Ringgit dekati RM4.70, bursa jatuh empat hari berturut-turut



Ringgit menghampiri nilai terendah RM4.70 bagi satu dolar Amerika pada 13 Oktober 2022, manakala bursa saham pula merosot empat hari berturut-turut.

Nilai ringgit hari ini (13 Oktober 2022) jatuh kepada RM4.691 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS), manakala pasaran saham di Bursa Malaysia pula terus merosot untuk empat hari berturut-turut.

Berbanding RM4.682 ketika ditutup semalam, nilai ringgit meneruskan aliran penyusutannya menghampiri paras RM4.70 bagi setiap satu dolar AS.

Keadaan itu menyusul laporan pengukuhan dolar AS setelah laporan kinit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang memaparkan kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi bagi menurunkan paras inflasi.

Selain ringgit, beberapa nilai mata wang Asia juga dilaporkan bergerak dalam jajaran kecil menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi September yang dijangka menunjukkan inflasi negara itu.

Nilai ringgit juga dilaporkan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang lain, termasuk pound Britain, euro dan dolar Singapura.

Sementara itu, indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia pula mencecah paras terendah baharu tahun ini apabila pelabur menjual saham, susulan ketidak tentuan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Ketika ditutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.21 mata, atau 0.52 peratus kepada 1,373.36 berbanding 1,380.57 pada Rabu.

Keseluruhannya kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 521 berbanding 321; 353 kaunter tidak berubah; 1,151 tidak diniagakan; dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.03 bilion unit bernilai RM1.69 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM1.56 bilion pada Rabu.

No comments: