Tribut untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)
1. Menyorot sejarah sejak era 70-an, ketika mana anak muda
sangat terpengaruh dengan perubahan kerajaan yang berlaku di Pakistan dan
Mesir, dan ketika berlakunya revolusi Iran, dikatakan kebanyakan anak cenderung
untuk mempunyai kefahaman yang sifatnya lebih ‘radikal’ terhadap Islam yang
akhirnya apabila pulang ke Malaysia, mewujudkan kumpulan seperti Islamic
Representative Council (IRC), Suara Islam dan kebanyakan mereka menyertai Parti
Islam Se-Malaysia (PAS) dalam usaha politik perjuangan mereka.
2. Walaupun arus begitu kuat untuk proses Islamisasi berlaku di
seluruh dunia Islam, DSAI dan rakan-rakannya dalam ABIM begitu pragmatik dalam
menetapkan pendirian dan sikap mereka dalam konteks ini. Mereka berpendirian
bahawa Islamisasi perlu berlaku secara ‘bottom-up’, dan bukan sekadar mencedok
model Iran, model Pakistan, atau model-model luar yang barangkali tidak cocok
dengan keperluan Malaysia.
3. Pendekatan DSAI dan rakan-rakan berteraskan kepada ijtihad,
bukan secara taklid dalam tradisi usrah yang memerlukan perbincangan dan
diskusi dan analisis kritikal; justeru memaksakan bacaan luas daripada pelbagai
perspektif, sama ada dunia Islam, dunia timur dan barat. DSAI dan rakan-rakan
lebih cenderung untuk mengutamakan usaha pelaksanaan aspek kesejagatan Islam yang
menyeru ke arah kebaikan seperti keadilan, berbanding sikap keterlaluan dalam
mengutamakan pelaksanaan aspek perundangan.
4. Sikap pragmatik sebegini sebenarnya sangat tidak popular
terutama pada akhir 70-an. Malah, dalam kalangan ahli ABIM sendiri, prinsip
keterbukaan ini diamalkan, yang akhirnya menjadikan ahli-ahli ABIM sendiri
banyak yang mengambil pendirian, sama ada menyertai PAS, dan ada yang mengikuti
DSAI yang memilih untuk menyertai parti UMNO pada 1982 pada usia pertengahan
30-an. Namun, sudah tentu, ada yang memilih untuk kekal untuk tidak menyertai
mana-mana parti politik. Prinsipnya, ‘berdakwah di jalur politik; berpolitik di
jalur dakwah’; suatu prinsip yang diperkenalkan Pak Natsir, mantan PM
Indonesia, yang juga pengasas pergerakan Mahsyumi, Indonesia yang sangat
berpengaruh dalam gerakan Islam nusantara pada masa itu.
5. Apabila DSAI dan rakan-rakan ABIM menyertai UMNO yang pada
ketika itu dipimpin TDM sebagai PM, DSAI menyatakan bahawa TDM pada ketika itu,
bercakap soal reformasi, menentang rasuah, membasmi kemiskinan dan sepertinya
yang mana merupakan suatu tarikan dan selari kepada agenda perubahan yang dibawanya
dalam gerakan PKPIM dan ABIM; dan sebagai anak muda yang punya idealisme Islam
yang mana membawa teras ‘Islam sebagai Cara Hidup’ sejak dalam gerakan
kebeliaan lagi, DSAI lantas bangkit dan meneruskan perjuangan itu dalam
kerajaan.
6. Inovasi yang dibawa DSAI dalam kerajaan seterusnya
menjelaskan lagi sikap ini, seperti penubuhan Bank Islam, Takaful Islam,
Universiti Islam, Amanah Ikhtiar, Sistem Pendidikan Islamik (Bersepadu),
penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan dan masyarakat dan sebagainya; Suatu
inovasi ummatik yang tidak pernah berlaku sebelum itu, malah dilihat mustahil
oleh sebuah kerajaan pimpinan parti yang dilihat sebagai sekular, ekstrem
melayu, berorientasikan barat, dan sepertinya.
7. Jelas sekali, DSAI ialah suntikan darah muda yang diperlukan
parti itu untuk melakukan pembaharuan kepada negara; Dan itulah suatu hal yang
sangat ketandusan dalam parti pemerintah sekarang ini; sehingga hari ini.
8. Dalam pidatonya di Forum Demokrat Muslim Sedunia ke-3, DSAI
menyatakan, “Saya berpegang dengan saranan terus terang bahawa demokrasi adalah
perintah moral terkandung di dalam definisi seorang Muslim. Orang Islam diseru
sebagai individu-individu agar menerima tanggungjawab berpartisipasi di dalam
masyarakat untuk menegakkan kehormatan manusiawi dan bekerja membasmi
kemiskinan, kemelaratan dan wabak penyakit."
9. Katanya lagi, "Orang Islam berkewajipan melaksanakan
syura, bermusyawarah, menjalankan perundingan bersama bagi mendapat perkenan
khalayak ramai dan untuk memastikan mereka yang berada di tampuk kuasa
mempunyai akauntabiliti kepada pentadbiran dan penyampaian tata kelola
baik."
10. Seterusnya, beliau menegaskan, "Menjadi seorang Muslim
bermakna berjuang menegakkan prinsip akhlak dan standard etika mencangkupi
seluruh ruang lingkup aktiviti manusia sama ada muamalah ekonomi sehingga
kepada memelihara alam sekitar. Bagi mencapai matlamat moral melalui cara
beretika, orang Islam dikehendaki bekerjasama dengan sesiapa sahaja tanpa
mengira asal usul atau kepercayaan.”
11. Dalam satu ketika, DSAI juga berkata“…Saya tidak menyesali
jalan yang ditempuhi kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan
menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang
lingkup inilah saya akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan
seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih
tinggi."
12. Selari dengan mutiara kata Pak Natsir, “Pemimpin tidak lahir
di bilik-bilik kuliah, tetapi mereka lahir di tengah kancah masalah di tengah
masyarakat; Lahir daripada permasalahan umat, mereka menonjol dalam kalangan
rakan seangkatan seterusnya diangkat dan dijulang oleh umat”.
13. Maka, yakinlah jalan memperjuangkan kemaslahatan umat,
merupakan jalan yang berliku. Itu merupakan sunnah para nabawi. Jika jalannya
mudah, kita mungkin perlu lihat semula, adakah jalan yang kita lalui ini, jalan
yang betul? Jalan yang diredhai Tuhan?
Terima kasih DSAI.
Radin Muhd Imaduddin
Naib Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim Pusat)