kes-demam-denggi-kematian-meningkat-di-seluruh-negara

Jumlah kes demam denggi dan kematian akibat jangkitan itu di seluruh negara sejak Januari hingga 9 November tahun lalu mencatat peningkatan, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata sejumlah 31,170 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 67 peratus daripada 18,679 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kematian akibat jangkitan itu meningkat kepada 63 kematian berbanding 32 kematian iaitu peningkatan sebanyak 97 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

"Di mana serotype dominan DEN 3 pada akhir tahun 2012 dan Januari 2013 bertukar kepada jenis serotype DEN 2 pada tahun ini. Pertukaran serotype adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes dan kematian," katanya.

Lokman berkata, 412 lokaliti berwabak denggi dipantau di seluruh negara setakat ini, dengan 79 lokaliti kawasan panas dikenal pasti melibatkan hanya di Selangor.

"Lokaliti kawasan panas ini berlaku di empat daerah di negeri Selangor iaitu 38 lokaliti di daerah Petaling, 30 lokaliti di daerah Hulu Langat, sembilan lokaliti di daerah Gombak dan dua lokaliti di daerah Sepang," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 3 hingga 9 November lalu (minggu ke-45), sejumlah 1,416 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

"Perlis meningkat sebanyak lima kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (34 kes), Negeri Sembilan (enam kes), Sarawak (tiga kes), Terengganu (dua kes), Kedah (satu kes) dan Johor sebanyak lima kes," katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan agar memastikan tiada bekas atau tempat yang berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes berada di kawasan kediaman sempena cuti persekolahan yang akan bermula.

"Langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil bagi mengelak jangkitan denggi seperti menggunakan bahan penghalau nyamuk pada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk.

"Terutama pada waktu nyamuk aktif menggigit pada awal pagi dan lewat petang," katanya. - Bernama

No comments: