Yang DiPertua PAS Batu sokong pilihan raya PBT

Oleh: Jebon


Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu sebuah pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dikembalikan di Kuala Lumpur, menyifatkan langkah berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Tindakan Kuala Lumpur (Bertindak) berpendapat, pilihan raya PBT ialah satu platform bagi rakyat menyuarakan hak mereka dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan seperti didakwa pihak tertentu.

"Pilihan raya ini ialah satu cara rakyat menentukan haknya. Ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan kerana hak rakyat ditentukan dalam Perlembagaan, sepertimana juga hak berhimpun dan menyatakan pendapat.

"Semua itu termaktub dalam Perlembagaan. Kalau kita menuntut diberikan hak menentukan nasib kita, ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan," kata pengerusinya, Ishak Surin pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Penganalisis politik dilaporkan semalam menyifatkan perjuangan DAP yang mahu melaksanakan pilihan raya PBT di Pulau Pinang sebagai mencabar keputusan mahkamah, sekali gus menentang Perlembagaan.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lepas memutuskan kerajaan Pulau Pinang tiada bidang kuasa mengadakan pilihan raya PBT.

"Keputusan mahkamah berdasarkan kepada Peruntukan Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menggariskan dengan jelas larangan kepada kerajaan tempatan untuk mengadakan pilihan raya mereka sendiri," katanya kepada Bernama.

Ishak yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu itu berkata, sejak pilihan raya PBT digantung pada 1965, warga Kuala Lumpur dirampas hak memilih wakil ibu kota mereka sendiri.

Katanya, dengan penafian hak pilihan raya tersebut, warga kota tidak dapat melakukan semak dan imbang terhadap pentadbiran, pembangunan dan hal yang berkaitan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Apa yang kita hadapi selama ini ialah pentadbiran dan perancangan pembangunan Kuala Lumpur yang sehala, mendera rakyat kecil dan kerap kali sangat tidak bertimbang rasa.

“Sudah tiba masanya kami menuntut warga Kuala Lumpur diberikan hak memilih wakil mereka bagi mentadbir bandaraya ini,” katanya.

Pilihan raya PBT pernah diadakan di bandar besar sehingga ia ditangguhkan pada Mac 1965 berikutan Peristiwa Konfrontasi Malaysia-Indonesia ekoran kegawatan hubungan dua negara dan suasana tempatan yang tegang.

Ia akhirnya dimansuhkan sama sekali 11 tahun kemudian dengan lulusnya Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960.

Ishak berkata, isu yang mendesak bagi sebuah pilihan raya PBT diadakan di Kuala Lumpur ialah peruntukan bajet 2015 bagi Kuala Lumpur (RM2.44 bilion) yang lebih tinggi daripada Selangor (RM2.42 bilion).

“Persoalannya, bagaimanakah wang yang begitu besar ini dibelanjakan? Apakah warga Kuala Lumpur tidak berhak mengetahuinya sedangkan mereka pembayar cukai?

“Di Selangor, negeri besar, orang banyak, bajet kurang tetapi mereka boleh beri rakyat mereka pelbagai kemudahan. Air percuma 20 meter padu, pergi universiti diberi duit, orang meninggal diberi duit.

“Saya pergi ke rumah pangsa di Batu Muda, mereka tanya bila kita akan dapat air percuma? Saya kata, air percuma kita akan dapat bila ada pilihan raya wakil di Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas penolakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pilihan raya PBT, Ishak mengatakan ia kerana presiden PAS itu tidak menerima maklumat sebenar.

Ishak tidak setuju dengan kenyataan Hadi yang mendakwa pilihan raya PBT akan mencetuskan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei berulang kerana pilihan raya persekutuan dan negeri membuktikan sebaliknya.

“Bagi saya, Hadi mungkin tak dapat maklumat sebenar. Kalau dapat pun, mungkin maklumat negatif. Mana mungkin boleh timbul soal perkauman.

"Kami di Bertindak diwujudkan bagi membanteras perkauman sempit. Sudah sampai masa kita memandang ke depan.

"Kalau ditakdirkan pilihan raya ini boleh menimbulkan kacau bilau kaum, mengapa pilihan raya negeri dan persekutuan tiada kekacauan?” katanya.



P/S: Semoga cikgu Ishak boleh mewujudkan gerakan baru dalam PAS untuk lebih mewaraskan parti itu. Berbekalkan isu Harakah, cikgu Ishak boleh mengumpul sokongan untuk menolak S/U Agung Mustafa Ali dan menyingkirkan puak UG yang berselindung di belakang Hadi.

Senioriti cikgu Ishak dan jasa cikgu sebaris dgn Hadi. Maka cikgu blh memimpin golongan yg sudah jelek dengan permainan puak UG dalam PAS yang mahu jd musuh dalam selimut dan api dlm sekam kepada PR.

Mereka suka PAS ditolak rakyat dalam PRU 14 dan balik semula di pondok-pondok atau berdebat di kedai kopi seperti 1980an dulu.


No comments: