Sunday, February 9, 2014

Persatuan guru tetap akan protes walaupun kementerian ajak berunding

Persatuan guru tetap akan protes walaupun kementerian ajak berunding

 Sistem SPPBS adalah sebahagian daripada dasar reformasi pendidikan negara dan diperkenalkan bagi membentuk pelajar holistik yang bukan sahaja tertumpu kepada pembelajaran akademik. – Gambar fail. Sistem SPPBS adalah sebahagian daripada dasar reformasi pendidikan negara dan diperkenalkan bagi membentuk pelajar holistik yang bukan sahaja tertumpu kepada pembelajaran akademik. – Gambar fail.Sebuah persatuan guru tetap akan meneruskan protes di hadapan Kementerian Pendidikan bagi mendesak sistem pentaksiran pelajar yang baru dimansuhkan, walaupun kerajaan meminta mereka kembali ke meja dialog.

Mohd Nor Izzat Mohd Johari, jurucakap kepada Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) berkata, mereka bertegas dengan pendirian mereka agar Sistem Pentaksiran Pelajar Berasaskan Sekolah (SPPBS) dimansuhkan sebelum ia dilaksanakan terhadap pelajar Tingkatan Tiga tahun ini.
Ini kerana pelajar tingkatan tiga seluruh negara akan menduduki peperiksaan penting Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada akhir tahun ini.
“Masa sudah kita berikan selama tiga tahun. Akan tetapi apa yang dibuat oleh kementerian yang dikatakan membuat penambahbaikkan kepada PBS bukan menyelesaikan masalah, tetapi menutup kelemahan PBS itu sendiri.

“Kenyataan (Menteri Pendidikan II) Datuk Seri (Idris Jusoh) yang menyatakan masalah ini boleh dibawa bincang itu saya sifatkan sebagai kenyataan hipokrit.

“Respon saya kepada Datuk Seri, kita tunggu 22 Februari 2014 ini. Saya jemput Datuk Seri untuk hadir bersama kalau beliau rasa mahu berbincang,” kata Mohd Nor Izzat, merujuk kepada tarikh protes tersebut.

Dilaporkan sebelum ini  SGMM berharap 200 guru akan turun bersama mereka bagi mendesak kementerian memansuhkan SPPBS, yang selama ini dilanda pelbagai kontroversi.
Protes oleh para guru itu boleh dikatakan jarang sekali dilakukan golongan itu, yang juga merupakan penjawat awam kerajaan persekutuan.

Protes tersebut dijadualkan akan berlangsung di hadapan pejabat kementerian di Putrajaya pada hari Sabtu, 22 Februari.

Ini supaya tidak menggangu perjalanan waktu sesi sekolah dan bagi memberi peluang guru di seluruh negara untuk hadir.

Di dalam respon beliau pada Februari 7, Idris meminta agar kumpulan tersebut menghentikan rancangan mereka selain menyuarakan pendapat mereka kepada kementerian melalui saluran yang lain.

“Jangan... tidak perlu (adakan bantahan). Apa masalahnya beritahu kami, kerana ini sistem yang dikehendaki, selepas dahulu berkata kami terlalu ke arah peperiksaan. Ini satu perubahan yang baik dan kalau ada yang tidak kena beritahulah dan kami akan baiki.

"Guru boleh beritahu apa masalah sebenarnya kepada Lembaga Peperiksaan dan Ketua Pengarah Pelajaran, malah dengan saya juga boleh. Kami berharap anda jangan gopoh dan beri masa kepada kementerian untuk laksanakannya (penambahbaikan PBS)," katanya dilaporkan Bernama.

SPPBS mula dilaksanakan pada peringkat darjah satu di semua sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan pada 2011.

Setahun kemudian, ia dilaksanakan pada peringkat tingkatan satu di semua sekolah.
Sistem tersebut adalah sebahagian daripada dasar reformasi pendidikan negara dan diperkenalkan bagi membentuk pelajar holistik yang bukan sahaja tertumpu kepada pembelajaran akademik.
Berbanding dengan sistem lama, tiada peperikasaan tahunan di bawah SPPBS.

Prestasi pelajar dinilai setiap hari dengan menggunakan satu garisan markah enam peringkat yang dinamakan “band”.

Pelajar di dalam Band Satu (paling rendah) diklasifikasikan sebagai memahami subjek yang diajar, manakala Band Enam (paling tinggi) diklasifikasikan sebagai “mithali”.

Data mengenai prestasi pelajar dimasukkan setiap hari oleh guru ke dalam satu pangkalan pusat.
Pelajar tingkat tiga tahun ini adalah kelompok pertama pelajar menengah yang melalui dua tahun SPPBS, mulai 2012.

Mohd Nor Izzat yang mengajar pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Pahang berkata, antara isu utama adalah bagaimana guru hendak menyediakan pelajar tingkatan tiga bagi menghadapi PMR, yang merupakan legasi sistem lama yang berasaskan peperiksaan.

Biasanya, PMR menilai pengetahun pelajar terhadap subjek yang dipelajari selama tiga tahun mulai tingakatan satu.

Tetapi persoalannya sekarang adalah adakah PMR kali ini akan mengikut sistem lama atau sistem baru.

Mohd Nor Izzat yang mengajar pendidikan seni berkata, taklimat terbaru oleh kementerian beberapa minggu lepas masih tidak dapat menjawab soalan ini dan menenangkan kekeliruan guru.

Taklimat tersebut menunjukkan kementerian masih tidak mengambil ketetapan berhubung format, bentuk dan jadual PMR.

“Mereka hanya mempunyai cadangan tetang tarikh PMR, format kertas peperiksaan, sistem penilaian dan sebagainya. Tetapi tiada ketetapan.


“Dan kita sudah berada dalam bulan kedua tahun persekolahan dan guru masih tidak mahu bagaimana hendak menyediakan pelajar dan apa yang patut diajar. Kita dah buang banyak masa.” – 9 Februari, 2014.


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers