MAIWP Guna Wang Zakat Bayar Peguam

KUALA LUMPUR 22 JUN: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini mengecam tindakan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah, Datuk Che Mat Che Ali kerana menggunakan wang zakat agensi itu untuk membiayai khidmat guaman bersabit kes tuntutan Qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wang berjumlah RM31,150 itu dibayar kepada syarikat Tetuan Zainul Riijal Talha & Amir ditandatangani sendiri oleh beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 21 April 2010.

Malah dakwaan tersebut diakui sendiri oleh Timbalan Menteri dengan alasan MAIWP tidak mempunyai akaun untuk membayar khidmat guaman tersebut.

"Di sini saya melihat tiga perkara iaitu pertama urustadbir. Beliau pengarah dan beliau juga setiausaha yang meluluskan sendiri. Kedua, penerima wang zakat adalah jelas iaitu orang miskin dan ketiga dari aspek politik yang mana pemegang amanah menguruskan wang zakat," ujar Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution di lobi parlimen sebentar tadi.

Bayaran kepada syarikat guaman itu merujuk kepada pengendalian kes Mahkamah Tinggi Syariah dan Wilayah Persekutuan antara Datuk Seri Anwar Ibraim melawan Datuk Che Mat Che Ali, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam kes tuntutan Qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Adzlan.

Sehubungan dengan itu, Saifuddin berkata akan menulis surat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengemukakan aduan mengenai perkara tersebut.

Anwar memfailkan saman itu berikutan ketiga- tiganya dilihat melengah- lengahkan tuntutan Qazaf yang difailkannya.
Beliau terkejut apabila diberitahu bahawa katua pendakwa syarie memutuskan bahawa pendakwaan qazaf terhadap Mohd Saiful hendaklah menunggu perbicaraan liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.

Justeru, beliau memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.

Tambahnya, mahkamah syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan responden- responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang- undang jenayah syariah di Wilayah Persekutuan.




No comments: