Tuesday, December 23, 2014

Menjelang 2015, sokongan bukan Melayu terhadap PAS semakin merosot


Irwan Muhammad Zain,Astro Awani |Kemas kini:Disember 23, 2014
(Diterbitkan pada: Disember 23, 2014 07:29 MYT)

Menjelang 2015, sokongan bukan Melayu terhadap PAS semakin merosot
Menjelang 2015, sokongan bukan Melayu terhadap PAS semakin merosot
KUALA LUMPUR: Selepas krisis menteri besar Selangor, isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan yang mengandungi hukum hudud dan krisis dalaman parti yang semakin parah, PAS sehingga hari ini, dilihat bakal kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Lebih memburukkan keadaan, PAS juga dilihat berpotensi besar untuk kehilangan beberapa kerusi parlimen di Kelantan, Kedah, Terengganu, Perak, Pahang dan Selangor.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar selain masalah dengan pengundi bukan Melayu, PAS juga berdepan krisis dalam parti yang paling teruk selepas PRU13.

Katanya, Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat September lepas memperlihatkan betapa krisis dalaman parti itu semakin meruncing dan membuatkan persepsi terhadap parti Islam itu bertambah buruk.

"Pengundi bukan Melayu yang sebelum ini menyokong PAS cenderung untuk tidak lagi memberi undi kepada parti Islam itu dalam PRU14.

"PAS bukan hanya perlu ubah persepsi mereka di mata pengundi bukan Melayu tetapi perlu segera menyelesaikan masalah dalam parti yang paling teruk setakat ini.

"Namun ia bukan bermakna UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan mendapat manfaat daripada situasi ini, sebaliknya pertarungan kedua parti bertambah sengit," katanya dalam satu pertemuan bersama Astro AWANI.

UMNO, kata Hisomudin tidak boleh mengambil mudah situasi ini kerana pengundi melihat parti itu masih lagi tidak berubah.

Katanya, pengundi bukan Melayu mungkin tidak akan bersungguh-sungguh untuk keluar mengundi di kawasan yang mana berlakunya pertandingan melibatkan calon PAS dan UMNO.

"Kawasan yang mana terdapat pengundi bukan Melayu yang agak tinggi peratusannya, yang melibatkan pertandingan antara PAS dan UMNO akan menghadapi masalah penurunan sokongan bukan Melayu.

"Tidak seperti PRU13, pengundi bukan Melayu ketika itu bersunguh-sungguh mahu memastikan calon yang mewakili Pakatan Rakyat menang.

"Namun situasi sama dijangkakan tidak akan berlaku lagi pada PRU14 nanti, terutama melibatkan kawasan ditandingi PAS," katanya lagi.

Hisomudin berkata, krisis menteri besar Selangor menyebabkan pengundi bukan Melayu melihat PAS sebagai parti yang tidak mementingkan kesepakatan.

Katanya, desas-desus yang mengatakan PAS mahu bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan di Selangor membuatkan pengundi bukan Melayu hilang kepercayaan terhadap PAS.

"Situasi ketika itu ialah Pakatan Rakyat mahu menyingkirkan Tan Sri Khalid, tetapi perkara itu berlanjutan dan pengundi bukan Melayu melihat PAS mengambil keputusan untuk tidak sepakat.

"Dengan cerita kerjasama dengan UMNO itu membuatkan pengundi bukan Melayu merasakan bahawa PAS menikam rakan sendiri," jelas beliau.

Namun Hisomudin menjelaskan, situasi ini mungkin berlaku sebaliknya jika berlaku perubahan dalam kepimpinan PAS pada pemilihan parti itu tahun depan.

Selain itu, pemimpin PAS perlu bekerja keras untuk memulihkan sokongan pengundi bukan Melayu supaya dan mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers