Rebat elektrik dipotong, rakyat marah terus jadi mangsa BN
Mulai 1 Januari 2016, penggunaan elektrik melebihi 300kwh atau RM77 sebulan akan dinaikkan. Hal ini kerana rebat elektrik untuk penggunaan domestik akan dikurangkan dari 2.25 sen kepada 1.52 sen bagi setiap 1KWh.
Tinjauan wartawan Suara pakatan daily ke atas 20 orang pengguna elektrik mendapati mereka amat tidak berpuas hati dengan dasar baharu kerajaan BN yang tidak henti-henti menaikkan caj dan harga sejak kebelakangan ini.
“Kadar tol dan harga tambang pengangkutan awam telah pun dinaikkan dan kini beban bil elektrik pula akan lebih mahal. Apa maknanya ‘Rakyat Didahulukan’?” tanya seorang surimah Anne Gomes, 45 tahun, dengan nada suara yang marah.
Bagi dua orang pekerja di bengkel membaiki kereta, Arun dan Kenny Ooi, kewangan negara memang sudah sangat parah apabila kerajaan gagal mengawal kos sara hidup. Kata mereka, orang miskin dan bergaji rendah akan menerima kesan paling teruk
“Sepatutnya pada masa nilai mata wang sudah lemah dan kos sara hidup melambung kerajaan wajib membantu rakyat dengan mengekalkan kadar tol, harga minyak dan tambang pengangkutan pada kadar yang rendah tetapi sebaliknyapula yang berlaku,” keluh mereka.
Manakala seorang pemandu teksi bernama Mustafa berusia 60 tahun berkata pada pilihan raya umum akan datang rakyat Malaysia perlu memikirkan masa hadapan mereka dengan lebih bijaksana agar tidak lagi menjadi mangsa penindasan BN.