Kerajaan Selangor Fail Tangguh Prosiding Pekeliling Terhadap SPRM



SHAH ALAM 30 MAC : Kerajaan Selangor memfailkan permohonan untuk menangguh sementara perbicaraan melibatkan surat pekeliling yang menghalang kakitangan kerajaan negeri Selangor disoalsiasat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di luar waktu pejabat, sehingga selesai siasatan Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) kematian bekas setiausaha politik EXCO Selangor, mendiang Teoh Beng Hock.

Permohonan ini disertakan dengan afidavit yang disokong oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Permohonan menangguh prosiding tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi.

Menerusi afidavit ini, Khalid menjelaskan terma rujukan dan inkuiri yang dijalankan RCI mempunyai kaitan langsung sama ada SPRM bertindak secara sah dalam menjalankan penyiasatan khususnya dalam soal siasat individu sewaktu menjalankan tugas- tugas statutorinya.

Afidavit ini juga menyatakan berdasarkan laporan media massa, keterangan telah diberikan kepada RCI berkenaan kekurangan dan pelanggaran yang berlaku sewaktu SPRM menjalankan tugas- tugas penyiasatan khususnya ketika menyiasat mendiang Teoh.

“Saya percaya bahawa laporan RCI adalah sangat material dan relevan kepada isu- isu yang dipertikaikan," kata Khalid.

Khalid turut berkata mahkamah akan mempunyai rekod bahawa, setakat ini siasatan yang dilakukan SPRM tidak mengikut lunas undang- undang.

"Mahkamah akan mempunyai fakta bahawa prosedur siasatan SPRM yang setakat ini tidak ikut lunas undang- undang,” ujarnya lagi.

Khalid juga menyatakan maklumat ini perlu untuk memutuskan sama ada pengeluaran Pekeliling oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, yang mengehadkan pemeriksaan pegawai pada waktu pejabat sahaja, adalah sah.

Peguam Negara memfailkan permohonan itu bagi memohon mahkamah mengisytiharkan Pekeliling No 4, 2009 bertarikh 28 Julai itu adalah batal dan tidak sah kerana melanggar Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru dikuatkuasakan.

No comments: