Tuesday, January 14, 2014

SPRM perlu siasat 30 pegawai kastam terlibat rasuah -Shamsul

SPRM perlu siasat 30 pegawai kastam terlibat rasuah -Shamsul

KUALA LUMPUR 13 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat tindakan pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang memberikan maklumat kepada sindiket penyeludupan warga asing di negara ini.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan tata tertib sahaja tidak memadai kerana kes itu melibatkan kegiatan rasuah, malah suatu pengkhianatan dan ancaman kepada negara.

“SPRM tidak boleh mendiamkan diri kerana isu ini tentunya memberi kesan kepada keselamatan dan memudaratkan negara,” ujarnya menambah penjualan maklumat kepada sindiket seumpama itu boleh berlaku dalam agensi kerajaan yang lain.
Pada 10 Januari lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan seramai 30 kakitangan dan pegawai kanan JKDM didapati bersalah kerana membocorkan rahsia kepada sindiket penyeludupan warga asing sepanjang tahun lalu, walaupun Unit Siasatan Khas ditubuhkan untuk mengelakkan kejadian tersebut.

Mengikut kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Matrang Suhaili, mereka yang didapati bersalah dikenakan tindakan seperti dipindakan ke cawangan di Johor, Selangor, Kelantan dan Pahang.
November lalu, beberapa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) disiasat atas tuduhan menerima sogokan daripada sindiket yang menyeludup warga asing menggunakan dokumen palsu.

Menurut Timbalan Menteri dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, setiap pegawai Imigresen yang ditangkap November lalu disogok sekurang-kurangnya RM10,000 bagi setiap warga asing.

Mengulas lanjut, Shamsul turut mengaitkan kes jenayah membabitkan warga asing seperti kes pembunuhan pegawai Ambank oleh pengawal keselamatan warga Indonesia, Ardi Hamza beberapa bulan lalu.
Dalam kes itu, penjenayah berkenaan memperolehi kad pengenalan melalui sindiket pemalsuan MyKad.
Susulan daripada itu, pada November lalu, seramai 20 warga Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut ditahan kerana memiliki MyKad palsu.

Justeru, Shamsul meminta siasatan menyeluruh dilakukan SPRM termasuk menubuhkan sebuah pasukan khas yang turut membabitkan pasukan polis. Manakala satu kertas putih juga perlu dibentangkan daripada hasil laporan berkenaan ke parlimen.

“SPRM tidak perlu menunggu laporan dibuat kerana ini satu perkara yang cukup serius. Kemungkinan sendikit ini didalangi pegawai kastam sendiri kerana jumlah mereka yang terlibat terlalu besar,” ujarnya mengaitkan sendikit jenayah dengan pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim, di Putrajaya tahun lalu.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers