Hasil PT3 hancur!! Kementerian Pelajaran diminta berhenti perbodohkan ibu bapa pelajar..
“Pelajar tingkatan tiga tahun ini dijadikan bahan ujikaji untuk peperiksaan (Pentaksiran Tingkatan 3) PT3 dan mereka jadi mangsa kepada keputusan peperiksaan yang boleh disifatkan sebagai hancur!”
Itu luahan beberapa ibu bapa pelajar yang datang ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan anak-anak mereka yang dikeluarkan hari ini.
Kata seorang ibu tunggal, Solarazimon Abdul Aziz (gambar kecil), perubahan sistem peperiksaan daripada Penilaian Menengah Rendah (PMR) kepada PT3 tidak patut diadakan secara mengejut.
“Selama tiga tahun anak-anak tidak ditekankan kepada sistem peperiksaan dan tidak mengikuti pembelajaran seperti lazimnya, bagaimana mereka hendak menghadapi peperiksaan besar seperti PT3?
“Lebih teruk lagi, sebelum ini menteri kata tidak ada peperiksaan tetapi tiba-tiba, pada saat-saat akhir, diarahkan pula pelajar bersedia untuk PT3. Apa dah jadi?” tegasnya.
Tambah ibu tunggal itu lagi, dia yakin keputusan peperiksaan anaknya jauh lebih baik jika masih kekal dengan sitem PMR berbanding PT3 yang hasilnya amatlah mengecewakan.
Bagi Fatimah Jais (gambar kecil), dasar kerajaan dalam membuat keputusan menukar PMR kepada PT3 sepatutnya dikaji dan dibuat secara berperingkat.
“Ibu bapa seperti diperbodohkan. Ikut sahaja apa kata menteri yang membuat dasar sedangkan dari awal lagi saya dah nampak apa yang cuba dipraktikkan melalui PTG ini akan gagal.
“Buktinya jelas, tak ada seorang pelajar pun yang dapat semua A dalam PT3 di sekolah anak saya di Hulu Langat dan lebih teruk lagi, hampir semua pelajar gagal dalam matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Sudahlah gagal, layak pula masuk ke kelas aliran sains. Cuba bayangkan bagaimana mereka nak hadapi mata pelajaran di aliran sains yang lebih mencabar nanti,” ujarnya.
Seorang lagi yang ditemui, Hairi Kamaluddin berkata, gred F yang tercatat dalam sijil anak ditaksirkan sebagai Tidak Mencapai Tahap Minimum tidak ubah seperti membodohkan ibu bapa dan pelajar.
“Sudah tentu gred F itu gagal. Sebut sahaja gagal dan tak payahlah nak berlapik-lapik. Alasan tidak mahu menyebut ada pelajar yang gagal adalah sesuatu yang langsung tidak masuk akal.
“Harus diingat bahawa kegagalan anak-anak untuk mendapatkan keputusan cemerang dalam PT3 ini adalah tanggungjawab Menteri terbabit yang tidak mengkaji apa implikasinya membuat perubahan peperiksaan daripada PMR,” tegasnya dalam nada kecewa.
Apa yang dibimbangkan Hairi, pelajar-pelajar ini akan lahir sebagai pelajar tidak berkualiti untuk masa akan datang.--MalaysiaGazette