
Aktiviti penyeludupan bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah dilarang keras dalam ajaran agama tanpa kompromi atas apa alasan sekalipun.
PENDAPAT, 20 Okt – Penyeludupan di sempadan merupakan isu serius yang bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, tetapi turut mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Beratus juta wang rakyat diseleweng, hasil pendapatan negara dibazirkan malah yang lebih teruk, ‘pendapatan’ penyeludup digunakan untuk menyara keluarga tanpa memikirkan halal haram dan kesan ke atas masyarakat setempat.
Pencegahan jenayah yang boleh diistilahkan sebagai pengkhianat negara boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya semua pihak memberi keutamaan kepada aspek keselamatan negara serta menerapkan nilai-nilai keagamaan dalam diri masing-masing.

Pihak berkuasa tanpa berlengah memperkukuh kawalan di kawasan sempadan melalui penggunaan teknologi moden seperti dron, kamera pengawasan dan sistem pengesanan pintar bagi memantau pergerakan mencurigakan.
Pangkalan haram, kawasan sempadan tanpa tanda jelas yang wujud sejak puluhan tahun lalu kini tidak lagi relevan dengan jenayah penyeludupan kerana implikasi serius dapat dilihat sekarang apabila melibatkan keselamatan negara.
Mujurlah penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menyeragamkan semua aspek kawalan keselamatan termasuklah mengadakan latihan berkala dan pemantapan integriti dalam kalangan anggota keselamatan amat penting bagi mengelakkan amalan rasuah yang sering menjadi punca kebocoran maklumat dan laluan mudah kepada penyeludup.

Bukan setakat usaha Kerajaan MADANI, iltizam kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan mereka.
Kita mahu penerapan ajaran agama, khususnya nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab terhadap negara mampu membentuk jati diri rakyat yang menolak perbuatan haram serta tidak tergoda dengan keuntungan segera hasil daripada jenayah penyeludupan yang pasti membawa malapetaka besar ke atas rakyat
Pendidikan agama yang berterusan di sekolah, masjid dan media massa dapat menanam kesedaran bahawa penyeludupan bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga berdosa di sisi agama.

Jika semua pihak — kerajaan, penguat kuasa dan rakyat — berganding bahu dalam usaha mencegah penyeludupan sambil menjadikan nilai agama sebagai panduan hidup, maka keselamatan dan kesejahteraan negara dapat dipelihara secara berterusan.
No comments:
Post a Comment