UMNO ‘DIBUNUH’ OLEH PEMIMPINNYA SENDIRI?

 

Ternampak sekarang ini Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sedang ditekan oleh UMNO dan Bersatu atas kepentingan yang berbeza dalam isu berkaitan Zuraida Kamaruddin.

Hanya kerana Zuraida keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia, jawatan menterinya kini seolah-olah menjadi rebutan antara UMNO dengan Bersatu.

Begitu pun, sama ada Zuraida akan meletak jawatan atau terus dikekalkan dalam kabinet hanya akan diputuskan setelah beliau berbincang dengan Ismail Sabri terlebih dahulu.

Sementara Bersatu menuntut jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dikembalikan kepada mereka atas alasan perlantikan Zuraida dahulu adalah atas kouta Bersatu, tetapi UMNO pula berkehendakan sebaliknya.

Bagi UMNO, mereka bukan saja mahu Ismail Sabri menggunakan haknya melantik sesiapa saja yang dikehendakinya mengisi tempat Zuraida, malah juga sangat berharap agar jawatan itu diberikan kepada pemimpin UMNO untuk mengisinya.

Alasannya, Mahiaddin Md Yasin dulu pun kata mereka, melantik sesiapa yang dikehendakinya sebagai menteri tanpa berbincang atau menghormati hireaki seseorang itu dalam UMNO.

Lebih buruk, oleh kerana isu Zuraida itu telah berlarutan hampir sebulan tanpa penyelesaian, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed lantas menempelak Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.

Soalnya, kalau Ismail Sabri dianggap paling lemah, UMNO mahu siapa lagi sebagai Perdana Menteri?

Adakah beliau mahu Zahid Hamidi atau Najib Razak yang masih ada kes mahkamah sebagai Perdana Menteri?

Apa pun, serangan terbuka UMNO kepada pemimpinnya sendiri yang menjadi Perdana Menteri dengan jelas memperlihatkan parti itu ada agenda lain yang belum terpenuh keinginannya.

Kalau sebelum ini mereka menyerang Mahiaddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri, ia mungkin boleh difahami kerana beliau adalah pemimpin Bersatu, namun nampaknya setelah jawatan Perdana Menteri dipegang oleh UMNO pun, serangan terbuka tetap berterusan juga.

Keinginan UMNO melalui tindakan menekan Ismail Sabri agar tidak melayan kehendak Bersatu dan melantik sesiapa saja yang dikehendakinya untuk menggantikan Zuraida, malah kalau boleh memberikannya kepada pemimpin parti itu, tujuannya tidak lain ialah dengan harapan agar Parlimen akan terbubar akhirnya.

UMNO memang mahu Bersatu menarik sokongan terhadap Ismail Sabri jika beliau bertindak tidak melayan kehendak parti itu meletakkan pemimpinnya menggantikan tempat Zuraida dan apabila ia berlaku, pilihan yang diharapkan ialah Parlimen akan dibubarkan.

Tetapi, adakah Ismail Sabri semudah itu memenuhi kehendak UMNO dan mengenepikan kouta Bersatu, sedangkan beliau tahu kerajaannya adalah dibentuk melalui sokongan pelbagai parti?

Yang nyata, dengan melabelkan Perdana Menterinya sendiri sebagai paling lemah dan berbalah secara terbuka dengan pemimpin UMNO yang mempertahankan Ismail Sabri, apa yang mahu parti itu tunjukkan kepada rakyat?

Bolehkah rakyat yakin parti yang berbalah sesama sendiri dan menyerang Perdana Menteri daripada partinya sendiri untuk dipilih menjadi kerajaan?

Seburuk-buruk gambaran diberikan kepada Bersatu dan ia sering dikata mahu “membunuh” UMNO, tetapi tidak pula ada pemimpinnya pernah sampai hati melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara?

Siapa sebenarnya mahu “membunuh” UMNO – Bersatu atau pemimpin UMNO sendiri? – ShahbudinHusin 24/06/2022.



No comments: