Cakap pemimpin Pas hanya sedap didengar, pahit bila ditelan, dakwa Adun

Cakap pemimpin Pas hanya sedap didengar, pahit bila ditelan, dakwa Adun
"Dahulu Pas mengangkat agenda negara berkebajikan tetapi tidak mengotakannya (walk the talk). Dahulu Pas juga kuat berkempen untuk Buy Muslim First (BMF), tetapi bila memerintah tidak menjadikan kempen ini agenda pentadbiran," dakwa Faiz.

Pas sekarang tidak boleh diharap untuk mentadbir dengan baik tetapi cakap pemimpin mereka hanya sedap didengar, tetapi pahit bila ditelan, dakwa anak bekas presidennya, Faiz Fadzil.
Bagi beliau, Pas tidak kompeten untuk mentadbir negeri-negeri kerana tidak meletakkan agenda kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri agenda utama pentadbiran.
Ini adalah kerana banyak lagi masalah rakyat di kedua-dua negeri tidak diberikan perhatian serius.
“Sebagai contoh di kelantan, rakyat Kelantan sudah berpuluh tahun berhadapan masalah air bersih dan sistem bekalan air yang baik gagal diselesaikan sehingga sekarang.
“Walaupun dengan bantuan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM400 juta, namun apa yang menjadi keutamaan kerajaan Pas adalah membeli 14 buah mercedes bagi MB dan Exconya yang bukan keutamaan.
“Ketika kerajaan persekutuan dan negeri lain menggunakan jenis kereta yang lebih murah seperti Proton Perdana atau Toyota Camry, mereka memilih Mercedes.
“Ini menunjukkan Pas tidak prihatin kepada kebajikan rakyat tetapi keselesaan diri sendiri,” katanya.
Perkara ini berlaku ketika Kelantan adalah negeri paling miskin di mana statistik kemiskinan di Kelantan setakat Julai 2019 menunjukkan terdapat 6210 miskin tegar dan 31217 miskin.
Sebagai kerajaan, katanya, menyelesaikan masalah kemiskinan perlu dijadikan agenda utama.
“Berbanding Pulau Pinang, banyak program pembasmian kemiskinan dilaksanakan seperi AES dan bantuan wang tunai kepada warga emas dan ibu tunggal,” dakwa Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang itu.
Katanya, Pas juga hanya pandai mengkritik, tetapi tidak mengotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
“Dahulu Pas mengangkat agenda negara berkebajikan tetapi tidak mengotakannya (walk the talk). Dahulu Pas juga kuat berkempen untuk Buy Muslim First (BMF), tetapi bila memerintah tidak menjadikan kempen ini agenda pentadbiran.
“Pembelian Mercedes tidak menyokong kempen BMF,” katanya.
Pas juga, katanya, gagal mencari idea yang tuntas dalam mencari pelaburan yang tinggi sebagaimana yang berlaku dalam negeri Kelantan dan Kedah.
“Mereka banyak bergantung kepada balak dan tiada model ekonomi yang baik untuk menjana ekonomi negeri dan pendapatan rakyat.
“Mereka tidak sensitif dengan isu alam sekitar dan sanggup membiarkan kerosakan kepada ekosistem alam walaupun tahu Allah melarang manusia melakukan kerosakan kepada muka bumi,” katanya lagi.
Bagi beliau, pembalakan adalah isu penting yang perlu diberhentikan prosesnya kerana ia menyebabkan kawasan bukit digondol yang boleh menyebabkan banjir besar berlaku.
“Kesusahan rakyat tidak dipentingkan, apa yang penting komisyen-komisyen yang akan diterima daripada konsensi balak.
“Baru seminggu jadi MB, kerajaan Pas Kedah terus mengishtiharkan penyelesaian dengan tuntutan pembalak dengan pemberian konsensi balak sedangkan jumlah tuntutan masih belum dibuktikan seolah-olah Pas tunduk kepada tauke, bukan kepada marhaen.
“Di zaman PH, konsensi balak diberhentikan, namun pelaburan yang berjaya dibawa ke negeri tersebut meningkat 3 kali ganda berjumlah RM7.71 bilion tahun 2019 berbanding RM2.3 bilion tahun 2018,” katanya.
Di samping itu, katanya, sebab utama PH memberhentikan pembalakan di Kedah adalah bagi memelihara Ulu Muda yang merupakan punca bekalan air utama rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
“Jika pembalakan diteruskan, kawasan tadahan air boleh terjejas dan seterusnya mengganggu bekalan air dan rakyat akan hidup merana dalam krisis ini dan menjejaskan sumber pertanian di mana negeri-negeri ini adalah negeri pengeluar utama padi negara.
“Apa akan jadi kepada kehidupan petani yang sediaada miskin, krisis bekalan air jika berlaku akan menambah garam kepada luka mereka.
“Ternyata Pas gagal menilai kepentingan rakyat dan negeri lebih penting daripada kepentingan peribadi sebagai pemerintah,” katanya.
Bagi beliau, apa yang berlaku ini tidak selari dengan Islam dan kemanusiaan.
Katanya, fungsi utama kerajaan adalah menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara sepertimana kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke-3, Thomas Jefferson “the purpose of government is to enable the people of a nation to live in safety and happiness. Government exists for the interests of the governed, not for the governors.”
Allah menyebut tentang kemakmuran negara (baldatun tayyibatun) dalam surah Saba’ ayat 15.
“Nilai tadbir urus baik ini bukanlah agenda pemerintah Pas,” katanya.

No comments: