Lynas tidak jamin keluarkan residu dari Malaysia sepanjang operasi 20 tahun

Kelmarin, Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) membentangkan laporannya mengenai loji pemprosesan nadir bumi Lynas, mendedahkan maklumat dalaman yang baru.  Sekali lagi, ia menunjukkan kerajaan yang sentiasa mengeluarkan kenyataan kabur dan mengelirukan.

Terbaru, surat syarikat Lynas yang didedahkan menunjukkan bahawa syarikat Lynas sekadar menjanjikan bahawa residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara dikeluarkan dari Malaysia, dan bukannya residu yang terhasil sepanjang operasinya selama 20 tahun di sini.

PSC membentangkan laporannya mengenai loji Lynas, semalam, malah dilampirkan bersama laporan daripada kementerian berkenaan, Lynas, pakar, laporan pendengaran awam, mesyuarat, dan sebagainya, selain dua pucuk surat jaminan daripada Lynas.

Dalam dua pucuk surat yang masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012, Lynas Corporation Ltd., Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. menulis bahawa pihaknya "bertanggungjawab terhadap pengurusan residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara (Temporary Operating License - TOL) termasuk jika perlu, pemulangan kepada sumber asal."

Oleh itu, Lynas sekadar menjanjikan bahawa pihaknya bertanggungjawab untuk menguruskan residu yang terhasil semasa tempoh TOL, dan mengeluarkannya dari Malaysia jika perlu - bukannya menjanjikan agar residu yang terhasil dalam tempoh operasi 20 tahun dikeluarkan dari Malaysia.

Namun, PSC tidak memaklumkan kepada kita akan hakikat ini, sebaliknya mengesyorkan, "sekiranya penyelidikan pengkitaran semula serta lokasi tidak dapat dikenal pasti atau diluluskan, Lynas hendaklah membawa residu yang dihasilkan oleh LAMP keluar dari Malaysia.  Dalam hubungan ini Jawatankuasa mengambil maklum bahawa pihak Lynas Corporation Ltd., Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. telah mengemukakan surat masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012 yang merakamkan komitmen untuk membawa keluar residu LAMP dari Malaysia."

Selain itu, laporan PSC mendakwa bahawa projek LAMP (Lynas Advance Material Plant) adalah sebuah kilang kimia yang selamat.  Lebih-lebih lagi, maklumat yang dibentangkan Lynas kepada PSC menunjukkan bahawa proses operasinya tidak melibatkan tekanan tinggi, mengekalkan suhu alam dan bukan bahan mudah bakar.

Padahalnya, salah satu peringkat pemprosesan kilang tersebut melibatkan suhu setinggi 650 darjah celsius.  Dalam bidang kimia, 650 darjah celsius dianggap suhu ekstrem (extreme temperature). Dalam tulisan seterusnya, MerdekaReview akan membangkitkan 10 persoalan dan keraguan daripada laporan PSC yang dibentangkan semalam.
*Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia.  Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

No comments: