Sunday, February 8, 2015

Mudah-Mudahan Anwar Dipenjara...



Tanggal 10 Februari 2015 hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Tarikh itu begitu ditunggu-tunggu untuk melihat sama ada Anwar Ibrahim akan bebas atau didapati bersalah.

Jika bebas, ia adalah peluang terakhirnya untuk berjuang menawan Putrajaya bersama PR dengan imejnya yang sudah dibersihkan tetapi jika didapati bersalah pula, beliau mungkin menghuni penjara sekali lagi.

Bedasarkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara keatas Anwar, jika bersalah, ada kemungkinan hukuman itu akan dikekalkan tetapi ramai juga menjangka lebih berat daripada itu.

Sejak Anwar dipecat daripada kerajaan pada 1998 dan menggerakkan kekuatan pembangkang, isu yang paling utama ialah mengajak rakyat melakukan reformasi dan perubahan.

Jika dilihat apa yang berlaku hari ini, hasrat kepada perubahan itu sudah meresap ke dalam jiwa dan keinginan majoriti rakyat. Hampir semua kelompok masyarakat bercakap tentang perubahan dan yakin dengan adanya perubahan saja negara ini menjadi lebih baik, perangai pemimpin lebih baik dan kekayaan negara diurus dengan lebih baik.

Tidak cukup dengan rakyat biasa, pengundi atas pagar dan penyokong PR yang mahukan perubahan, ahli dan penyokong UMNO juga semakin ramai yang "letih" dengan kerajaan yang ada.

Dalam PRU 13 lalu, memang rakyat telah menunjukkan keinginan untuk berubah. 52 peratus yang menolak kerajaan adalah bukti ke arah itu tetapi BN kekal memerintah hanya kerana sistem pilihanraya yang digunakan dan pecahan kawasan Parlimen yang tidak seimbang.

Menjelang detik 10 Februari dan berhadapan dengan PRU 14 akan datang, isu perubahan sekali lagi menjadi bualan. Ada yang percaya dengan  memenjarakan Anwar menjadikan peluang BN lebih cerah untuk mengekalkan kuasa.

PR dikatakan akan pecah dan tiada lagi lagi pemimpin yang boleh menyatukannya sebagai Anwar berjaya melakukannya selama ini.

Tetapi pemenjaraan Anwar juga menjadikan simpati rakyat lebih tinggi dan perbualan mengenai hukuman itu dan sistem kehakiman tidak terhenti sampai bila-bila. Ia mungkin sama seperti rakyat terus bercakap tentang motif pembunuhan dalam kes Altantuya walaupun mahkamah paling tinggi telah memutuskan Azilah Hadri dan Sirul Azhar bersalah.

Dalam masa yang sama, jika sudah dipenjara juga akan menjadikan UMNO dan BN tidak boleh lagi mempergunakan kelibat Anwar untuk menakut-nakutkan rakyat seperti menggambarkan beliau sebagai ejen Amerika, ejen Yahudi, pejuang plural dan sama rata dalam agama, pro Cina, alat DAP dan pelbagai kaitan yang lain.

Cabaran pertama yang bakal dihadapi oleh UMNO dan BN jika Anwar dipenjara ialah pilihanraya kecil Permatang Pauh serta perbualan antarabangsa mengenai hukuman yang diterimanya. Kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang yang dihantar ke penjara juga boleh mengundang persepsi negatif seantero dunia mengenai sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi.

Oleh itu, ada juga yang berpendapat, lebih baik Anwar dibebaskan kerana selain isu mengenai dirinya boleh terus didendangkan, perbualan rakyat mengenai ketidakadilan kerajaan dan sistem kehakiman yang didakwa tempang juga dapat dihentikan.

Selain itu, sejarah juga sudah membuktikan bahawa Anwar seharusnya dihadapi secara politik  serta berdepan dan bukannya dengan penggunaan undang-undang atau kehakiman sebagai alatnya.

Apa yang berlaku dalam konteks kebangkitan rakyat hari ini sebahagian besarnya ialah kerana simpati dan penolakan terhadap undang-undang dan kehakiman yang ditekan secara berlebih-lebihan keatas Ketua Pembangkang itu.

Anwar sendiri, walaupun tidak suka dan cuba mengelak untuk ke penjara sekali lagi, lebih-lebih lagi dalam usianya yang semakin tua ketika ini, tetapi tetap realistik dalam konteks perubahan rakyat jika Penjara Sungai Buloh atau Penjara Kajang bakal menjadi kediamannya sekali lagi.

Menurut Anwar, di sebalik pelbagai masalah yang berlaku dalam dalam PR ketika ini, sokongan undi popular 52 peratus itu kekal menjadi milik mereka.

Dengan yakin juga beliau berkata, tentunya berdasarkan simpati yang lebih tinggi, kebangkitan rakyat dan penolakan terhadap penggunaan undang-undang dan kehakiman yang didakwa tidak adil - sokongan undi popular akan meningkat kepada 60 peratus jika takdirnya ke penjara lagi pada 10 Februari ini.

Seiring dengan keinginan rakyat kepada perubahan, penolakan terhadap UMNO dan BN serta kepimpinan Najib Razak yang sudah seperti "lemak tepu" dan tidak mungkin boleh berubah lagi walau sudah kerap dikritik dan ditegur, pemenjaraan Anwar sebenarnya amat baik sekali untuk rakyat.

Hanya dengan keputusan penjara pada 10 Februari ini, kalau boleh lebih berat daripada hukumah lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini, satu-satunya pemangkin yang boleh meletuskan lagi perubahan.

Berbanding Anwar yang lepas bebas, perubahan yang boleh membawa natijah kebaikan kepada rakyat sebenarnya jauh lebih utama dan diharap-harapkan oleh sesiapa saja.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa semoga Anwar tetap ke penjara kerana itulah yang sebenarnya terbaik buat kita semua. (SH 08/02/2015)
wrlr: Ada buruk dan baiknya jika terpenjara.....Kita akan lihat PAS dimana...DAP dimana dan PKR dimana....Adakah Hadi dapat mengepalai PR atau PAS akan dibawa keluar dan berjuang sendirian menentang BN....Kita lihat detik ini...dan aku tidak akan mendoakan musibah untuk orang lain...kerana deritanya berada di penjara hanya tuan tubuh yang memahaminya...Jadi jangan doakan insan lain walau seburuk mana ia....kerana itu adalah pengakhiran hidup bebas di dunia yang sementara ini.... 

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers