SELAIN KJ, APAKAH HISHAMMUDDIN, ISMAIL SABRI DAN NOH OMAR ANTARA TURUT DIPECAT MALAM INI?

 

Kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang membayangkan akan berlaku pembersihan besar-besaran dalam mesyuarat MT malam ini, secara tidak langsung memperlihatkan bukan setakat Khairy Jamaluddin saja bakal berdepan tindakan pecat atau gantung keahlian parti.

Dipercayai beberapa pemimpin lain yang diketahui tidak sebulu dengan Zahid Hamidi turut bakal berdepan tindakan yang sama.

Jika tidak, untuk apa Zahid Hamidi menyebut akan berlaku pembersihan besar-besaran?

“Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting.

“Saya kata dalam Perhimpunan Agung (UMNO) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran, termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada PRU lalu dan mungkin termasuk orang yang ‘menembak kaki sendiri’ ketika musim kempen berlangsung,” katanya.

Seterusnya, Zahid Hamidi menjemput pihak media untuk hadir ke Menara UMNO bagi membuat liputan mesyuarat MT malam ini.

“Sila datang beramai-ramai kalau hendak mengetahui senarai mereka yang akan bakal dikenakan tindakan,” tambah beliau lagi.

Dengan kenyataan Zahid Hamidi itu, mesyuarat MT UMNO malam ini tentu saja merupakan detik yang mendebarkan bagi mereka yang diketahui tidak sealiran dengan Presiden UMNO itu.

Diberitakan tiga peristiwa menjadi sandaran untuk pertuduhan dan tindakan MT UMNO malam ini:

Pertama, mensabatoj parti dan calon BN ketika PRU15 lalu.

Kedua, menandatangani akuan bersumpah menyokong Mahiaddin Md Yasin sebagai calon Perdana Menteri.

Ketiga, menentang secara terbuka dan membuat tuduhan tanpa asas berkaitan usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Setakat ini, hanya KJ yang disebut ramai akan dikenakan tindakan sama ada dipecat atau digantung keahlian UMNO selama enam tahun berhubung dakwaannya berkaitan kewujudan “perwakilan hantu” untuk meluluskan usul tambahan PAU2022 baru-baru ini.

Namun demikian, berikutan kenyataan Zahid Hamidi berkaitan pembersihan besar-besaran akan berlaku malam ini serta tiga peristiwa yang dikatakan menjadii sandaran pertuduhan, apakah ini bermakna Hishammuddin Husein, Ismail Sabri Yaakob, Noh Omar dan beberapa lagi pemimpin UMNO lain bakal dipecat atau digantung keahlian juga pada malam ini? – ShahbudinHusin 27/01/2023.



No comments: