18 Februari 2025
𝗞𝗪𝗦𝗣 𝗪𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗔𝗺𝗯𝗶𝗹 𝗧𝗶𝗻𝗱𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗨𝗻𝗱𝗮𝗻𝗴-𝗨𝗻𝗱𝗮𝗻𝗴: 𝗛𝗲𝗻𝘁𝗶 𝗙𝗶𝘁𝗻𝗮𝗵, 𝗠𝗖𝗔 𝗣𝗲𝗿𝗹𝘂 𝗙𝗮𝗵𝗮𝗺 𝗔𝘀𝗮𝘀 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗯𝘂𝗿𝗮𝗻
1. Pihak pengurusan KWSP disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden MCA YB Wee Ka Siong. KWSP tidak harus berdiam diri tatkala fitnah dan pembohongan disebarkan.
2. Kenyataan YB Wee bahawa "duit KWSP telah hilang dan rugi" dalam transaksi saham Malaysia Airports (MAHB) tidak bersandarkan fakta dan barangkali, melibatkan agenda tersembunyi. Amat pelik melihat MCA yang merupakan pemegang saham terbesar Star Media Group Bhd dan Matang Bhd tidak memahami asas pelaburan, walaupun kedua-dua syarikat ini tersenarai di Bursa Malaysia.
3. KWSP telah menjadi pemegang saham MAHB sejak ia disenaraikan pada harga RM2.50 sesaham di Bursa pada 30 November 1999. Sejak itu, KWSP telah menjual dan membeli kembali saham MAHB untuk menjana “trading profit”. Ini adalah kebiasaan dalam pelaburan saham dan strategi ini diguna pakai oleh pelabur institusi yang lain juga.
4. Mengikut data yang digunakan pihak MCA sendiri, KWSP telah menjual 163.4 juta saham MAHB pada 2023 pada harga antara RM5.40 dan RM7.36. Apa yang tidak diceritakan adalah keuntungan yang telah dijana oleh KWSP.
5. Ada dua jenis keuntungan yang telah dijana oleh KWSP melalui MAHB, iaitu (1) peningkatan harga saham atau “capital appreciation” dan (2) dividen sejak 1999. Data Bloomberg (rujuk gambar) menunjukkan jumlah pulangan atau “total return” KWSP adalah antara 238% (jika saham dijual pada RM5.40) dan 361% (jika dijual pada RM7.36), jika dividen dilaburkan semula.
6. Dalam bahasa mudahnya, segala kos pelaburan KWSP dalam MAHB telah diraih balik, termasuk melalui dividen. Pihak MCA pastinya memahami soal dividen, memandangkan mereka penerima manfaat terbesar menerusi dividen lumayan daripada Star Media Group Bhd.
7. Jadi, tidak timbul soal KWSP rugi dalam MAHB setakat ini.
8. Bagaimana pula pembelian saham MAHB oleh KWSP pada harga RM11 sesaham baru-baru ini selaras dengan penswastaan syarikat tersebut? Sekali lagi, tidak timbul soal kerugian selagi mana saham itu belum dijual.
9. Perlu diingatkan, penswastaan MAHB dilakukan untuk menambah nilai atau “value creation” menerusi penambaikkan operasi dan kewangan. Selepas suatu tempoh tertentu, MAHB dijangka akan disenarai balik di pasaran saham, di mana konsortium GDA yang dianggotai oleh Khazanah Nasional, KWSP, Global Infrastructure Partners dan Abu Dhabi Investment Authority boleh menjual pegangan mereka pada harga dan penilaian (valuation) yang lebih tinggi.
10. Pemegang saham seperti Global Infrastructure Partners dan Abu Dhabi Investment Authority memerlukan “exit strategy” dan penyenaraian di pasaran modal adalah cara terbaik untuk meraih keuntungan. Dengan berlakunya pemulihan nilai MAHB selaras dengan penambaikkan operasi dan kewangan, “valuation” MAHB juga akan meningkat dan ini membolehkan KWSP menjual sahamnya pada kadar yang lebih tinggi.
11. Jika MCA mahu mengkritik KWSP dan menuduh KWSP “rugi”, tunggulah sehingga saham itu dijual kelak. Selagi belum jual, KWSP belum rugi.
12. Mengenai persoalan mengapa KWSP menjual sahamnya pada tahun 2023 dan membelinya kembali untuk melaksanakan penswastaan MAHB, jawapannya mudah sahaja dan KWSP sudahpun menerangkannya. KWSP menetapkan “sempadan” yang ketat antara dua pasukan dalamannya.
13. Salah satu pasukan ini adalah berkaitan strategi dan mempunyai akses kepada maklumat material yang tidak dikongsi dengan umum. Manakala, satu lagi pasukan berurusan di pasaran awam. Pasukan yang berurusan di pasaran awam tidak akan terpengaruh oleh keputusan pasukan strategi dan kaedah ini dapat menghindari “insider trading”. Ini penting untuk menjaga pelabur lain, terutamanya pelabur runcit yang terdiri daripada rakyat Malaysia majoritinya.
14. Sekali lagi, Angkatan Muda Harapan menawarkan kelas “Finance 101” percuma kepada pengkritik tegar MAHB Wan Fayhsal dan tawaran ini dibuka juga untuk YB Wee Ka Siong.
AMMAR ATAN
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan
Naib Ketua Pemuda AMANAH



No comments:
Post a Comment