Iwan Fals dan perjuangan cinta Oleh Muhammad Nazreen
“Bila cinta sudah dibuang, jangan harap keadilan akan datang, kesedihan hanya tontonan, dari mereka yang dipergunakan jawatan…” (Bongkar, Iwan Fals)
Ada yang membawa bidalan, sekiranya Iwan Fals tak menulis dan
menyanyi, rakyat Indonesia mungkin tidak bangkit melawan daulah
pemerintah. Malah, ada yang menjangkakan lebih jauh daripada itu, yakni
tanpa seorang Iwan Fals, mungkin Reformasi 1998 menjatuhkan Orde Baru
gagal untuk berhasil. Mengutip kata pemikir terkemuka dari Jerman,
Herbert Marcuse –‘
The truth of art lies in its power to break the monopoly of established reality to define what is real.’ Mungkin, pada pengamatan longgar saya melihat Iwan Fals memanfaatkan sepenuhnya kata-kata Marcuse itu.
Manakala, majalah Times pada tahun 2002, mengangkat wajah Iwan Fals sebagai
‘The Living Asian Hero’.
Iwan Fals merupakan antara ribuan tokoh merangkap pemuzik yang sangat
dihormati di Indonesia. Sekiranya, dia ditakdirkan melawan Mas Jokowi
dan Ohok untuk merebut kerusi gubernur residensi Jakarta – pasti Jokowi
menghadapi tentangan sengit. Malah, mungkin lebih susah daripada
bertarung hayat politik dengan Susilo Bambang Yudhoyono, Presiden
Indonesia ketika ini.
Bergerak sebagai seorang pemuzik atau pengamen jalanan, Iwan tidak
pernah menyangka bahawa lembaran pengaruhnya begitu besar pada hari ini.
Lagu-lagu nyanyian beliau masih belum putus dimainkan di stesen radio
tempatan, apatah lagi, konsert-konsert beliau tak pernah lekang daripada
rusuhan akibat kerumunan peminat seluruh kota yang berebut-rebut
mendapatkan peluang menyaksikan acara Iwan secara
‘live’!
Tahun 1994, beliau juga pernah menghasilkan sebuah filem bertajuk
‘Kantata Takwa’, lakonan bersama seorang lagi pujangga besar Indonesia,
W.S Rendra. Namun, belum sempat disiarkan di panggung wayang, pemerintah
Orde Baru bertindak mengharamkan filem terbabit atas alasan
‘mengkritik’ keras penguasa dan membangkitkan kemarahan rakyat
Indonesia.
Kritik sosial
Tak dapat dinafikan juga, Iwan Fals merupakan seniman yang banyak
mengundang kontroversi, terutama di dalam penghasilan karya-karya musik
beliau yang tegar dengan kritik sosial, kekerasan mengkritik dasar
pemerintahan dan membela rakyat-rakyat miskin. Beliau begitu disenangi
masyarakat marhaen, lirik-lirik lagunya sahaja menjadi siulan anak-anak
miskin yang muak dan bosan dengan birokrasi orde baru, ditambah pula
dengan gejala rasuah dan kronisme semakin melarat.
Seawal 1970an, Iwan mengemas bakat beliau menulis lirik. Dia
menerbitkan beberapa koleksi album hit. Antaranya termasuk Canda dalam
Nada (1979), Perjalanan (1979), Sarjana Muda (1981), Opini (1982),
Sugali (1984), Sore Tugu Pancoran (1985), Ethiopia (1986), Belum ada
Judul (1992) dan banyak lagi album yang sempat dirakamkan. Mutu lirik
dan ketegasan nada Iwan sering ditanggapi bermotifkan perjuangan. Malah,
lewat kenaikan namanya di dalam industri muzik Indonesia, sejumlah
dozen lagu-lagunya diharamkan dan dihalang untuk diputarkan. Beberapa
lagu beliau juga dinafikan hak royalti kerana lagu-lagunya dikatakan
membawa ‘sial’ kepada pemerintahan.
Demokrasi Nasi (1978), merupakan single pertama yang menjadi respon
beliau mengkritik kondisi masyarakat miskin kota akibat ketirisan rejim
Pak Harto. Rakyat miskin melata kesusahan untuk mengenyangkan perut
orang-orang besar kerajaan. Terpanggil dengan seruan membela hak
bersuara, Iwan muncul dengan beberapa judul lagu yang garang seperti
‘Siang Seberang Istana’ dan ‘Lontekku’. Selain itu, lagu-lagu Iwan
memotret realiti kesusahan golongan terpinggir seperti ‘Doa Pengobral
Dosa’ – dimana lagu mengupas aktiviti hidup mereka yang terjebak dengan
sarang pelacuran untuk mencari sesuap nasi.
