat
negara ini dan namanya dikaitkan secara langsung dengan kemelut yang
berlaku dalam syarikat pelaburan anak emas Najib Razak itu, kepulangan
Jho Low tentu saja menimbulkan banyak persoalan serta tanda tanya.
Apakah urusannya datang ke Malaysia dan siapakah yang bakal ditemuinya di sini?
Dalam
kemelut yang yang melanda 1MDB sehingga ia dianggap skandal kewangan
terbesar di era Najib menjadi Perdana Menteri, nama Jho Low telah
disebut oleh banyak pihak termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun
Mahathir Mohamad yang mempersoalkan apakah peranan dan bagaimanakah
beliau begitu dipercayai untuk menguruskan pelaburan dana berbilion
ringgit milik syarikat tersebut.
Tun
Mahathir juga mengaitkan hubungan rapat Jho Low dengan anak tiri Najib,
Riza Aziz yang didapati memiliki kekayaan luar biasa dengan kemampuan
menerbitkan filem dengan kos kira-kira RM300 juta di Hollywood serta
membeli kondominium mewah di kota metropolitan New York.
Dalam
misteri ke mana perginya RM27 bilion daripada keseluruhan hutang 1MDB
berjumlah RM42 bilion, nama Jho Low paling banyak dikaitkan dan beliau
dilihat kunci utama untuk merungkai banyak kekusutan yang bermain di
fikiran rakyat.
Blog
ini dalam postingnya pada 15 April 2015 bertajuk "Tangkap Jho Low,
Buka Semula Kes Altantuya...Habis Cerita!!" juga menyarankan agar Jho
Low disiasat bagi memperolehi lebih banyak maklumat penting mengenai
1MDB.
Di
kalangan pemimpin UMNO, antara yang mahu jutawan playboy itu turut
disiasat ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan,
spekulasi awam mengenai penglibatannya dalam skandal 1MDB terlalu besar
untuk diabaikan.
KJ
juga mengukuhkan lagi hujahnya dengan berkata, "apa saja cara anda
melihat isu ini, cap jari Jho Low berada pada seluruh tempat dalam
1MDB."
Pendirian
KJ itu adalah berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed yang belum melihat keperluan untuk
memanggil Jho Low dalam siasatannya bagi mencungkil rahsia pelbagai
kekalutan yang timbul dalam 1MDB.
Sehingga
hari ini pun, Nur Jazlan dilaporkan masih berpendirian sama dan tidak
menyenaraikan Jho Low untuk mengadap jawatankuasa itu.
Lantaran itu, adalah tidak mungkin kepulangan Jho Low ini untuk memberikan keterangan kepada PAC.
Jadi,
apakah tujuan Jho Low kembali ke Malaysia di saat ini? Apakah beliau
mempunyai jadual bertemu dengan Najib Razak atau Presiden 1MDB, Arul
Kanda Kandasamy untuk sesuatu urusan yang juga berkaitan syarikat itu?
Mungkinkah beliau akan bertemu dengan wanita yang sangat dihormatinya dan dipanggilnya "mummy" iaitu Rosmah Mansor?
Atau beliau pulang kerana urusan keluarga dan sekadar ingin melepaskan rindu kepada ibu bapanya di Pulau Pinang saja?
Daripada
segi yang lain, munculnya Jho Low di Malaysia diketika isu 1MDB semakin
hangat diperbualkan dan namanya sentiasa disebut, ia seolah-olah beliau
ingin menunjukkan sikap "jantannya", sedia berdepan dan tidak takut
sama sekali dengan sebarang kesalahan yang mungkin dikaitkan terhadap
dirinya.
Mungkin
terlalu awal untuk mengaitkannya dengan sebarang proses undang-undang,
tetapi apakah peluang keemasan untuk menyoal siasat atau mendapatkan
maklumat daripada Jho Low yang bagaikan sudah "menyerah diri" dan ada di
depan mata ini akan dibiarkan berlalu begitu saja? (SH 30/05/2015)