Ezam cabar Dr M di Langkawi- Ezam tahu banyak rahsia Mahathir

 

Ezam cabar Dr M di Langkawi





Ezam Mohd Nor dijangka menentang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi pada PRU15.

PETALING JAYA: Ezam Mohd Nor, bekas setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka menentang Dr Mahathir Mohamad di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.

Beliau akan bertanding sebagai calon bebas atau calon bagi mana-mana parti yang sudi memberikan laluan kepadanya, menurut Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak).

Setiausaha Agung Gerak, Syed Putra Syed Isa, berkata keputusan itu hasil desakan pelbagai pihak terhadap kumpulan berkenaan untuk meletakkan calon menentang Mahathir di Langkawi.

“Mahathir masih lagi merupakan ancaman utama kepada proses reformasi dalam negara ini dan menjadi tanggungjawab Gerak Malaysia meletakkan saingan yang serius pada kali ini atau dalam PRU15,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dipilih sebagai Ahli Parlimen Langkawi dalam PRU14 pada 2018. Beliau mengalahkan calon Umno Nawawi Ahmad dan PAS Zubir Ahmad dengan majoriti 8,893 undi.

Beliau kini pengerusi Pejuang selepas meninggalkan Bersatu pada 2020.

Ezam yang juga pengerusi Gerak bersetuju dengan keputusan kumpulan itu meletakkannya bertanding menentang bekas perdana menteri tersebut.

Keputusan untuk bertanding di Langkawi itu turut disahkan sendiri oleh beliau kepada FMT.

Syed Putra berkata, semua jentera pilihan raya Gerak terutama di Kedah sudah diarahkan membuat persiapan segera.

Katanya, Ezam dijangka membuat pengumuman mengenai keputusan itu ketika pelancaran sukarelawan Gerak, esok.

Ezam sebelum ini merupakan ketua Pemuda PKR dari 1999 hingga 2005. Beliau kemudian meninggalkan parti itu pada 2008 dan menyertai Umno.

Beliau pernah berkata akan berdepan Naib Presiden PKR Amirudin Shari di DUN Sungai Tua jika menteri besar Selangor itu dicalonkan bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Ezam turut mendesak Amirudin dan lapan lagi ADUN PKR Selangor untuk tidak bertanding pada PRU disebabkan hubungan mereka dengan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

No comments: