Nurul Izzah Dan Tiga Yang Lain Disiasat

KUALA LUMPUR 28 JUN : Beberapa hari menjelang Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai depan, polis meneruskan tekanan apabila memanggil Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dan N Surendran untuk disoalsiasat berhubung dakwaan menghasut dan menyokong perhimpunan besar- besaran itu.

Nurul Izzah Anwar dan N Surendran hari ini di panggil memberi keterangan, selain Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan peguam Lawyer For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri.

Mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 2.30 petang.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 27 (5) Akta Polis berhubung perhimpunan tersebut yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur, 9 Julai.

Manakala, Fadiah disoalsiasat di bawah akta hasutan kerana hadir menyokong pengerusi Bersih 2.0 S Ambiga ketika membuat laporan polis di balai polis Travers selepas mendapat SMS ancaman.

SMS ancaman bunuh itu turut dihantar kepada pimpinan NGO itu termasuk pimpinan Pakatan Rakyat dan wartawan.

Menurut Nurul Izzah ketika ditemui diluar perkarangan IPD Dang Wangi, beliau membidas sikap pihak berkuasa dan menyifatkan penyiasatan tersebut sebagai berat sebelah.

Malah beliau menyelar sikap Polis yang banyak mengikut 'skrip' Utusan berdasarkan soalan yang ditanya.

"Saya sebagai rakyat Malaysia yang bukan dari parti memerintah, saya rasa didiskriminasikan kerana saya anggap Polis sepatutnya profesional dan tidak berpihak terutamanya pada soalan yang diajukan. Mereka perlu ambil kira konteks dari pihak lain juga bukan satu pihak sahaja.

"Mereka nampak hanya mengikut pemerintah yang memegang kuasa," tegas Izzah kepada ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini.

Izzah, seorang lagi Naib Presiden PKR N. Surendran, dan Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa telah ditanya mengenai pembiaya Himpunan Bersih, adakah ia langkah paling sopan dalam membuat tuntutan dan bagaimanakan pendapatan peniaga jika himpunan diadakan pada hari berkenaan.

Menurut mereka kenyataan itu dilihat mengikut isu yang ditimbulkan akhbar kawalan UMNO itu dan ucapan Kelab Penyokong BN Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kota Belud.

Izzah menyatakan corak soalan itu tidak dapat diterima.

"Daripada soalan-yang dibangkit seolah polis mengikut angle Utusan Malaysia dan ini membimbangkan saya. Saya minta polis jalankan siasatan tanpa mengikut tomahan yang dibawa utusan Malaysia.

"Pendekatan yang diambil polis seperti Bersih haram jadi dalam kenyataan saya saya telah berikan pandangan bahawa Bersih yang memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil merupakan hak di bawah perlembagaan Malaysia.

Menurut Sivarasa, Polis sepatutnya mendengar pendapat SUHAKAM yang menyatakan hak berhimpun secara aman telah dijamin oleh Perlembagaan Negara.

"SUHAKAM telah megnambil pendirian yang konsisten dan jelas tentang hak berhimpun di tempat awam dan aman," tegas beliau.

Fadiah turut disoal-siasat kerana menemani Ambiga yang membuat laporan Polis berkenaan ugutan bunuh yang diterima pengerusi Bersih itu.

Beliau mempertikaikan perkara itu kerana beliau menemani Ambiga yang menjadi mangsa ugutan jenayah dan bukan berhimpun menyalahi peraturan.

"Ini digunakan untuk menyoal mengapa saya berada di situ menyokong Datuk Ambiga yang menerima ugutan bunuh Ini jelas menunjukkan polis tidak secara bebas dan polis mengikut rentak irama BN menggagalkan menghalang kita dari menuntut pilihan raya bersih dan adil," katanya.

Fadiah menyatakan Malaysia patut melihat kepada negara lain yang membenarkan himpunan raksaksa dengan kerjasama Polis dan berlangsung dengan aman.

"Cuba kita lihat negara jiran kita, Indonesia baru-baru ini meraikan hari buruh, beratus ribu rakyat mereka turun tapi tiada insiden berlaku kerana polis mengawal keadaan dan jalan raya.

"Ancaman huru-hara dibuat oleh pihak polis sendiri dan bukan kami yang tak bersenjata," kata beliau.

No comments: