Saintis fizik calon Amanah PRK Kuala Kangsar
Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli calon lelaki tunggal Pakatan Harapan yang akan bertembung dengan dua calon wanita dari BN dan Pas pada PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.
Ahmad Termizi, 61, (sebelah kanan Mohamad Sabu) calon anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dari University of Salford, United Kingdom dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Radiologi. Pemegang Diploma Fizik Pengionan dan Ph.D Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales.
Beliau juga bekas profesor di Jabatan Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram.
Pengiystirahan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Kuala Kangsar malam ini diumumkan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang berlangsung di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dikalangan pimpinan tertinggi parti gabungan Pakatan Harapan.
Dengan pengumuman Ahmad Termizi sebagai calon maka pengundi di Parlimen Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan dua calon wanita iaitu Datin Mastura Abdul Yazid dari BN dan Dr Najihatussalehah Ahmad dari Pas.
Semalam di Sekinchan, Pakatan Harapan telah mengumumkan calonnya Ketua Amanah Sungai Besar Azhar Ab Shukur bagi PRK Sungai Besar. Azhar akan berhadapan dengan Budiman Ahmad Zohdi dari BN dan Dr Abdul Rani Osman dari Pas.
Ini bermakna bagi dua kerusi Parlimen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Pakatan Harapan dan Pas.
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Khair-il-Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menetapkan tarikh penamaan calon pada Ahad ini dan hari pengundian pada 18 Jun.Malaysia dateline