Rumah Urut : Usaha PAS yang cuba digelapkan media

Monday, 08 February 2010 2:27 PM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Sekonyong-konyong, akhbar Kosmo! menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor berhubung berleluasanya rumah urut di negeri itu termasuk cuba memancing PAS agar turut sama menyalahkan kerajaan negeri, namun usaha itu tetap gagal.

PAS yang kekal setia bersama PR sejak 8 Mac 2008, walaupun hanya diberi sedikit jawatan tetap komited agar rumah urut di negeri itu tidak membiak selain cuba memperkenal beberapa peraturan baru berhubung rumah maksiat itu.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir berkata, kehadiran ahli-ahli majlis PAS dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor tidak memungkinkan parti itu bersetuju dalam meluluskan rumah-rumah urut yang sebegitu banyak tanpa kawalan.

Roslan memberi contoh bagaimana dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang ahli majlis daripada PAS berani memperkenal dua peraturan penting kepada para penguasaha rumah-rumah urut dan kelab-kelab malam yang dilesenkan.

Menurutnya, bagi rumah-rumah urut itu, berkuatkuasa pada 1 Januari lalu, sekiranya pemegang yang dilesenkan menjalankan urut uniseks iaitu melibatkan lelaki urut wanita atau sebaliknya, maka ia tidak dibenarkan mengambil pekerja yang beragama Islam bekerja.

Beliau menjelaskan, tindakan itu bertepatan dengan semangat Enakmen Jenayah Syariah di Selangor dan jika syarat itu dilanggar, lesen pengusaha itu boleh dibatalkan.

"Manakala bagi kelab-kelab malam yang menghidangkan atau menjual arak, pemegang lesen juga tidak dibenarkan mengambil pekerja Islam bekerja kerana ia bertentangan dengan Enakmen yang sama," kata beliau melalui blognya, http://n32.blogspot.com.

Rekod sebelum ini menunjukkan, lelaki Islam memang dilarang mengunjungi rumah urut uniseks seumpama itu dan peraturan tersebut telah wujud sejak kerajaan BN memerintah, namun hal itu gagal dilaksanakan walaupun BN sejak sekian lama mendominasi segala pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor.

Walaupun ahli majlis PAS hanyalah hanya tiga daripada keseluruhannya 24 orang dalam MPSJ, namun ahli-ahli parti itu dilihat lebih tegas bertindak dan memanfaatkan kuasa yang ada pada mereka berhubung perkara itu, berbanding Umno yang memerintah Selangor sejak sekian lama.

"Jangan sesiapa menganggap bahawa kerajaan PR ini tidak mengambil pusing langsung berhubung kerja-kerja amar makruf nahi mungkar. Jangan cetuskan persepsi seolah-olah PAS dalam kerajaan PR hanya sebagai 'sleeping partner'.

"Kami lebih suka membawa perubahan dan memperkenalkan pembaharuan tanpa menjaja 'political mileage' kononnya merekalah juara di sana sini sedangkan hakikatnya, semasa mereka berkuasa dahulu dengan majoriti mutlak, kerja-kerja seumpama ini langsung tidak menjadi keutamaan," kata Roslan.

Umno, menurutnya, ketika ini sibuk dengan program juara rakyatnya yang dilaksanakan sehinggalah pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Roslan turut memberitahu, kenyataan beliau kepada akhbar Kosmo! tidak disiarkan walaupun beliau telah memberi kenyataan hampir setengah jam selepas dihubungi oleh wartawan daripada akhbar tersebut.

Beliau mengakhiri catatan beliau di blognya itu, dengan ayat berikut, 'Terima kasih Kosmo!'.

No comments: