Pemipuan kewangan online RM4 juta sehari, kerajaan buat apa?
Kes penipuan kewangan atas talian atau financial fraudsters semakin menjadi jadi sejak beberapa tahun lalu.
Malangnya undang undang yang digunapakai untuk menangani kes berkenaan telah lapuk dan tidak menekan pihak bank untuk lebih bertanggungjawab terhadap transaksi meragukan, juga tidak mampu menyabitkan penjenayah terancang tersebut dengan hukuman keras.
Berikutan itu, Kumpulan Sokongan Mangsa-mangsa Penipuan Kewangan Online yang ditubuhkan oleh KEADILAN hari ini mengadakan bantahan dan penyerahan memorandum di Parlimen agar pembuat dasar lebih mengambil berat akan nasib mereka.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Lee Chean Chung berkata, kerajaan seharusnya memahami kelompongan undang undang sedia ada yang menyebabkan penipuan atas talian berkenaan berkembang subur di Malaysia.
“Mereka (penjenayah atas talian) bukan sahaja menguasai tahap penipuan kewangan yang canggih tetapi memahami kelompongan undang undang sedia ada.
“Kita dilaporkan setiap hari RM4 juta wang rakyat dicuri atau ditipu dengan pelbagai cara.
“Kumpulan kami tampil di depan Parlimen untuk menghantar memorandum supaya suara kami didengar oleh pihak pembuat dasar dan pihak eksekutif seperti Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz,” katanya di hadapan sekumpulan mangsa mangsa penipuan kewangan atas talian, pagi tadi.
Menurut ADUN Semambu itu, dari 2020 hingga Mei 2022, 68% daripada jumlah kes jenayah komersial adalah penipuan atas talian dan jangkaan kerugian pula sebanyak RM3.45 bilion
Dalam kebanyakan kes, katanya, walaupun peralihan wang dijalankan tanpa kesedaran mangsa namun mereka tidak diberikan layanan yang adil oleh bank bank komersial.
“Pada masa sama pula, usaha PDRM dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mencapai matlamat, dan jelas kelihatan kes penipuan kewangan ini terus meningkat secara mendadak,” ujarnya.
Sehubungan itu, Chean Chung mengetengahkan 4 kelemahan yang kerajaan perlu tangani. Iaitu, kawal selia BNM terhadap bank komersial yang terlalu lembab; bank komersial tidak mengambil peranan yang sewajarnya; tiada pusat sehenti untuk menguruskan aduan mangsa penipuan; serta siasatan PDRM hanya tertumpu kepada akaun keldai penjenayah (donkey account) pada masa ini dan ‘ikan besar’ tidak dapat ditangkap.
“Dalam hal ini BNM harus menguatkuasakan tanggungajwab bank komersial atas kes transaksi tanpa kebenaran.
“Pelanggan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas faktor di luar pengetahuan mereka. Bank komersial juga perlu mengambil tanggungakwab seperti apa diumumkan oleh bank OCBC di Singapura pada 30 Januari lalu yang bersetuju membayar ganti rugi niat baik sebanyak RM44 juta kepada 790 pelanggan yang menjadi mangsa penipuan atas talian
“Bank komersial perlu mengamalkan kod industri sebagaimana dibuat bank di United Kingdom agar membayar pampasan kepada pelanggan transaksi tanpa kebenaran.
“Juga PDRM harus berbincang dengan Peguam Negara untuk menyemak semula akta mengikut keperluan semasa supaya pihak polis dapat lebih cekap dan pengguna dapat perlindungan menyeluruh.
“Kami juga mahu kerajaan mempercepatkan tindakan ke atas kes penipuan, khususnya yang tersenarai dalam memorandum ini,” katanya lagi.
Justeru, Chean Chung menggesa Ahli Parlimen supaya prihatin dengan memorandum berkenaan, terutama Tengku Zafrul yang wajar memberi komitmen dan tumpuan khusus kepada ini penipuan kewangan atas talian tersebut.