Menuju PRU-13: Mengukuhkan demokrasi di Malaysia ― Amin Ahmad
January 09, 2013
9 JAN ― Tirai 2013 bermula. Ini bermaksud tempoh lima tahun
sejak pilihan raya umum ke-12 diadakan pada tahun 2008 telah hampir
berakhir. Sebenarnya perbualan tentang pilihan raya semakin kedengaran
sejak tahun lalu kerana jarang pihak kerajaan menunggu sehingga ke saat
akhir untuk membubarkan Dewan Rakyat.
Latar belakang falsafah dan sejarah
Minat orang ramai terhadap pilihan raya umum ke-13 ini tentulah
positif. Kita perlu sedar demokrasi bermaksud “pemerintahan daripada
rakyat”, bermaksud sumber keabsahan pemerintahan sesuatu kerajaan mesti
didapatkan daripada mereka yang diperintah. Sejak dahulu slogan
“pemerintahan daripada rakyat” ini telah diterjemahkan kepada banyak
kaedah menaik dan menurunkan pemimpin atau sesebuah kerajaan.
Meskipun idea demokrasi dikaitkan dengan banyak pandangan tokoh sejak
zaman Yunani dan Rom, amalan mengundi seperti zaman moden (undi rahsia
yang dimasukkan ke dalam peti undi) hanyalah bermula pada lewat abad
ke-18 di Perancis. Sejak itu ia berkembang dan kemudiannya diterima luas
sebagai cara praktikal untuk menentukan siapa yang akan melaksanakan
kuasa politik dalam negara dan tentunya kepada seluruh penduduk bagi
kawasan yang ditadbir.
Kini pilihan raya dianggap sebagai satu ciri khusus untuk menentukan
sama ada sesebuah negara itu mengamalkan demokrasi atau tidak dan
pilihan raya dibuat secara berkala untuk membolehkan ada kawalan rakyat
terhadap pemerintah.
Semangat di sebalik proses pilihan raya
Adalah penting untuk kita sedar bahawa proses pilihan raya bukan
sahaja soal teknikal dan praktikal. Di sebalik pilihan raya ada beberapa
tema utama yang penting untuk difahami.
Pertama, semua warga yang layak berhak menawarkan khidmat untuk
merangka dan menggubal dasar. Justeru, tidak wajar ada kempen yang
membayangkan peralihan kuasa itu bahaya. Sekiranya ada bahaya tertentu
yang mungkin ditawarkan oleh calon atau parti, ia bukanlah prinsip teras
tetapi aturan kedua masalah (second order problem).
Kedua, semua warga yang layak, terlepas apa pun kelayakan akademik
atau pencapaian kerjayanya, mempunyai kuasa undi yang sama untuk memilih
wakil rakyat atau parti bagi mentadbir negara. Ini adalah pengakuan
penting bahawa isu keperihatinan setiap individu adalah berbeza,
meskipun pasti ada isu-isu yang menjadi keperihatinan bersama.
Berdasarkan ciri yang sama dan berbeza ini, setiap wakil rakyat yang
dipilih diharap dapat mewakili kepelbagaian pendapat untuk kepentingan
bersama. Ia juga menjelaskan bahawa cukup sukar untuk semua tuntutan
yang berbeza ini dapat dipenuhi oleh wakil rakyat. Meskipun sebuah
kerajaan akan lazimnya dibentuk oleh majoriti, seharusnya ciri ini
membolehkan kepentingan kumpulan minoriti dapat disuarakan, bukan
ditekan.
Sikap demokratik
Sistem demokrasi tidak dapat subur tanpa sikap demokratik pemimpin
dan rakyat sesebuah negara. Seorang demokrat mesti berani mengiktiraf
bahawa majoriti tidak selalunya benar dan minoriti tidak semestinya
sentiasa salah. Pengiktirafan ini mesti ditunjukkan dengan sikap lapang
dada terhadap pandangan berbeza.
Pandangan berbeza ini seharusnya boleh dikesan dalam media massa dan
banyak wacana awam. Kebebasan maklumat adalah cara terbaik untuk memberi
peluang kepada orang ramai menimbang hujah secara saksama dan membuat
pilihan. Ini juga secara tidak langsung “memaksa” pihak yang mahu
menawarkan khidmat bersedia dengan pemikiran dan hujah yang bernas.
Bukankah mereka akan berbahas di Dewan mewakili rakyat jika dipilih?
Proses pilihan raya
Jelas, demokrasi dan pilihan raya tidak terhad kepada soal mengundi
dan hari pengundian sahaja. Maka tidak hairanlah sejumlah persoalan
ditimbulkan oleh beberapa pihak berkaitan proses pilihan raya. Ini mesti
diraikan. Ia adalah petunjuk bahawa ramai yang menghargai kepentingan
pilihan raya. Cuma sayangnya persoalan yang timbul kadangkala bertukar
menjadi konflik dan merumitkan proses rundingan.
Untuk menghuraikan kekusutan ini, banyak hal-hal berkaitan pilihan
raya perlu dibincangkan secara terbuka. Saya percaya berbanding
menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata dalam semua hal,
eloklah dilihat dengan teliti apakah peranan yang boleh dimainkan oleh
semua pihak. Ini tidak bermaksud SPR tidak boleh disoal, tetapi
seharusnya bukan SPR sahaja.
Kita mesti mengangkat persoalan pilihan raya sebagai kesedaran
kolektif semua pihak. Jika persoalan yang ingin diubah melibatkan
undang-undang, maka pihak yang perlu didesak mengubahnya ialah para
wakil rakyat. Jika yang mahu diubah ialah berkaitan maklumat media, maka
pihak media yang perlu didesak. Jika ada kelemahan tertentu berpunca
daripada parti politik, maka parti politik mesti melatih petugasnya
melakukan apa yang sepatutnya. Sekiranya ada jentera kerajaan digunakan
secara salah, maka bahagian perkhidmatan awam mesti didesak untuk tidak
membenarkan jentera kerajaan disalahgunakan. Tentunya, sekiranya ada
kelemahan di pihak SPR, pihak SPR perlu didesak untuk memperbaikinya.
Banyak lagi perkara boleh ditambah baik dan ini perlu dibincangkan
secara terbuka.
Ia tidak mudah. Memang ada sebahagian perkara berada di jalur kelabu –
sukar ditentukan secara pasti benar dan salahnya. Namun masalah tetap
perlu diuruskan. Bagi pihak IDEAS, organisasi yang diumum akan dilantik
sebagai badan pemerhati dalam PRU-13, saya akan cuba menulis beberapa
artikel berkaitan pilihan raya untuk berkongsi dan berbincang dengan
khalayak ramai.
Semoga kita dapat menjayakan proses pilihan raya akan datang dengan penuh semangat demokrasi.
* Amin Ahmad ialah pengurus projek dan operasi di IDEAS