
POSTED BY AMIR WRLR
KEADILAN telah mengenal pasti beberapa individu yang bertindak
sebagai ejen yang dipercayai terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli parti itu
yang keluar parti atau dipecat sebelum ini.
Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul mendakwa ejen tersebut
membuat tawaran kepada ahli Parlimen KEADILAN supaya lebih ramai wakil
rakyatnya meninggalkan parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional
(PN).
Katanya lagi, ahli-ahli Parlimen turut dimomokkan dengan persepsi
kononnya KEADILAN tiada masa depan dalam politik negara ini.
“Beberapa ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Padang Serai, M
Karupaiya dihubungi pihak tertentu yang memujuk mereka supaya tinggalkan
KEADILAN kononnya parti ini tiada masa depan cerah,” katanya.
Tambah Johari, ejen berkenaan berkemungkinan diarahkan untuk
menjadi orang tengah dengan menghubungi bekas rakan dalam parti untuk
mengukuhkan lagi majoriti PN di Parlimen.
“Ada daripada ejen terbabit yang telah lompat parti dan menjadi
sub ejen dan hubungi kawan-kawan ajak lompat masuk PN,” katanya.
Malah, katanya, KEADILAN juga mendapati kebanyakan pemimpin yang
lompat parti telah diberikan kata dua oleh individu berpengaruh.
“Hasil siasatan, mereka yang didekati ada masalah tertentu dan
sekiranya tidak bersama PN akan dikenakan tindakan atau pendakwaan, contohnya
Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang telah dibuka kertas
siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Johari berkata, pihaknya berharap SPRM kekal telus dan tidak
dijadikan alat untuk kepentingan politik pihak tertentu.
“Kami tak mahu agensi kerajaan seperti SPRM digunakan untuk tujuan
politik. Kalau SPRM nak siasat, biar semua yang terlibat disiasat, jangan
selektif,” katanya.
Pihaknya berharap kerajaan PN memberi tumpuan sepenuhnya kepada
masalah negara seperti wabak Covid-19, berbanding cubaan memancing ahli
Parlimen pembangkang untuk menyokong PN.
“Ini adalah suatu tindakan yang tidak bermaruah,” katanya.
Johari turut mengesahkan bahawa KEADILAN sudah memfailkan surat
saman terhadap individu yang melompat parti untuk diambil tindakan di mahkamah.
“Mereka harus faham bahawa surat yang dihantar itu menuntut mereka
membayar RM10 juta kerana menggunakan lambang parti, bukan sebab lompat. Ini
kerana penggunaan lambang KEADILAN itu yang menyebabkan mereka menang pilihan
raya umum,” katanya.