Pakar : Integriti Spesimen DNA Meragukan



KUALA LUMPUR 23 OGOS: Pakar forensik dan patalogis Australia, Dr David Wells menyifatkan integriti spesimen yang diambil daripada pengadu Saiful Bukhari Azlan dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat kritikal.

Hal ini jelasnya kerana, sampel DNA yang sudah diletakkan di dalam balang kedap udara hendaklah diserahkan kepada jabatan kimia serta merta ataupun disimpan di dalam peti sejuk.

Tiada mana-mana pihak baik polis dibenarkan untuk membuka dan menandakan spesimen DNA tersebut tanpa pemantauan daripada ahli kimia, ujar beliau lagi.

Pegawai penyiasat (IO) DSP Jude Blacious Periera dalam kenyataannya kepada mahkamah sebelum ini mengakui bahawa beliau memotong bahagian luar plastik spesimen DNA untuk tujuan penandaan.

Malah Jude turut memberitahu bahawa beliau menyimpan spesimen tersebut di dalam almari tidak berhawa dingin lebih daripada 40 jam.

"Saya rasa polis itu sepatutnya cari kerja lain. Integriti spesimen amat penting. Beliau (Jude) sepatutnya memaklumkan kepada makmal," kata David ketika disoal peguam Sankara Nair.

David menyifatkan sekiranya bekas menyimpan spesimen telah terdedah kepada udara maka kualiti DNA tersebut tidak mampu bertahan.

Sankara kemudian bertanya pendapat pakar forensik itu tentang laporan perubatan dan borang 'proforma' yang dijadikan rujukan mahkamah.

"Saya perlu akui sejarah, proforma, laporan, saya tidak yakin mereka (doktor) tahu apa yang mereka buat.

"Anda boleh bayangkan orang ini kurang pengalaman dan mungkin baru," kata beliau sebelum mengakhiri sesi memberi keterangan.

Dalam pada Sankara yang ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, pasukan peguambela hari ini berjaya menimbulkan kesangsian tentang cara pengendalian sampel DNA yang diambil oleh doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke atas Saiful.

Katanya Jude sendiri telah melanggar prosedur analisis kimia dengan memotong bekas plastik yang mengandungi sampel DNA pengadu.

"Pakar mengatakan IO telah potong beg. Ini memberi peluang kepada kontaminasi dan perkara ini memang berlaku. Kononya untuk buat penandaan baru dan pakar cakap prosedur ini tidak betul. Itu menujukkan kejayaan pihak pembela hari ini," kata beliau.

No comments: