Sunday, November 28, 2010

Amaran Kit Siang Pakatan boleh hilang Selangor di PRU-13

Amaran Kit Siang Pakatan boleh hilang Selangor di PRU-13

TERKINI @ 12:35:35 PM 28-11-2010
November 28, 2010

PETALING JAYA, 28 Nov — Lim Kit Siang memberi DAP Selangor amaran bahawa Pakatan Rakyat (PR) kemungkinan akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka tidak bersatu padu sambil mengingatkan konvensyen kepimpinan negeri agar belajar daripada pengalaman Terengganu pada 2004.

Penasihat DAP itu juga meminta perwakilan barisan menyokong kepimpinan negeri yang menganggotai kerajaan negeri Selangor sebagai tanda perpaduan.

“Bolehkah Umno dan Barisan Nasional (BN) menang balik Selangor dalam pilihan raya umum akan datang? Adakah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak boleh ditembusi dan tidak dapat dikalahkan?” kata Lim (gambar) ketika berucap membuka Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

“Saya tahu ada orang yang percaya bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh hilangan kawalan dan kuasa di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini.

Lim memberikan amaran ini di sebalik persaingan sengit antara kem diketuai oleh Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah dan kem pimpinan Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim.

Beliau mengingatkan para perwakilan konvensyen bahawa PAS tidak menjangkakan ia akan kehilangan Terengganu dalam pilihan raya umum 2004 selepas memperoleh kemenangan tidak disangkakan sama sekali pada 1999.

“Pada pilihan raya umum 1999, PAS tidak pernah menjangkakan kuasa menang di Terengganu tetapi menyapu bersih 28-4 di Dewan Undangan Negeri,” kata Lim.

“Pada pilihan raya umum 2004, PAS tidak menjangkakan akan kehilangan kuasa di Terengganu tetapi tewas dengan keputusan terbalik 4-28, disapu oleh Umno dan BN,” kata beliau.

Lim juga berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan BN akan menang balik Selangor memandangkan PR berada dalam keadaan tunggang-langgang.

Kata beliau, baru-baru ini selepas pilihan raya kecil serentak Galas dan Batu Sapi, Dr Mahathir memberitahu bahawa BN berupaya untuk menawan satu atau dua negeri daripada penguasaan PR atas alasan pembangkang berada dalam kelam-kabut tetapi BN tidak mampu memperoleh kembali majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kata Lim, bukan sesuatu yang rahsia satu dua negeri yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir sebenarnya merujuk kepada Selangor.

Malah dalam ucapannya, Lim juga mengulangi seruan Yong agar semua pihak merapatkan kerjasama untuk memastikan PR boleh mengekalkan kuasa di negeri Selangor.

Lim juga meminta perwakilan menghantar mesej perpaduan dan memastikan kemenangan ahli-ahli DAP yang berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor pada pemilihan parti hari ini.

“Mesej itu akan tercalar jika pemimpin-pemimpin DAP dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor tidak menerima mandat dan sokongan penuh daripada konvensyen,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberikan jaminan bahawa calon-calon yang tewas akan terus diberikan peranan dalam parti.

Pemimpin parti peringkat Perak dua minggu lalu menyaksikan kumpulan Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran disapu habis oleh kumpulan Ngeh-Nga.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham menawarkan Kulasegaran, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, jawatan naib pengerusi negeri itu tetapi ditolak.

Kedua-dua Selangor dan Perak mempunyai cawangan terbanyak dan ahli teramai dalam DAP.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers