Zaid Ibrahim saran PKR tinggalkan Pas



 | December 13, 2015
Jika UMNO menyokong Pas dan Pas bekerjasama dengan UMNO, adakah bermakna PKR juga menyokong UMNO?
zaid-ibrahim,pas-pkr
PETALING JAYA : PKR disaran supaya meninggalkan Pas dan hanya bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam Pakatan Harapan.
Bekas menteri Kabinet dan bekas ahli PKR, Datuk Zaid Ibrahim membuat saranan itu bagi menyelamatkan PKR kerana rakyat semakin keliru dengan pendirian politik parti itu.
Ini dilihat apabila Pas hanya menjalinkan kerjasama atau tahaluf siyasi dengan PKR dan Pas juga mahu bekerjasama dengan UMNO.
Katanya, UMNO menyokong Pas dan Pas pula kelihatan mesra dengan UMNO dan adakah bermakna PKR juga menyokong UMNO.
“Jadi sekarang ini orang pun keliru, UMNO sokong Pas, Pas sokong UMNO. PKR sokong Pas, maknanya PKR sokong UMNO..dah bercelaru. Jadi inilah yang memberi keuntungan kepada (Datuk Seri ) Najib (Tun Razak)..sebab orang Malaysia ini fikiran dia tak clear, bercelaru,” katanya dalam temubual bersama FMT.
Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa Pas menjalinkan kerjasama dengan UMNO selepas parti itu tidak lagi bersama parti pembangkang lain.
Najib dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan kerjasama itu.
Zaid berkata, PKR berkawan dengan Pas kerana hanya mahu menyelamatkan Selangor tetapi dalam masa sama, rakyat keliru dengan pendirian parti itu.
“PKR di Selangor nak hidup. Nak pastikan mereka memerintah. Jadi mereka kata mereka berkawan dengan Pas..berkawan dengan DAP.
“Orang ramai agak keliru, siapa kawan kita, siapa setia dengan kita. Sekiranya PKR mengamalkan sikap begini, orang ramai akan hilang keyakinan terhadap pembangkang,” katanya.
Zaid berkata, sesebuah parti sepatutnya mempunyai prinsip tegas bagi membolehkan rakyat memahami perjuangan parti itu.

No comments: