KUALA LUMPUR : Berikutan perbicaraan berat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, khasnya merujuk sikap hakim yang enggan bertindak ke atas Utusan Malaysia baru-baru ini, orang ramai diseru menghadiri perhimpunan aman di kompleks mahkamah Jalan duta esok sekitar 10 pagi
"Perhimpunan esok pagi itu bertujuan menuntut agar hakim yang membicarakan kes pertuduhan ke atas Anwar ditukar kepada hakim lain yang lebih berwibawa," kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin di sini, hari ini.
Pagi tadi peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim diketuai Karpal Singh memohon hakim menarik diri kerana bersikap berat sebelah dan enggan bertindak ke atas Utusan Malaysia yang membongkar rakaman gambar semasa kes dibicarakan dalam kamar tertutup baru-baru ini.
Sebelum perbicaraan dimulakan dengan memanggil saksi untuk soal balas Karpal mengemukakan permohonan baru; hakim perlu menarik diri daripada membicarakan kes itu.
Ekoran itu, Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah menetapkan keputusan baru untuk mendengar semula permohonan tersebut yang telah difailkan oleh Karpal Singh. Mahkamah ditangguhkan dan ia bersidang semula pada jam 9.30 pagi esok.
Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, bekas pembantu peribadi Anwar, adalah saksi pertama yang memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin.
Anwar Ibrahim, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.