Tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat mesti diteruskan – Ahmad
Tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat mesti diteruskan – Ahmad
Calon presiden Ahmad Awang akan memberikan fokus kepada penyatuan ahli parti yang berpecah teruk sekarang sekiranya beliau terpilih memenangi kerusi itu dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 minggu ini.Ini kerana, beliau berpendapat, isu ini, terutama perpecahan antara golongan konservatif dan profesional, tidak diuruskan dengan baik oleh presiden PAS sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Ia perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaah Islam dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya,” kata bekas pesuruhjaya PAS Perak itu dalam wawancaranya dengan The Malaysian Insider.
Ahmad, yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia, akan menentang Hadi pada muktamar bermula 4 hingga 6 Jun ini di Kuala Selangor.
Berikut petikan wawancara beliau dengan The Malaysian Insider (TMI).
TMI: Mengapa anda terima pertandingan?
Ahmad: Saya rasa ia kehendak pihak akar umbi di pelbagai peringkat dalam PAS, melalui pencalonan yang diberikan, dan melayakkan saya untuk bertanding. Ke mana saja saya pergi dan berjumpa mereka, mereka merayu agar saya jangan menolak pencalonan itu.
Daripada 179 kawasan PAS, 115 sahaja yang membuat pencalonan untuk presiden (Hadi), manakala 82 lagi tidak membuatnya. Saya mendapat 7 pencalonan manakala Datuk Husam Musa, 8. Jadi, bagi saya, peluang ada di situ.
TMI: Apakah masih ada harapan untuk PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) selepas apa yang berlaku dalam PAS dan selepas muktamar nanti? Atau lebih baik PAS bersama Umno?
Ahmad: Cakap-cakap para pemimpin yang ada nampaknya bersama dengan PR, tetapi tindakan dan perbuatan, ke arah tidak bersama lagi. Multaqa Ulama di Kedah beberapa tahun lalu juga menjelaskan usaha untuk mengkaji hubungan ini. Ia boleh dilihat melalui perbahasannya. Cuma tidak menyerang PR secara langsung tetapi menyerang pemimpin PAS yang mahu bersama PR.
Kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dijadikan alasan untuk mengaitkan kononnya sesetengah pemimpin tidak wala’ (taat) kepada pemimpin parti, tetapi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebenarnya, jika kita sokong Anwar, bermakna kita sokong PAS, kerana PAS berada dalam PR.
Jadi, PAS dan PR ini bergantung kepada siapa yang memimpin PAS selepas ini.
TMI: Bagaimana hubungan dengan Umno?
Ahmad: Kita, PAS dan saya, secara peribadi bersama dengan Umno sebelum ini. Umno bersetuju untuk berdakwah apabila kita bersama mereka. Maka, lahirlah Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan terbentuknya Pusat Islam, dan saya menjadi pengarah dakwahnya.
Namun selepas itu, PAS ditendang daripada Umno dan kemudiannya saya ditendang daripada Pusat Islam dan ditukar ke Kementerian Pelajaran atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.
Ia berlaku apabila saya bersetuju yang mangsa tragedi Memali adalah syahid, sebagaimana dikatakan pemimpin PAS ketika itu.
Sepanjang pengalaman ini, saya kenal Umno dan tidak akan bersama dengan Umno lagi.
TMI: Apa pandangan anda mengenai sikap penentangan DAP terhadap hudud?
Ahmad: Memang kita tahu DAP dari awal tak pernah sokong hudud. Karpal Singh pernah berkata ‘langkah mayat saya dulu untuk laksana hudud’. Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah jumlah Karpal mengenainya walaupun dia tahu sikap Karpal. Yang pasti, boleh berbincang mengenainya. Ia tidak menggugat PR selagi ada perbincangan.
Tetapi, ia berjaya menggugat PR apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom (menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkata di Dewan Rakyat, kerajaan pusat sedia membantu Kelantan melaksanakan hudud, lalu terbentuknya Jawatankuasa Teknikal mengenainya.
Apabila ia dibangkitkan DAP, PAS bersetuju berbincang mengenainya sebelum dibawa ke Dewan Rakyat. Tetapi nampaknya bukan saja kepada DAP, kepada Jawatankuasa PAS Pusat juga, ia tidak ditunjuk dan diajak berbincang apabila rang undang-undang persendirian hendak dibentangkan.
Bagi saya, DAP menentang kerana mereka tidak diberi ruang mendengar apa yang PAS nak bawa. Kalau diterangkan yang hanya (melibatkan) Akta 355 yang sudah ada dalam Perlembagaan, ia tidak menjadi seteruk ini. Tetapi kerana tidak dibincangkan, jadilah macam ini.
