Pilihan raya lebih penting daripada sekolah?


Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Saya merujuk laporan berita bertajuk “Snap polls likely if political uncertainty stays, says Najib” bertarikh 3 Jun 2020 di mana beliau mencadangkan “Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya mula merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya”.
Ketika sekolah masih belum lagi dibuka, kedai gunting rambut hilang pendapatan selama tiga bulan dan sebahagian rakyat diberhentikan kerja, pemimpin UMNO ini hanya sibuk mencadangkan untuk diadakan pilihan raya. 
Beliau malah sampai peringkat mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan SPR untuk segera merangka SOP untuk menghadapi pilihan raya.
Anak-anak di seluruh negara masih belum dapat kembali ke sekolah dan menyebabkan ibu bapa terpaksa menjaga mereka di rumah. Walaupun sektor perniagaan (tidak semuanya) telah dibenarkan beroperasi, namun realitinya ramai antara mereka masih bergelut untuk terus bertahan. [Bernama melaporkan pada 3 Jun 2020 bahawa berikutan pandemik Covid-19, kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini (Q1 2020), menurut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)].
Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal apabila cadangan seperti itu datang daripada seorang Najib Razak. 
Sekiranya ada keperluan untuk meyakinkan rakyat bahawa UMNO-Perikatan Nasional (PN) hanya mahu merebut kuasa dan jawatan dalam GLC, ingatlah cadangan di atas. 
Ini adalah bukti paling jelas betapa Najib telah meletakkan kepentingan politiknya mengatasi kepentingan negara. Perdana Menteri perlu menasihatkan ahli parlimennya supaya berhenti meruntuhkan pemerintahan majoriti tipisnya. 


No comments: