Oleh: Jebon
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang bermula pada pukul 2 petang tadi berlangsung dalam suasana mesra dan membina.
Tidak seperti digembar-gemburkan media arus perdana, berkemungkinan akan berlaku perang mulut antara DAP dan PAS berhubung isu-isu yang berbangkit - pemimpin yang hadir - terutama dari ketiga-tiga parti tidak menimbulkan sebarang perkara yang membawa ketegangan.
Kehadiran Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang melengkapkan korum mesyuarat majlis presiden yang telah tidak bersidang sejak setahun lalu.
Mesyuarat kali ini disifatkan sebagai perbincangan ‘ringan’ dan lebih kepada meraikan Anwar yang mungkin meninggalkan mesyuarat-mesyuarat akan datang untuk tempoh lebih lima tahun jika disabitkan kesalahan dalam kes liwat pada 10 Februari ini.
Kesemua pemimpin bersetuju untuk tidak membincangkan agenda Hudud dan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan yang akan menukar mesyuarat menjadi medan bertikam lidah.
Seorang pemimpin tinggi parti yang hadir dalam mesyuarat itu berkata solusi yang dikeluarkan pada hujung pertemuan menetapkan isu Hudud dan pilihan raya PBT akan diperbincangkan dalam satu mesyuarat khas yang akan diadakan kelak.
“Keputusan mesyuarat ialah isu seperti Hudud dan pilihan raya PBT akan dibincangkan dalam satu mesyuarat lain dan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan menanganinya. Pakatan juga akan menganjurkan konvensyen pada Mei depan untuk menguatkan gabungan,” katanya.
Pujian wajar diberikan kepada perwakilan DAP dan PAS yang tidak membuat bising sebagaimana yang mereka lakukan di media massa.
Konvensyen Khas Pakatan pada bulan Mei depan diharapkan akan memperkuatkan kembali Pakatan, terutama menjelang Muktamar Pemilihan PAS yang dijadualkan pada Jun.
Kongres itu penting bagi memberi isyarat kepada perwakilan PAS agar tidak memilih pemimpin yang anti Pakatan dan merenggangkan lagi hubungan antara puak ulama dan profesional dalam parti tersebut.