KERAJAAN BN SILA TURUNKAN HARGA BARANG KAWALAN DAHULU!

  Oleh: Webmaster

 Kenyataan Media: Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (PENYEDAR) dalam kajian di lapangan dalam suasana ekonomi negara yang tidak menentu ini dan melihat keadaan yang sediada sekarang ini menunjukkan harga minyak akan terus turun ke satu tahap sehingga USD 40/tong. Peniaga tidak akan menurunkan harga secepat mungkin atas alasan simpanan bekalan yang lama belum habis dan akan menghitung kerugian yang ditanggung ketika kos minyak yang naik secara mendadak tidak lama dulu. Dalam masa yang sama, mereka juga akan mengambil sikap tunggu dan lihat setakat manakah serta berapa lamakah penurunan harga minyak ini akan berterusan di dalam Negara kita.

Mereka juga akan berhujah bahawa, kesukaran untuk mereka menurunkan harga barangan kerana gaji pekerja telah dinaikkan selaras dengan kenaikan kos sara hidup akibat dari kenaikan harga minyak sebelum ini. Apabila gaji seseorang pekerja telah dinaikkan, ianya tidak boleh diturunkan sewenang-wenangnya kerana menyalahi undang-undang Negara.  Malangnya juga, kita tidak mempunyai satu undang-undang yang membolehkan kerajaan menyusun atur  atau menetapkan penurunan harga barangan terutama bahan makanan khususnya.

Untuk itu, kerajaan mesti menunjukkan contoh teladan terlebih dahulu dengan menurunkan harga barangan kawalan seperti gula, tepung dan susu sesuai dengan penurunan harga minyak kini di pasaran dunia. Walaupun Menteri yang terlibat sebelum ini mendesak dan mengarahkan agar restoran, pengusaha bas, teksi dan peniaga ikan untuk menurunkan harga jualan atau perkhidmatan mereka dan keadaan ini agak lucu kerana keadaan ini berpunca dan dikawal oleh kerajaan sendiri. Sepatutnya sebagai seorang Menteri, sebuah kerajaan atau parti yang memerintah, perlu menunjukkan sikap dan perbuatan yang logik sebagai ikutan bagi rakyat seluruhnya.

Penyedar, menyimpulkan bahawa punca kenaikkan harga barangan dalam Negara kita terletak di bahu kerajaan dan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang memerintah dan sewajarnya kementerian yang terlibat perlu mencari mekanisma terbaik yang menguntungkan rakyat dan bukannya membebankan rakyat dan pengguna khususnya. Dan kepada peniaga, mereka cukup tertekan akan suasana yang ada kini kerana beban yang terpaksa mereka tanggung oleh kerana kelemahan pihak lain dan kerajaan dilihat gagal mengendalinya dengan baik dan berkesan. Jesteru, rakyat perlu jelas akan kuasa mereka di dalam urusan jual beli dan tidak tertipu serta menjadi sasaran atas suasana dan keadaan kini yang jelas harga minyak pasaran dunia turun dan mengapa kita perlu bayar lebih!