Banyak juga judul album dan kandungan lagu-lagu Iwan Fals yang
mengangkat jasa kepimpinan negarawan ulung Indonesia. Samada
terang-terang mahupun selindung-selindung, Iwan mencoret lagu-lagu yang
menceritakan kepintaran negarawan seperti lagu ‘Bung Hatta’, sempena
memperingati jasa mantan orang nombor dua Republik Indonesia itu. Lagu
‘Oemar Bakri’ pula memperihalkan kesusahan dan pengorbanan golongan
pendidik untuk memanfaatkan anak bangsa.
Album-album yang diterbitkan Iwan Fals juga tidak lekang daripada
album yang bercorak politikal. Nada sinis Iwan yang bencikan pemusatan
kekuasaan politik juga penyakit politikus pemalas mendorong dia
menerbitkan album khusus, ‘Wakil Rakyat’ (1987) sebagai peringatan
kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih supaya bekerja dengan lebih
rajin. Kutipan lirik di dalam album (Wakil Rakyat) berbunyi, “wakil
rakyat, seharusnya merakyat, jangan tidur waktu sidang rakyat….” dengan
sinisnya berkias di telinga ‘wakil rakyat’ tidur semasa sidang Dewan
Rakyat sedang berjalan. Suasana begini pastinya perkara yang biasa jika
dilihat di Malaysia. Kepada enchek-enchek YB yang suka tidur, mohon
ambil perhatian!!
Tahun 1989, Iwan bergabung dengan kelompok pemuzik yang bernama
SWAMI. Dianggotai pemuzik ternama yang dibarisi Sawung Jabo, Jockie
Suryoprayogo dan Toto Tewel, mereka bersama Iwan selaku frontman
menerbitkan sebuah album ulung yang menjadi hits besar di Indonesia.
Album ‘SWAMI’ (1989) dilancarkan pada tahun yang sama atas usaha seorang
pengusaha bernama Setiawan Jodi. Masa berganjak, Iwan terus menempa
nama sebagai seorang pemuzik merangkap aktivis sosial yang menyuarakan
kehendak rakyat di dalam lagu-lagunya. Lagu hits seperti Bento dan
Bongkar menjadi fenomena di seluruh Indonesia ketika itu.
Derita dan kematangan seni
April 1997, merupakan detik kehilangan besar buat Iwan Fals. Putera
sulungnya, Galang Rambu Anarki pulang menghadap illahi. Keperitan yang
ditanggung Iwan akan kehilangan anaknya menyebabkan beliau berehat
panjang dari menghasilkan lagu. Sempat juga Iwan menulis sebuah lagu
yang diambil sempena nama anaknya, bertajuk ‘Galang Rambu Anarki’ yang
dimuatkan di dalam album Opini (1991). Mungkin tajuk lagunya sama.
Tetapi lagu ini menceritakan kesengsaraan orang-orang tua yang bingung
dengan kenaikan harga BBM (Bahan Bakar Minyak) pada tahun 1982. Lagu ini
didedikasi sempena kelahiran cahaya sulungnya itu pada tanggal
kelahiran beliau di tahun yang sama.
Setelah panjang berehat kerana kesedihan Iwan mengenang pemergian
Galang pada usia seawal remaja, bimbingan isteri kesayanganya, Mbak Yos
tak putus asa mendorong dan memberikan motivasi kepada Iwan. Tahun
2002, Iwan kembali menulis lagu-lagu baru dan berkesempatan menerbitkan
beberapa buah album antaranya: Suara Hati (2002),Manusia Setengah Dewa
(2004), 50:50 (2007) dan banyak lagi. Namun, kebanyakan pengamat setia
lagu-lagu Iwan Fals, kebangkitan Iwan setelah kematian Galang tidak lagi
menampakkan sosok Iwan seperti dahulu. Lagu-lagunya kini lebih dewasa
dan puitis. Mungkin, sepanjang cuti panjang Iwan daripada bidang muzik
telah sedikit sebanyak menjinakkan kegarangan Iwan yang sebelumnya
terkenal dengan kelantangan suaranya.
Iwan Fals adalah lagenda muzik. Bagi mereka yang membesar dengan
lagu-lagunya pasti terpanggil menyalin semangat jiwa mudanya Bung Iwan.
Keberanian dan kegagahan Iwan yang tak jemu menyebarkan kebenaran dan
kejujuran menjadi iltizam kepada pemuzik-pemuzik rakyat yang lain.
Sepanjang saya menulis catitan ini, saya menghirup semangat yang
dikibarkan Iwan. Iwan mengajar saya tentang kecintaan pada kejujuran
dalam menegakkan sesuatu kebenaran. Barangkali, tiada yang lebih indah
untuk diputarkan apabila hati terasa sayu melainkan lagu cinta Iwan
kepada Mbak Yos, kekasih hatinya bertajuk ‘Ikrar!’ –
Roketkini.com