Puak profesional PAS ‘cacing kepanasan’ diserang UG

Oleh: Pukul Canang


Laporan dari sumber dalaman PAS mendakwa puak profesional parti itu seolah-olah kepanasan melawan puak Unity Government (UG) yang berusaha menyingkirkan mereka dalam Muktamar pemilihan Jun depan.

Kempen puak UG yang dianggotai para ustaz kini telah menyerap dengan mantap ke peringkat akar umbi. Perwakilan PAS yang akan pergi ke muktamar dan memilih pemimpin kelak terdiri daripada ketua dan AJK peringkat kawasan yang kebanyakan dari ahli parti berlatarbelakangkan agama.

Sejak beberapa bulan lalu wujud kempen agar seboleh-bolehnya kesemua jawatan tertinggi; Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan AJK Pusat adalah daripada kalangan ustaz.

Langgar profesional

Puak profesional seboleh-bolehnya dihadkan hanya memegang jawatan di peringkat kawasan hingga ke bawah. Kempen inilah yang menakutkan golongan profesional.

Apatah lagi puak profesional tidak mempunyai ketua. Mat Sabu, Khalid Samad, Husam Musa, Mujahid semuanya menolak untuk mengetuai cabaran puak profesional. Husam yang terkenal dengan sikap ‘play safe’ lebih gemar menyerang PasMa bagi menunjukkan dirinya pro ulama.

Mat Sabu walaupun tidak sebulu dengan puak UG tetap tidak mengeluarkan kenyataan keras ke atas Hadi yang mengaitkan pilihan raya PBT dengan rusuhan 13 Mei walaupun hujah itu mengarut dan dibidas penyokong Pakatan Rakyat.

Salahudin Ayub lebih senang menjadi pengekor Hadi dan sekali-sekali cuba bersikap adil terhadap PasMa. Mujahid anak bekas Presiden PAS, tidak mahu menjadi ulama/profesional pertama yang mewaraskan puak Hadi.

Akhirnya PAS bergerak di landasan yang tidak normal sama seperti Umno yang dituduh mereka tidak normal kerana melawan Islam dan hak asasi manusia sebelum ini.

Hujah mengarut

PAS pergi kepada isu-isu perkauman untuk menarik sokongan. Menggunakan stail ketagih kontroversi ala Mustafa Ali. PAS ditadbir oleh Hadi – Mustafa sebagaimana Dr Mahathir mentadbir Umno suatu ketika dahulu.

Puak UG gagal faham kehendak rakyat yang mengundi mereka. Bahawa mereka tidak boleh berlagak seperti pemimpin Umno. Umno menguasai jentera negara dan boleh melakukan apa sahaja. PAS apa yang ada?

Sebaik PAS ditolak pengundi dalam PRU maka ahli politik mereka akan menjadi pendebat kedai kopi. Sekurang-kurangnya ahli politik Umno yang kalah di Selangor dan Pulau Pinang masih berkuasa dan dilantik ke pelbagai jawatan di peringkat pusat.

Inilah perkara yang puak profesional perlu sedarkan perwakilan PAS ke muktamar nanti. Puak UG telah membawa mereka ke arah yang salah.

Malangnya, puak profesional gagal melantik pemimpin. PasMa tidak ikut dalam pemilihan Muktamar. Alasan puak profesional kononnya mereka tidak mahu PAS berpecah. Bagaimanakah yang dikatakan  tidak berpecah apabila Hadi terang-terangan telah menghalau ahli PAS yang pro PasMa keluar parti? Sedangkan PasMa adalah NGO pro PR dan bukan pesaing PAS.

Baru-baru ini, puak profesional telah mendapatkan khidmat penganalisis politik untuk menilai tahap sokongan mereka di muktamar Jun nanti. Hasil kajian itu mendapati profesional akan dijadikan sate oleh puak UG dalam pemilihan kerana kelemahan gerak kerja kempen mereka.

Profesional kalah

Lebih memburukkan keadaan kebanyakan Ketua dan AJK Kawasan adalah individu yang tidak berfikiran terbuka. Tidak seperti pemimpin PKR dan DAP atau parti-parti Islam di Indonesia yang dibenar berfikiran bebas, para ustaz ini dikhuatiri ‘walak tidak berbelah bahagi’ kepada Hadi dan puak UG.

Kenyataan Hadi mengaitkan pilihan raya PBT dengan 13 Mei adalah bukti penting bahawa mereka menerima apa sahaja pemikiran presiden walaupun pada tahap yang mengarut dan tidak berfakta. Tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang sanggup menegur kecuali cikgu Ishak Surin, Yang DiPertua PAS Batu.

Dilaporkan sebahagian puak profesional PAS mula menyerah kalah dan menganggap PAS sudah hancur lebur. Sementara sebahagian lagi masih mahu mencuba mewaraskan pendirian para perwakilan terhadap realiti politik Malaysia.

Bagaimanapun, jika bergantung kepada hasil kajian puak profesional telah pun ‘kalah’ sebelum Muktamar bermula.