-
Shahbudin Husin
KINI baru difahami mengapa tarikh penamaan calon dan hari pengundian
pilihan raya kecil Dun Kajang dilewatkan sehingga menghampiri tempoh 60
hari yang dibenarkan oleh undang-undang.
Walaupun SPR dimaklumkan mengenai tarikh kekosongan Dun Kajang pada 27
Januari 2014 tetapi tarikh penamaan calon hanya ditetapkan pada 11 Mac
manakala hari pengundian pula pada 23 Mac.
Ini bermakna jarak masa antara tarikh kekosongan Dun Kajang dengan hari
penamaan calon ialah selama 44 hari manakala dengan hari pengundian
pula ialah 56 hari.
Walaupun kelewatan ini menimbulkan sedikit keanehan, namun Pengerusi
SPR, Abdul Aziz Yusof memaklumkan ianya berlaku kerana SPR tidak
menjangka langsung akan ada pilihan raya kecil ini manakala SPR pula
sedang sibuk menumpukan kepada tugas-tugas lain.
Jika tanggapan dulu tarikh itu sengaja dilewatkan untuk meletih dan
membuat Anwar kepenatan, rupa-rupanya terdapat agenda lain yang lebih
besar di sebaliknya.
Hari ini (semalam) dan esok (hari ini) iaitu 6 dan 7 Mac akan
berlangsung perbicaraan kes liwat Anwar di Mahkamah Rayuan berhubung
pembebasan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Oleh kerana perbicaraan hanya ditetapkan selama dua hari dan keputusan
sama ada bersalah atau tidak akan diputuskan pada petang 7 Mac bersamaan
hari Jumaat atau pada hari Isnin.
Tetapi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sin Tze Tzin meramalkan hakim hanya
akan memberikan keputusannya pada petang Isnin kerana pada pagi Isnin,
10 Mac adalah hari pembukaan sesi Parlimen yang akan dilakukan oleh Yang
Dipertuan Agong di mana Anwar, peguam Karpal Singh dan beberapa yang
lain terpaksa menghadiri berada di Parlimen pada sebelah paginya.
Bagi Sin Tze Tzin, dengan keputusan dijangka pada petang Isnin dan jika
Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan, maka proses rayuan tidak
dapat dilakukan pada petang tersebut kerana sudah melewati waktu
pejabat.
Ia seterusnya akan menyebabkan Anwar ditahan di penjara sehingga rayuan
menangguhkan hukuman ke Mahkamah Persekutuan yang hanya akan dapat
dilakukan pada keesokan harinya, 11 Mac.
Oleh kerana 11 Mac juga ditetapkan sebagai hari penamaan calon pilihan
raya kecil Kajang dan Anwar harus menyelesaikan proses rayuannya
terlebih dahulu, Sin Tze Tzin menjangkakan kebarangkalian adalah tinggi
bahawa Anwar tidak sempat mengemukakan borang pencalonannya ssbagai
calon pilihanraya tersebut.
Pada 11 Mac sebelah petang juga Anwar dijadualkan berucap di Parlimen membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong.
Kiranya Anwar didapati bersalah, bermakna Anwar bukan saja tidak dapat
menjadi calon di Kajang, bahkan juga terlepas daripada berucap di
Parlimen sebagai Ketua Pembangkang.
Tanpa ragu-ragu juga Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, bahawa
prosiding kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan di
saat-saat akhir dan tarikh penamaan calon Kajang juga ditetapkan begitu
lewat oleh SPR, ia seolah-olah langkah politik BN untuk menamatkan hayat
politik Anwar.
Sekali imbas, pertembungan tarikh ini dilihat seperti disengajakan
untuk menghalang Anwar bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi
Menteri Besar Selangor.
Tergambar bahawa ada ketakutan di pihak BN dan Najib Razak terhadap langkah KajangMove yang dilakukan oleh Anwar ini.
Perbicaraan hari pertama di Mahkamah Rayuan pula seperti mahu
mengaibkan Anwar sekali lagi kerana yang sering dibangkitkan hanyalah
berkenaan air mani dan air mani saja. Mesej ini seolah-olah sengaja
ditujukan kepada pengundi Kajang.
Dan sekiranya benar seperti yang dijangkakan bahawa akhirnya Anwar didapati bersalah, maka sahihlah segala yang diramalkan itu.
Cuma, apakah benar jika Anwar didapati bersalah, dipenjarakan sekali
lagi dan dihalang daripada bertanding di Kajang, kebangkitan rakyat akan
mati dan PR juga akan berkubur?
Atau mungkinkah dengan segala halangan ini akan menyebabkan kebangkitan rakyat lebih membara lagi?
Jika ini yang berlaku, sama ada Anwar dihalang atau tidak, riwayat Najib dan BN tetap tidak selamat juga?
Tetapi bagaimana pula jika keputusan Mahkamah Rayuan mendapati Anwar tidak bersalah?
Sudah tentu semangat Anwar dan penyokong PR akan melonjak lebih tinggi,
bukan saja untuk menghadapi pilihan raya kecil Kajang tetapi juga
menuju Putrajaya menjelang pilihan raya 2018 nanti.
Dalam masa yang sama, sudah tentu juga sekali lagi Najib dan BN didakwa
mempunyai niat jahat membawa Anwar ke mahkamah dalam kes liwat ini
kerana terbukti sudah dua mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah
Rayuan memihak kepadanya.
Meskipun mungkin ada yang beranggapan bahawa jika Anwar dipenjarakan
sekali lagi, bukan saja masa depan politiknya akan berkubur, malah
tempoh hayat politik BN diramalkan akan terus berkekalan tetapi jangkaan
ini tidak semestinya betul.
Dengan pelbagai masalah dihadapi rakyat, kebencian terhadap perangai
pemimpin politik yang sudah membara sekian lama serta kesedaran rakyat
makin meninggi sekarang ini, memenjara dan menghalangnya daripada
bertanding mungkin juga akan menghasilkan natijah yang songsang.
Maknanya, lagi Anwar dihalang dan lagi beliau dipenjarakan, lagi
membara kebangkitan rakyat. Ini kerana kebangkitan ini bukan lagi
berkaitan dengan Anwar semata-mata tetapi sudah menyeluruh mengenai
kesedaran rakyat mengenai hak yang sepatutnya lebih baik boleh
diperolehi daripada sesebuah kerajaan berbanding sebelum ini. Anwar dan
PR sebenarnya hanyalah alat kepada rakyat.
Sama ada keputusan Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah atau
sebaliknya, ia sebenarnya tetap tidak berupaya memulihkan imej dan
keyakinan rakyat terhadap Najib serta kerajaan. (SH 06/03/2014)