Lagipun, kalau BN yang berkata menyokongnya, membawanya ke Parlimen, ia lebih baik kerana DAP boleh memberikan alasan kepada penyokongnya yang ia bukan dibawa PAS, tetapi Umno.
Perkara ini timbul kerana PAS percaya sangat kepada Umno. DAP lihat ini sebagai permainan politik. DAP juga pelajari hal ini dengan membaca buku Yusof Qardhawi. Tetapi bagi sesetengah pemimpin PAS, ia tidak baik. Walaupun bagi saya, ia baik, kerana DAP mula mempelajari Islam.
TMI: Apa pandangan anda tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ekonomi dan Islam yang progresif dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia?
Ahmad: Apa yang berlaku kepada 1MDB menambahkan lagi bobroknya pentadbiran negara di bawah presiden Umno, khasnya yang ada sekarang.
Saya secara peribadi terlibat dalam pembinaan Putrajaya ketika menjadi panel penasihat syariah RHB Bank. RHB diberikan amanah untuk menguruskan pengeluaran bon kerajaan bagi membina Putrajaya dan kami kena kaji hal ini.
Isu penyelewengan ini memang teruk dari dulu lagi, cuma bertambah sekarang. Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini berada di kemuncaknya selepas teruk sekian lama.
Tan Sri Aziz Abdul Rahman yang pernah menjadi pemimpin MAS pernah berkata, beliau meninggalkan MAS dengan harta dan aset yang banyak, tetapi apa berlaku kepada MAS sekarang?
Bagi saya, kegagalan paling besar Najib ialah kegagalan memisahkan dirinya dengan pelaksana dasar, sedangkan dia pembuat dasar. Konsep pemisahan kuasa dalam pentadbiran itu dilanggar. Itulah yang berlaku dalam kes 1MDB. Dia perdana menteri, dia menteri kewangan dan dia pengerusi 1MDB.
TMI: Apa peranan ulama dalam masyarakat moden dan parti politik?
Ahmad: Bagi saya, ulama kena jadi pakar rujuk umat. Antaranya membuat kajian ilmiah supaya orang Islam, dan ahli PAS khasnya, berpolitik dengan betul dan memahami konsep politik Islam.
Misalnya bila bertahaluf dengan DAP, kita kena sokong calon DAP walaupun siapa rakan tahaluf itu, kerana itulah prinsipnya. Bukan kita kena campur semua. Pendek kata, kajian hukum fikah politik, kena buat.
Yang kedua, ulama perlu membuat kajian mendalam bagaimana melaksanakan konsep atau pendekatan ulama yang profesional dan profesional yang ulama. Ulama kena kaji untuk mengintegrasikan semua ini agar mereka tidak senang dipecahkan macam sekarang.
TMI: Apa yang anda boleh tawarkan yang tidak ada pada presiden PAS sekarang?
Ahmad: Yang saya tawarkan ialah menyatukan semua kelompok ahli PAS yang sedang berpecah sekarang. Ini perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaaah Islam, dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya yang dia (Hadi) tidak hendak tawarkan.
Saya juga akan usahakan agar orang Melayu dan Islam yang berada dan bergantung kepada Umno berpaling dan bergantung kepada PAS. Bagi saya, PAS belum berupaya menarik mereka selama ini.
Saya juga akan berusaha agar pemimpin PAS diterima sebagai pemimpin PR dan memasukkan banyak parti lagi ke dalam PR bukan setakat tiga sahaja, kerana dengan cara itu kita boleh kukuhkan PR dan tumbangkan BN.
TMI: Hudud sebahagian kecil syariah saja dan perlu kajian mendalam sebelum dilaksanakan. Boleh anda jelaskan?
Ahmad: Solat ini wajib bagi umat Islam, tetapi ada syarat untuk solat. Begitu juga hudud wajib, tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan? Perlu ada syarat-syaratnya. Hudud juga bukan keutamaan dalam Islam kerana berdasarkan fikah, ia terletak terkemudian berbanding dengan yang lain.
Fikah Islam disusun dengan memulakan ibadat dan ibadat yang utama pula solat. Selepas itu barulah muamalah dan selepas itu barulah undang-undang jenayah yang termasuk dalamnya hudud itu. Jadi kita perlu dahulukan yang dahulu dan kemudiankan yang kemudian.
Solat diutamakan dalam Islam kerana perlu dilaksanakan di mana saja kerana ia adalah asas untuk mendidik manusia mematuhi perintah Allah. Bila kita sudah terdidik dan patuh dengan Allah, apa yang diperintah oleh Allah semuanya akan mudah.