Hakikat yang barangkali tidak disedari atau sengaja diabaikan oleh ramai orang UMNO ialah Ismail Sabri Yaakob sebenarnya telah pun diputuskan sebagai “poster boy” BN untuk menghadapi PRU15 akan datang.
Pemilihannya diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat MT UMNO 14 April lalu.
Dengan kedudukan itu, beliau umpama model iklan bagi produk BN yang akan ditawarkan kepada rakyat untuk dipilih sebagai kerajaan.
Berdasarkan hakikat itu dan pemilihan Ismail Sabri sebagai “poster boy” merupakan keputusan yang diputuskan oleh MT UMNO sendiri, beliau bukan saja wajib disokong dan dilindungi oleh ahli-ahli UMNO, malah tidak harus dikecam secara terbuka.
Apabila kecaman dilakukan secara terbuka sepertimana dilakukan oleh Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed, ia sedikit sebanyak akan menghakis kepercayaan rakyat serta menipiskan peluang BN untuk menang PRU15 akan datang.
Kalau pesaing mengecam model iklan yang dipilih oleh sesebuah syarikat, ia mungkin suatu perbuatan yang dianggap normal dan boleh diterima.
Tetapi, adalah luar biasa jika salah seorang pengurus sesebuah syarikat mengecam dan memperlekeh model iklan yang telah diputuskan oleh syarikatnya sendiri.
Sebarang rasa tidak puas hati terhadap Ismail Sabri selaku “poster boy” BN hendaklah dilakukan secara tertutup dan mengikut saluran yang betul.
Membuat kecaman dan perlekehan secara terbuka seolah-olah memberi kelebihan kepada pihak lawan dan tidak mahu BN menang.
Lebih-lebih lagi kecaman dan perlekehan Nur Jazlan dengan menyifatkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara adalah suatu tuduhan serius yang memberi gambaran Naib Presiden UMNO itu tidak layak serta tidak harus dipilih lagi menerajui negara.
Tidakkah dengan itu ia juga bermaksud tidak mahu BN mencapai kemenangan?
Apakah Nur Jazlan memang tidak mahu BN menang?
Walaupun beliau mungkin berasakan perkara yang ingin dikecamnya adalah betul, Nur Jazlan tetap bersalah kerana membuat kecaman secara terbuka.
Sekarang adalah fasa berperang dan mahu beroleh kemenangan, kenapa dedahkan kelemahan dan memperlekeh “poster boy” parti sendiri?
Kalau orang parti sendiri menempelak “poster boy” sebagai Perdana Menteri paling lemah, adakah rakyat biasa dan pengundi atas pagar masih mahu mengundi BN?
Berkaitan hal ini, oleh kerana semalam Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi telah memecat Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli MT atas kesalahan yang dikatakan melakukan sesuatu yang melanggar keputusan parti, bagaimana pula dengan Nur Jazlan atas kecamannya yang dilakukan secara terbuka terhadap Ismail Sabri?
Tidakkah mengecam dan memperlekeh secara terbuka “poster boy” yang diputuskan oleh MT UMNO turut merupakan suatu perbuatan yang boleh dianggap melanggar disiplin parti?
Sediakah Zahid Hamidi memecat Nur Jazlan sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor? – ShahbudinHusin 25/06/2022.