SELARI DENGAN AMARAN ZAHID HAMIDI DI HIMPUNAN MIC, MEMBEBASKAN NAJIB SEPATUTNYA JADI MANIFESTO UTAMA BN

 

Walaupun berada di penjara dan berstatus banduan, UMNO Bahagian Pekan dilaporkan masih meletakkan nama Najib Razak sebagai calon dalam PRU15 akan datang.

Najib disenaraikan bersama empat yang lain untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan.

Keputusan UMNO Bahagian Pekan yang dianggap pelik itu lantas membuatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyindir agar mereka diberikan sesalinan buku Perlembagaan Negara ini.

“Peguam UMNO juga seharusnya memberi nasihat kepada UMNO Bahagian Pekan,” tambah Anwar lagi.

Namun demikian, di sebalik itu diberitakan isu untuk membebaskan Najib tidak akan diletakkan sebagai sebahagian daripada manifesto BN dalam PRU15 kali ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dipetik sebagai berkata, perkara itu tidak pernah menjadi perbincangan dalam BN.

Katanya, BN tidak akan meniru seperti apa yang pernah dilakukan PH dalam PRU14 lalu yang menjadikan pembebasan Anwar sebagai antara manifestonya.

Lalu, di mana sebenarnya pembelaan UMNO dan BN terhadap pemenjaraan Najib?

Bukankah sebelum ini UMNO dilaporkan begitu sedih dan kecewa dengan nasib yang menimpa bekas Perdana Menteri itu?

Kalau sedih dan kecewa, kenapa tidak dibela?

Habis, untuk apa UMNO dan BN menang PRU15 nanti?

Sepatutnya, jika UMNO dan BN benar-benar sedih dan kecewa dengan pemenjaraan Najib yang kononnya dicampuri banyak elemen ketidakadilan, membebaskan bekas Presiden UMNO itu mesti menjadi antara agenda utama dalam manifesto yang akan dibentangkan kepada rakyat.

Lagi pun, menjadikan pembebasan Najib sebagai manifesto adalah selari dengan ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini yang menekankan bahawa BN mesti menang dalam PRU15 akan datang untuk mengelakkan pemimpin-pemimpin BN daripada didakwa didakwa di mahkamah.

“Kalau BN kalah dalam PRU15 nanti, nasib kita akan jadi lebih buruk daripada PRU14 lalu.

“Bukan saja saya, Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO), Tan Sri Vicky (Presiden MIC), Saravanan (Timbalan Presiden MIC), Wee Ka Siong (Presiden MCA), Hishammuddin – semuanya dalam senarai untuk didakwa,” demikian antara amaran Zahid Hamidi.

Untuk itu, Zahid Hamidi yang masih berdepan 47 kes perbicaraan di mahkamah memberi amaran, BN tiada pilihan lain melainkan mesti menang dalam PRU15 nanti.

Tetapi, kenapa dengan kemenangan dominan BN yang begitu diharap-harapkan itu, hanya nama-nama tersebut saja yang ingin dibela?

Mengapa Najib diketepikan?

Bukankah kesalahan Najib juga berkaitan rasuah dan pecah amanah, sama dengan kebimbangan Zahid Hamidi terhadap kemungkinan pendakwaan dikenakan kepada nama-nama yang disebutnya itu?

Ini sudah tidak adil!!

Ataukah ini membayangkan jika selepas BN menang nanti, Najib akan terus dibiarkan berada lebih lama dalam penjara supaya yang berkuasa di luar tidak tergugat kuasa mereka? – ShahbudinHusin 14/10/2022.