- Dalam mesyuarat jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diadakan pada malam 3hb Februari 2010, keputusan telah diambil untuk mengadakan majlis ceramah dan forum bahasa kebangsaan dalam sistem pelajaran kebangsaan sempena genap satu tahun GMP melancarkan perarakan menyampaikan memorandum kepada Duli Yang Di-Pertuan Agong, membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran kebangsaan negara, yang akan jatuh pada 7hb. Mac tahun ini.
- Majlis yang sedang dirancangkan itu akan diisi dengan beberapa ceramah dan forum tentang dasar penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik di sekolah kebangsaan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, di samping penggunaan bahasa ibunda dalam mata pelajaran yang sama di sekolah jenis kebangsaan.
- Dalam mesyuarat Jawatankuasa GMP pada malam 3hb. Februari itu, beberapa perkara dan isu telah ditimbulkan dan dibincangkan. Antaranya adalah perkara-perkara berikut:
- Komitmen kerajaan untuk benar-benar mengembalikan dasar penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dan di peringkat pengajian sebagaimana yang telah dan sedang terus dilaksanakan sebelum tahun 2003 dan menurut peruntukan yang termaktub dalam Akta Pendidikan (Pelajaran) 1996.
- Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang, tidak hanya dalam bidang sains dan matematik, di Institusi Pengajian Tinggi Awam,
- Pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan sebagai salah satu kursus untuk semua pelajar, termasuk pelajar asing, di Institut Pengajian Tinggi Swasta, seperti yang diamalkan di negara-negara maju di Barat dan di Asia, iaitu yang mewajibkan pelajar asing mengetahui bahasa kebangsaan negara berkenaan sama ada sebagai syarat kemasukan di IPT di negara masing-masing atau sebagai kursus biasa.
- Peningkatan kaedah dan mutu pengajaran dab pembelajaran bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris di sekolah.
- Tidak menjadikan bahasa Inggeris (bahasa asing) sebagai syarat untuk lulus dalam peperiksaan di sekolah kebangsaan. Jika syarat ini dijadikan dasar dalam sistem pelajaran kebangsaan negara ini, GMP khuatir akan timbul banyak masalah lain lagi, antaranya kemungkinan banyak pelajar kita akan gagal dalam peperiksaan mereka kerana lemah dalam bahasa Inggeris mereka, walaupun mereka mendapat 10 ‘A’ atau 15 ‘A’ dalam semua mata pelajaran yang diajar dalam bahasa kebangsaan. Ini serupalah dengan dasar penjajahan bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran negeri ini sebelum kemerdekaan. GMP berpendapat, lebih baik masalah kelemahan bahasa Inggeris itu diselesaikan melalui cara yang disebutkan pada (d) di atas.
Itulah antara beberapa perkara yang akan dibincangkan dalam majlis GMP yang dicadangkan itu pada 7 Mac tahun ini.
- Tujuan GMP mengadakan majlis ceramah dan forum tentang dasar bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran kebangsaan adalah seperti dalam berikut:
- Untuk menimbulkan perkara-perkara yang benar tentang peranan dan nilai kognitif dan budaya bahasa kebangsaan sebagai bahasa pendidikan rakyat Malaysia, bukan rakyat di negara lain.
- Menolak segala macam kepercayaan, pandangan dan ‘teori’ salah yang masih diperjuangkan oleh segelintir pihak dan orang perseorangan yang mengatakan bahawa orang yang tidak mempelajari apa-apa ilmu dalam bahasa Inggeris, orang itu akan menjadi manusia ‘bodoh’. Mereka malah berkata: ‘orang yang tidak tahu membilang dalam bahasa Inggeris, orang itu bodoh’. Anehnya, orang yang berkata demikian itu tidak pernah mengajar matematik dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda masing-masing, baik di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, apatah lagi di peringkat pengajian tinggi.
Kita tidak mahu pandangan dan kepercayaan yang salah itu atau yang hanya bersifat peribadi mempengaruhi pihak pembuat dasar pelajaran di negara ini, sama sekali. GMP akan mengundang mereka untuk bersama-sama berbincang dalam majlis itu nanti.
- Untuk memperkukuhkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran kebangsaan berdasarkan ilmu yang benar, tidak berdasarkan kejahilan.
Tegasnya, majlis itu adalah majlis ilmu, bukan majlis politik atau majlis para emosi dan fanatik bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan.
Dato’ Dr. Hassan Ahmad.
Pengerusi GMP
5 Februari 2010.