Isu PRK : Monday, 08 February 2010 2:16 PM
Oleh Mohd Ali Bakri
KUALA LUMPUR : Kumpulan mahasiswa Pro Mahasiswa dan semua kumpulan mahasiswa lain yang terlibat dengan pilihan raya kampus baru-baru ini boleh mengadukan sebarang permasalahan dan aduan mereka kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Saifullah Zulkifli berkata, pihaknya kini sedang membuka ruang kepada seluruh mahasiswa yang ingin mendedahkan segala permasalahan dan penyelewengan pihak pentadbiran universiti, khasnya yang berhubung dengan pilihan raya kampus baru-baru ini.
"Dijemput untuk menghadiri pertemuan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama mahasiswa esok," kata beliau kepada erapakatan.com di sini, hari ini.
Pada 5 Februari (Jumaat) lalu, berlaku pergaduhan sengit antara kira-kira 50 mahasiswa di tepi tangga bangunan Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya bermula jam 3:30 petang sehingga tamat waktu pejabat.
Kumpulan Pro Mahasiswa Universiti Malaya itu ingin mengirim patung replika demokrasi kepada Timbalan Naib Canselor yang didakwa terlibat dengan beberapa projek membabitkan wang sehingga melumpuhkan kepercayaan mereka terhadap beliau selaku pengendali PRK baru-baru ini.
Di Universiti Kebangsaan Malaya, pada hari yang sama, berlaku perhimpunan besar-besaran anjuran Pro Mahasiswa di kampus tersebut selepas solat Jumaat, gara-gara tindakan pihak pentadbiran universiti itu yang tidak mempedulikan bantahan mahasiswa ke atas keputusan pilihan raya kampus berasaskan sistem e-undi sebelum ini.
Selain itu, di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, berlaku kekecohan apabila pihak pentadbiran universiti berkenaan membatalkan pencalonan kumpulan Pro Mahasiswa ekoran tindakan mereka menjalankan kempen PRK melalui laman sesawang sosial Facebook.
Sikap yang diambil oleh UPM ini bercanggah dengan pendirian Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Profesor Dzulkifli Abdul Razak yang menyifatkan kempen PRK tidak perlu dijalankan terlalu lama kerana mahasiswa hari ini boleh menggunakan kempen melalui laman sosial seperti Friendster dan Facebook.
Mahasiswa yang mahu maklumat lanjut berhubung pertemuan bersama Ketua Pembangkang dan Menteri Besar Selangor itu boleh terus menghubungi saudara Saifullah Zulkifli di talian 013-3005461.