Apabila dia kalah dalam Pilihanraya Umum tahun 1969 di Parlimen
Kota Setar, Kedah, maka doktor muda itu berubah menjadi “ultra-Melayu”. Beliau
menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul
Rahman. Beliau menyerang Tunku selepas Peristiwa 13 Mei 1969.
2. Lima puluh tiga tahun kemudian, apabila dia kalah di Parlimen
Langkawi dalam Pilihanraya Umum ke-15 pada tahun 2022 sehingga hilang deposit,
pemimpin yang telah lanjut berusia itu dengan pencapaian dua kali jadi Perdana
Menteri Malaysia, kini menyerang pula Perdana Menteri ke-sepuluh Anwar Ibrahim.
3. Pada tahun 2019, apabila sudah sampai masanya sebagai Perdana
Menteri Ketujuh untuk menyerah kuasa Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim
seperti yang dijanjikan oleh gabungan Pakatan Harapan, maka tokoh tersebut
berdalih-dalih. Tetapi dalam masa yang sama dia menghimpunkan pemimpin-pemimpin
Melayu dari pelbagai pertubuhan dan NGO ke dalam suatu pertemuan yang diberi
nama Perhimpunan Melayu Bermaruah.
4. Kesan dari perhimpunan itu maka berlakulah episod Langkah
Sheraton. Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas itu.
5. Sekarang tokoh yang telah lanjut berusia ini terus mengasak,
mengasak dan menyerang Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Apakah dosa Anwar Ibrahim
kepadanya, kita pun tidak mengerti.
6. Seperti modus operandi lama yang digunapakai, maka isu
sentimen Melayu sekali lagi digunakan.Kali ini tokoh tersebut terlibat dalam
usaha mengadakan pertemuan yang dipanggil Perhimpunan Proklamasi Melayu.
7. Setiap kali tokoh ini tersisih dari arus politik negara, dia
akan menggunakan kartu atau kad kaum untuk dia kekal relevan.
8. Nasihat saya kepadanya: Usahlah bermain api; nanti terbakar
negara sendiri. Cukup-cukuplah.
9. Bagi saya, tidak ada salahnya untuk tokoh berusia ini
berbincang dengan penyokong-penyokongnya berkenaan isu nasib orang Melayu
sekarang dan akan datang. Berikan kepadanya dewan untuk perhimpunan itu boleh
diadakan bagi mereka berbincang secara aman dan selesa.
10. Tetapi saya ingin bertanya kepadanya.Dia telah menjadi
Perdana Menteri selama 22 tahun kali pertama. Apa yang dia telah buat untuk
orang Melayu biasa, kecuali kapitalis-kapitalis kroni anak pinak dan para
sahabat sendiri.
11. Sekali lagi pada tahun 2018, dia telah diberi peluang
menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan.Kenapa tidak dibuat segala dasar dan
program untuk membela nasib orang Melayu?
12. Kenapa sekarang hendak bercakap membela nasib orang Melayu.
Sedang peluang telah diberi dengan luas sehingga lebih dua dekad kepadanya
sebagai Perdana Menteri.
13. Anwar Ibrahim baru empat bulan jadi Perdana Menteri. Mana
kepentingan orang Melayu yang telah digadai oleh Anwar? Jawapannya Tiada.
14. Mana hak-hak orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan
telah dikompromi oleh Anwar Ibrahim? Juga jawapannya Tiada
15. Kedudukan Bahasa Melayu terjamin. Kedudukan Islam terjamin.
Kedudukan Raja-Raja Melayu terjamin.
16. Anwar Ibrahim menegaskan perkara ini berkali-kali sama ada
di dalam Parlimen dan di luar Parlimen. Telinga ini mendengar. Diri ini menjadi
saksi komitmen Anwar Ibrahim menjaga kepentingan Melayu. Bezanya, sebagai
seorang pemimpin negara berbilang bangsa dan agama, Anwar tetap tegas menjaga
kepentingan dan hak-hak kaum-kaum lain dan agama lain seperti yang dijamin oleh
undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan.
17. Jadi apa salah Anwar Ibrahim sehingga dia hendak
ditumbangkan secara tidak sah sekarang, di luar proses pilihanraya? Ini bukan
demokrasi. Ini suatu tyranny gerombolan politik songsang.
18. Maka, adalah sangat wajar nasihat yang diberikan oleh
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan bertindak tegas terhadap
sesiapa jua yang secara tidak bertanggungjawab cuba membakar sentimen kaum dan
agama sehingga menimbulkan ketegangan dan ancaman terhadap ketenteraman awam
serta keselamatan negara.
19. Demi keselamatan Malaysia, saya menyokong ketegasan Perdana
Menteri Anwar Ibrahim itu.
20. Hanya satu, saya berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim
tidak melakukan kesalahan yang sama seperti apa yang telah dilakukan oleh
Perdana Menteri ke-4 Mahathir Mohamad pada tahun 1988 apabila berhadapan dengan
gugatan dan cabaran terhadap kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan
yang dipimpinnya.
21. Mahathir telah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) dalam Operasi Lalang pada tahun 1988 itu dengan menahan tanpa bicara
lebih 100 orang pemimpin parti politik, pertubuhan NGO dan aktivis masyarakat.
Satu titik hitam dalam sejarah demokrasi Malaysia.
22. Saya berharap dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Anwar
Ibrahim, beliau dapat mencari segala ikhtiar alternatif untuk mententeramkan
suhu sentimen kaum dan agama yang panas sekarang ini.
23. Elakkanlah Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri
Anwar Ibrahim sekarang ini dari menggunakan akta-akta draconian seperti Akta
SOSMA untuk menangani tantangan dan cabaran dari pihak lawan.
24. Sebagai alternatif, gunakanlah pendekatan yang lebih
berhemah, berdiplomasi, berunding dan berlibat urus dengan pemimpin-pemimpin
parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan sivil serta NGO yang kini
menentang secara terbuka terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Gunakan
kaedah perundingan bukannya perang.
Sekian
Ahli Parlimen Pasir Gudang
19 Mac 2023 (Ahad)